
Cinta biasanya hadir dengan seribu satu perbezaan. Namun, bagaimana jika perbezaan itu bukan sekadar soal perangai, prinsip atau cara hidup, sebaliknya melibatkan kesetiaan kepada dua kelab bola sepak yang sentiasa menjadi musuh di atas padang?
Konflik unik itu menjadi nadi kepada drama romantik komedi PL, I Love You, arahan Michael Ang yang menggabungkan kisah percintaan, perseteruan bola sepak serta dugaan Amnesia.
Situasi menjadi semakin rumit apabila seorang wanita yang begitu mencintai Arsenal berdepan lelaki yang enggan berganjak daripada Chelsea, sebelum satu kemalangan menyebabkan lelaki tersebut hilang sebahagian daripada ingatan miliknya.
Persoalan yang lebih menarik bukan sekadar sama ada cinta mampu menyatukan dua penyokong kelab yang bermusuhan. Sebaliknya, sejauh mana seseorang sanggup mempengaruhi pasangan untuk menjadi seperti yang diimpikan.
Lily dan Adam Terperangkap Antara Cinta, Janji dan Kesetiaan Bola Sepak

Watak Lily yang dilakonkan Intan Serah merupakan seorang peguam dan penyokong tegar Arsenal. Kecintaannya terhadap The Gunners bukan sekadar minat biasa kerana ia berkait rapat dengan arwah bapanya yang pernah menyimpan impian untuk melihat Lily berkahwin dengan seorang lelaki yang turut menyokong Arsenal.
Namun, takdir berkata sebaliknya apabila lelaki yang berjaya menambat hati Lily ialah Adam (Kamal Adli), menariknya, Adam bukan sahaja penyokong setia Chelsea, malah mempunyai sejarah peribadi yang menyebabkan dirinya membenci Arsenal.
Sekadar info, Adam merupakan pemilik sebuah bengkel kereta yang kemudiannya berdepan kejadian tak terduga apabila tergelincir, jatuh dan mengalami masalah hilang ingatan.
Keadaan tersebut membuka ruang kepada konflik yang lebih besar apabila Lily cuba memanipulasi peluang yang ada untuk mempengaruhi Adam dan membentuk semula sebahagian daripada kehidupanya.
Kehilangan ingatan Adam secara tidak langsung menguji niat sebenar Lily. Adakah dia cuba membantu lelaki yang dicintainya untuk mendapatkan semula kehidupannya atau mengambil kesempatan terhadap keadaan tersebut demi memenuhi amanah serta impian arwah bapanya?
Mengualas tentang watak sebagai Lily, Intan Serah berkata, hubungan antara dua manusia yang berbeza pendapat sebenarnya memerlukan sesuatu yang lebih penting daripada usaha untuk mengubah pasangan.
“Pada saya perkara yang penting, meski berbeza pendapat kita tetap hormat dan sayang antara satu sama lain,” katanya.
Menurut Intan, kehidupan berpasangan sememangnya menyebabkan seseorang sedikit sebanyak mempengaruhi pasangan masing-masing.
Namun, perkara yang lebih utama ialah bagaimana pasangan boleh saling melengkapi, menerima kekurangan dan berkembang bersama tanpa memudaratkan satu sama lain.
“Kerana saya percaya sebagai orang yang hidup berpasangan, secara tidak langsung kita memang akan mempengaruhi pasangan kita.
“Tapi apa yang lebih penting daripada sibuk mengubah pasangan adalah saling melengkapi, menerima seadanya lalu bertumbuh bersama selagi ia tidak memudaratkan,” ujar Intan.
Pendekatan itu memberikan dimensi tersendiri kepada watak Lily yang bukan sekadar seorang wanita yang mahu mendapatkan lelaki idamannya. Namun, dia juga perlu berdepan konflik antara cinta, tanggungjawab kepada keluarga dan keinginan untuk memenuhi janji kepada insan yang sudah tiada.
Hawa Rizwana Dan Theebaan G Bawa Sisi Berbeza Dalam PL, I Love You

