
Selepas hampir 12,000 peminat membanjiri Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan Konsert Wali Kembali pada Mei lalu, kumpulan popular Indonesia itu sekali lagi bakal menggegarkan Kuala Lumpur. Namun kali ini, suasananya dijanjikan jauh lebih eksklusif apabila mereka hanya akan berkongsi pentas bersama 5,000 peminat menerusi Wali Exclusive One Night Only.
Bakal berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 21 November 2026, jam 8.00 malam, konsert anjuran 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture itu menawarkan satu malam khas yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada hubungan intim antara Wali dan peminat.
Kali ini mereka membuat kelainan apabila bakal tampil dalam sebuah ruang yang lebih terhad, sekali gus membuka peluang kepada peminat untuk menikmati persembahan kumpulan tersebut dalam suasana yang lebih erat.
Konsep eksklusif itu menjadi antara perkara yang mencuri perhatian kerana Wali bukanlah nama asing dalam kalangan peminat muzik Indonesia di Malaysia. Lagu-lagu mereka telah lama menemani pendengar menerusi kisah cinta, kehidupan, pencarian pasangan malah cukup dekat dengan realiti seharian.
Wali Kembali Selepas Konsert Bukit Jalil Dengan Pengalaman Lebih Eksklusif

Kemunculan di Kuala Lumpur pada November ini hadir beberapa bulan selepas Konsert Wali Kembali yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 1 Mei 2026.
Konsert tersebut menyaksikan hampir 12,000 peminat hadir untuk menyaksikan persembahan solo kumpulan itu, membuktikan sambutan terhadap kumpulan berkenaan dalam kalangan peminat Malaysia masih cukup kuat.
Bagaimanapun, Wali Exclusive One Night Only merupakan penganjuran yang berbeza dan dianjurkan oleh 25th Studio bersama Infinity Love Creative Venture.
Perbezaan itu turut memberikan identiti tersendiri kepada konsert November ini. Jika persembahan di Bukit Jalil berlangsung dalam skala yang lebih besar, acara di Megastar Arena pula mengetengahkan konsep yang lebih terhad dengan kapasiti hanya 5,000 penonton.
Jumlah tersebut menjadikan pengalaman konsert kali ini lebih dekat dan peribadi. Bagi peminat yang sudah lama mengikuti perjalanan muzik kumpulan itu, konsep sedemikian pastinya memberikan ruang untuk menikmati persembahan lebih puas.
Lebih menarik lagi, kali ini mereka tidak sekadar hadir ke Kuala Lumpur untuk satu persembahan. Kumpulan tersebut juga dijadualkan menemui peminat di selatan tanah air menerusi WALI LIVE IN JB pada 3 Oktober 2026 di EduCity Complex, Johor Bahru.
Siri kemunculan mereka di beberapa lokasi di Malaysia sepanjang tahun ini memperlihatkan bagaimana karya kumpulan tersebut masih mempunyai ruang yang kuat dalam kalangan pendengar tempatan.
Najwa Latif Jadi Pembuka Tirai Sebelum Wali Kuasai Pentas
Kemunculan kumpulan terekemuka Indonesia itu bukan satu-satunya tarikan yang menanti penonton di Megastar Arena.
Penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latif, turut dijadualkan tampil sebagai artis undangan khas dan membuka tirai persembahan di Kuala Lumpur nanti.
Gabungan dua nama dari Malaysia dan Indonesia ini memberikan warna tersendiri kepada acara tersebut. Najwa Latif mempunyai identiti muziknya sendiri yang cukup dikenali oleh peminat tempatan, manakala Wali pula hadir menawarkan kopilasi lagu yang sudah menjadi sebahagian daripada memori ramai.
Kehadiran Najwa juga bermakna penonton akan menerima persembahan daripada dua artis dalam satu malam sebelum mereka meneruskan acara utama.

Konsep sebegini secara tidak langsung memberikan ruang kepada penonton untuk menikmati perjalanan persembahan secara berperingkat, daripada pembukaan yang dibawakan artis tempatan terlebih dahulu, sebelum pentas bertukar tangan.
Bagi peminat muzik Indonesia dan Malaysia, pertemuan sebegini bukan sekadar soal persembahan muzik. Ia turut memperlihatkan bagaimana karya dari dua negara serumpun kekal mempunyai tempat dihati peminat masing-masing.
Baik-Baik Sayang Hingga Cari Jodoh, Lagu Wali Yang Kekal Dalam Memori Peminat

Antara karya yang sering dikaitkan dengan nama Wali termasuk Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat.
Lagu-lagu tersebut hadir dengan tema yang dekat dengan kehidupan pendengar. Kisah percintaan, hubungan, doa, pencarian pasangan dan sisi kehidupan menjadi antara elemen yang membuatkan karya Wali mudah diterima oleh pelbagai lapisan pendengar.
Kekuatan Wali juga terletak pada kemampuan mereka menghasilkan lagu yang mudah diingati dan mempunyai melodi yang dekat dengan pendengar. Justeru, pengalaman menyaksikan lagu-lagu tersebut secara langsung mempunyai nilai nostalgia yang tersendiri.
Bagi peminat yang membesar bersama lagu Wali, malam 21 November nanti mungkin menjadi ruang untuk kembali kepada memori lama, tetapi dalam suasana persembahan secara langsung.
Konsep hanya 5,000 penonton pula, menjadikan pengalaman tersebut lebih intim kerana setiap sorakan, nyanyian bersama dan interaksi penonton akan berlangsung dalam ruang yang lebih terhad.

Wali Exclusive One Night Only juga membawa satu mesej yang cukup jelas. Ini bukan sekadar satu lagi persembahan Wali di Kuala Lumpur, sebaliknya sebuah malam yang dikhususkan untuk peminat yang mahu menikmati kumpulan tersebut dalam pengalaman yang lebih eksklusif.
Selepas sambutan besar di Bukit Jalil, mereka kini kembali dengan skala yang lebih kecil tetapi dengan katalog lagu sama besar dalam memori peminat.
Buat mereka yang sudah lama menantikan peluang untuk menyanyikan semula lagu seperti Baik Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat bersama mereka, malam tersebut bakal menjadi pertemuan yang cukup bermakna.
Havoxians, Wali Exclusive One Night Only akan berlangsung pada 21 November 2026, jam 8.00 malam di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Tiket mula dijual pada 23 September 2026, jam 12.00 tengah hari menerusi Myticketasia, dengan harga bermula daripada RM182 untuk CAT 1 Dik, RM482 untuk CAT 2 Baik Baik Sayang, RM322 untuk CAT 3 Doaku Untukmu Sayang, RM252 untuk CAT 4 Tobat, RM782 untuk VIP Berkah dan RM2,222 untuk VVIP Cari Jodoh.
Kapasiti yang ditawarkan hanya 5,000 penonton, peminat Wali yang mahu menjadi sebahagian daripada malam eksklusif ini boleh mendapatkan tiket sebaik sahaja jualan dibuka.