
Kehadiran Rizky Febian di Kuala Lumpur pada November ini bukan sekadar peluang untuk peminat menikmati lagu-lagu cinta kegemaran mereka secara langsung.
Sebaliknya, konsert yang membawa tema Malam Rawan itu bakal menjadi lebih istimewa apabila satu lagi nama besar dalam muzik pop Indonesia diumumkan sebagai artis jemputan.
Penyanyi dan pencipta lagu, Nadhif Basalamah, yang cukup dikenali menerusi lagu Penjaga Hati, bakal berkongsi pentas bersama Rizky menerusi konsert Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur pada 29 November 2026 di Zepp KL.
Pengumuman tersebut pastinya menambah keterujaan peminat yang menantikan pertemuan dua penyanyi Indonesia dengan karakter muzik tersendiri.
Jika Rizky sinonim dengan lagu-lagu romantik yang mengusik perasaan, Nadhif pula hadir dengan karya yang dekat dengan jiwa pendengar, menjadikan gabungan mereka satu tarikan tersendiri buat pencinta muzik pop Indonesia.
Lebih menarik, kedua-dua penyanyi ini mempunyai kekuatan dalam menyampaikan kisah cinta melalui melodi dan lirik yang mudah melekat di hati.
Persoalannya, mampukah gabungan dua suara ini menjadikan Malam Rawan sebuah pengalaman yang lebih mendalam daripada sekadar konsert biasa?
Nadhif Basalamah Sertai Rizky Febian, Malam Rawan Makin Istimewa

Pengumuman Nadhif sebagai artis jemputan dibuat ketika sidang akhbar yang berlangsung di Imyra House of Events, sekali gus memperkenalkan antara tarikan utama konsert berkenaan kepada peminat di Malaysia.
Nama Nadhif bukan lagi asing dalam kalangan pendengar muzik Indonesia. Menerusi lagu Penjaga Hati, penyanyi itu berjaya mencuri perhatian dengan penyampaian vokal yang bersahaja, disertai melodi yang membangkitkan rasa romantik dan kerinduan.
Karya tersebut mendapat tempat dalam kalangan pendengar yang menggemari muzik dengan sentuhan emosi, sekali gus menjadikan Nadhif antara nama yang dinantikan untuk menyaksikan persembahannya secara langsung.

Mengulas penglibatannya dalam konsert berkenaan, Nadhif meluahkan keterujaan untuk berkongsi pentas bersama Rizky dan bertemu peminat di Kuala Lumpur.
“Saya teruja untuk menjadi sebahagian daripada ‘Malam Rawan’ bersama Rizky Febian. Saya berharap dapat memberikan persembahan yang istimewa dan mencipta kenangan manis buat peminat yang hadir nanti,” katanya.
Kehadiran Nadhif dijangka memberikan warna berbeza kepada keseluruhan persembahan, terutama buat peminat yang mahu menikmati karya daripada dua penyanyi dengan pendekatan muzik masing masing.
Bayangkan suasana Zepp KL apabila lagu Penjaga Hati bergema di dalam dewan, disusuli deretan karya popular Rizky yang selama ini menjadi teman pendengar dalam pelbagai fasa kehidupan. Gabungan tersebut pastinya antara momen yang dinantikan apabila malam konsert tiba.
Rizky Febian Kembali Ke Kuala Lumpur Dengan Deretan Lagu Cinta Popular

Menurut Rizky, konsert ini menjadi satu lagi peluang untuk mengeratkan hubungan dengan peminat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjalanan muziknya.
Penyanyi itu dijadualkan menghiburkan peminat menerusi Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur, sebuah persembahan yang mengetengahkan karya popular, melodi romantik dan pengalaman muzik yang lebih dekat dengan penonton.
Antara lagu yang sinonim dengan namanya termasuk Kesempurnaan Cinta, Penantian Berharga, Cuek, Makna Cinta, Terlukis Indah dan Hingga Tua Bersama. Karya karya tersebut memperlihatkan keupayaannya menyampaikan pelbagai sisi percintaan, daripada detik jatuh hati sehinggalah kisah kesetiaan dan harapan untuk bersama insan tersayang.
Tidak hairanlah muzik Rizky terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar serantau, termasuk peminat di Malaysia yang mengikuti perkembangan kariernya sejak awal kemunculan.
Rizky sendiri mengakui bahawa Malaysia mempunyai kedudukan istimewa dalam perjalanan muziknya dan dia tidak sabar untuk kembali bertemu peminat.

“Saya sangat senang dapat kembali bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur. Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan muzik saya dan saya tahu ramai yang sudah menantikan untuk bernyanyi bersama sama,” ujarnya.
Menurut Rizky, dia mahu memberikan persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah meninggalkan kenangan istimewa buat mereka yang hadir.
“Saya ingin memberikan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga meninggalkan kenangan yang istimewa buat semua yang hadir,” tambahnya.
Kenyataan itu memberi gambaran bahawa Malam Rawan bukan sekadar tentang menyampaikan lagu demi lagu, sebaliknya turut meraikan hubungan antara muzik, kenangan dan emosi yang dikongsi bersama peminat.
Dengan Nadhif turut melengkapkan barisan persembahan, konsert ini berpotensi menjadi ruang buat peminat menikmati dua repertoir berbeza dalam satu malam, sekali gus menjadikan pengalaman tersebut lebih menarik.
Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian Bakal Temui Peminat Di Zepp KL

Dibawakan oleh Kumho International dan dianjurkan oleh AM Entertainment dengan kerjasama RSI Solusi Indonesia, konsert ini dijadualkan berlangsung pada 29 November 2026 di Zepp KL.
Pemilihan konsep Malam Rawan membawa penekanan terhadap sisi muzik yang dekat dengan perasaan, khususnya karya yang berkisar tentang cinta, kerinduan dan perjalanan emosi seseorang.
Kekuatan Rizky dalam menyampaikan lagu lagu romantik, digabungkan dengan identiti muzik Nadhif menerusi karya seperti Penjaga Hati, memberikan konsert ini tarikan tersendiri buat peminat muzik Indonesia.
Havoxians dan peminat yang mengikuti perjalanan kedua-dua penyanyi lagu-lagu galau, ini peluang menyaksikan mereka secara langsung dalam sebuah acara yang sama pastinya sesuatu yang menarik untuk dinantikan.
Konsert yang berlangsung pada 29 November 2026 di Zepp KL itu menawarkan tiga kategori tiket, iaitu CAT 1 Standing pada harga RM228, CAT 2 Premium Seat pada harga RM248 dan CAT 3 Normal Seat pada harga RM238.
Peminat Rizky Febian dan Nadhif Basalamah boleh mendapatkan tiket lebih awal untuk menyaksikan gabungan dua penyanyi Indonesia ini secara langsung di Kuala Lumpur. Tiket Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur kini dijual secara dalam talian menerusi Ticket2U