Selain konflik Lily dan Adam, PL, I Love You turut mengetengahkan watak-watak sampingan yang memberikan warna berbeza kepada perjalanan cerita.
Hawa Rizwana memainkan watak Zara, seorang anak yatim piatu dan individu kelainan upaya penglihatan. Peranan tersebut menuntut Hawa memberikan perhatian khusus terhadap pergerakan, ekspresi serta bahasa tubuh supaya keadaan wataknya kelihatan meyakinkan di hadapan kamera.
Antara cabaran yang perlu dilaluinya ialah ketika menjayakan babak menonton perlawanan Arsenal.
“Namun dalam masa yang sama saya perlu menjaga ‘mata’ supaya semuanya kelihatan nyata,” jelas Hawa.
Bagi memastikan pergerakannya tidak kelihatan kekok, Hawa turut melakukan latihan sebelum penggambaran termasuk membiasakan diri memejam mata ketika berjalan sambil menggunakan tongkat.
Pendekatan itu dilakukan supaya pergerakan Zara kelihatan lebih semula jadi dan konsisten sepanjang drama.
Hawa turut menerima bimbingan daripada pembimbing lakonan Khairunazwan Rodzy, Michael Ang serta Hadith bagi membantu dirinya memahami watak tersebut dengan lebih mendalam.
Dalam pada itu, Theebaan G yang membawa watak Rama pula melihat drama berkenaan sebagai peluang untuk memperlihatkan sisi lain dirinya sebagai pelakon.
Aktor berusia 36 tahun itu sebelum ini lebih sinonim dengan watak aksi, namun pembabitannya dalam kisah romantik komedi berlatarkan bola sepak memberikan pengalaman berbeza.
Menariknya, Theebaan mengakui dirinya bukan pengikut tegar liga bola sepak Inggeris.
Namun pengalaman menjalani penggambaran di London membuatkan perspektifnya terhadap bola sepak berubah.
“Saya tidak mengikuti liga bola sepak Inggeris tapi kenal juga pemain pemain handalan dalam kelab kerana seingat saya, semasa tahun enam, untuk ‘masuk’ dalam perbualan rakan-rakan saya terpaksa baca surat khabar pada bahagian sukan dan hafal tentang kelab bola sepak.
“Ya, saya memang bukan peminat bola sepak. Namun selepas menjalani penggambaran di London, ia telah memberi saya perspektif baharu mengapa bola sepak menjadi hal yang sangat penting kepada penggemarnya,” katanya.
Pengalaman tersebut turut membuatkan Theebaan melihat bagaimana bola sepak boleh berkembang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat, negeri dan negara sebelum akhirnya menjadi antara sukan paling berpengaruh di dunia.
Malah, dedahnya dia kini sudah memuat turun aplikasi EPL di telefon bimbitnya.
Arsenal vs Chelsea Jadi Identiti Unik Drama Romantik Komedi Ini

Kekuatan PL, I Love You terletak pada cara elemen bola sepak tidak sekadar digunakan sebagai latar cerita, sebaliknya menjadi sebahagian daripada konflik hubungan Lily dan Adam.
Arsenal dan Chelsea bukan hanya dua nama kelab dalam cerita. Kedua dua kelab tersebut menjadi simbol kepada perbezaan prinsip, kesetiaan dan identiti yang perlu dihadapi oleh pasangan utama.
Pada masa sama, drama ini tidak membawa isu amnesia, percintaan yang gagal, pengkhianatan dan janji kepada insan yang telah meninggal dunia dalam nada terlalu berat.
Elemen komedi digunakan untuk memberikan keseimbangan supaya konflik emosi yang berlaku masih boleh dinikmati dengan lebih santai.
Bagi Evertts Gomes yang menjayakan watak Jason, cerita ini mempunyai persamaan menarik antara kecintaan terhadap manusia dan kecintaan terhadap bola sepak.
“Ia cerita tentang yang tidak banyak berbeza, ia tentang dunia cinta terhadap insan dan dunia terhadap bola sepak,” katanya.
Apa yang menjadikan produksi ini lebih istimewa ialah kerjasama dengan Premier League serta kemunculan pemain daripada kelab Premier League sebagai cameo.
“Namun PL, I Love You menjadi istimewa kerana ia merupakan drama pertama yang menyaksikan kolaborasi dengan Premier League dan ada pemain dari kelab Premier League menjadi cameo dalam drama ini, nantikan,” ujar Evertts.
Gabungan tersebut memberikan drama ini identiti tersendiri dalam landskap drama romantik tempatan. Penonton bukan sahaja dibawa mengikuti perkembangan hubungan Lily dan Adam, tetapi turut disajikan dengan budaya penyokong bola sepak yang menjadi sebahagian daripada kehidupan watak utama.
Sekadar recap Havoxians, drama lapan episod berdurasi sejam ini dibintangi Kamal Adli, Intan Serah, Evertts Gomes, Theebaan G, Hawa Rizwana, Nina Jasmin dan Sean Lee. PL, I Love You diarahkan Michael Ang dan bergenre romantik komedi, dengan tayangan setiap Rabu dan Khamis pada jam 9 malam menerusi Astro Ria serta Sooka. Drama ini telah mula menemui penonton sejak 30 September lalu.