
Nama Insomniacks bukan lagi sekadar sinonim dengan lagu-lagu yang menjadi soundtrack kisah cinta, patah hati dan perjalanan emosi anak muda.
Selepas membina identiti muzik tersendiri menerusi karya yang dekat dengan pendengar, kumpulan itu kini melangkah ke ruang kreatif yang berbeza, membuktikan bahawa ekspresi seni tidak semestinya terhenti di atas pentas atau melalui rakaman lagu.
Menerusi kolaborasi bersama jenama streetwear tempatan High Cultured, Insomniacks membawa identiti muzik mereka ke dunia fesyen dengan menghasilkan koleksi eksklusif yang diinspirasikan daripada album terbaharu, KAMI INSOMNIACKS.
Sekadar info Havoxians, kerjasama ini bukan sekadar memperkenalkan barisan pakaian baharu, sebaliknya menjadi satu lagi ruang untuk kumpulan itu berkongsi perjalanan, karakter dan hubungan mereka dengan peminat melalui sesuatu yang boleh dipakai dalam kehidupan seharian.
Lebih menarik, kolaborasi tersebut memperlihatkan bagaimana muzik dan fesyen mampu bergerak seiring apabila kedua dua elemen mempunyai asas yang sama, iaitu identiti, kreativiti dan keberanian untuk mengekspresikan diri.
Insomniacks Dan High Cultured Gabungkan Muzik Dengan Identiti Streetwear

Kolaborasi Insomniacks bersama High Cultured menandakan satu pencapaian baharu buat kedua-dua pihak, khususnya apabila ia menjadi kerjasama pertama kumpulan muzik tersebut dengan jenama pakaian tempatan serta projek direct to retail pertama Universal Music Malaysia.
Menurut Calvin Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Southeast Asia dan Korea serta Naib Presiden Kanan Asia, kolaborasi ini membuka ruang baharu untuk muzik dan fesyen tempatan berkembang bersama melalui pendekatan yang lebih kreatif.
“Kolaborasi ini menandakan dua detik penting kerana ia merupakan kerjasama pertama Insomniacks dengan jenama pakaian tempatan dan projek direct to retail pertama Universal Music Malaysia.
Bagi kami, ini satu pencapaian bermakna yang membuka ruang baharu untuk muzik dan fesyen tempatan berkembang bersama,” katanya.
Beliau turut melihat Insomniacks sebagai kumpulan yang mempunyai identiti tersendiri serta hubungan kuat dengan peminat, sekali gus menjadikan koleksi ini satu medium baharu untuk mereka mengekspresikan hubungan tersebut.
Menurut High Cultured pula, kerjasama ini hadir daripada keserasian antara identiti kumpulan muzik tersebut dengan falsafah streetwear yang menekankan keaslian, ekspresi diri dan budaya komuniti.
Jenama itu melihat perjalanan Insomniacks sebagai cerminan kepada semangat anak muda yang membina kejayaan melalui minat, konsistensi dan kesetiaan terhadap identiti sendiri.
“Bagi kami, streetwear lebih daripada sekadar fesyen. Ia berkait dengan identiti, kreativiti dan budaya yang menyatukan orang ramai. Insomniacks membawa semangat yang sama.
Malah dengan pelancaran album KAMI INSOMNIACKS, kami rasa inilah masa yang tepat untuk menggabungkan dua dunia kreatif dan meraikan bakat Malaysia,” kata High Cultured.
Album KAMI INSOMNIACKS Jadi Inspirasi Koleksi Fesyen Eksklusif

Album KAMI INSOMNIACKS menjadi titik permulaan kepada keseluruhan hala tuju kreatif koleksi ini, dengan elemen perjalanan, persahabatan dan perkembangan kumpulan diterjemahkan ke dalam rekaan yang lebih dekat dengan gaya streetwear kontemporari.
Insomniacks turut memainkan peranan aktif dalam proses mereka bentuk koleksi berkenaan dengan berkongsi idea serta membantu membentuk hala tuju kreatif agar hasil akhirnya benar benar mencerminkan identiti mereka.
“Kami rasa gaya High Cultured memang sesuai dengan vibe album terbaharu kami, KAMI INSOMNIACKS.
Kami sangat teruja apabila berpeluang bekerjasama dan menghasilkan koleksi yang boleh disesuaikan dengan identiti kami sendiri.
Seronok dapat menggabungkan muzik dengan fesyen dan berkongsi sesuatu yang lebih peribadi dengan peminat,” kata kumpulan itu.
Pendekatan tersebut turut mengambil kira keseimbangan antara karakter muzik Insomniacks dengan DNA streetwear High Cultured. Setiap rekaan dirancang agar mempunyai identiti tersendiri, namun pada masa sama kekal selesa dan praktikal untuk digayakan dalam kehidupan harian.
High Cultured menjelaskan bahawa matlamat utama mereka adalah menghasilkan koleksi yang berani, mudah dipadankan serta mempunyai karakter kuat tanpa mengorbankan keselesaan.
“Kami mahu koleksi ini mengimbangi identiti muzik Insomniacks dengan DNA streetwear High Cultured. Matlamat kami adalah untuk menghasilkan rekaan yang berani, mudah digayakan dan mempunyai identiti yang kuat.
Kami berharap peminat dapat rasa dekat dengan koleksi ini dan yakin memakainya dalam gaya harian mereka,” katanya.
Hubungan antara album dan koleksi ini turut membawa makna yang lebih peribadi buat Insomniacks, memandangkan peminat sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan kreatif mereka.
Justeru, koleksi tersebut diharapkan bukan sekadar menjadi item fesyen, tetapi turut menyimpan nilai sentimental sebagai simbol sokongan dan kenangan bersama kumpulan itu.
“Semasa mereka bentuk koleksi ini, kami sentiasa memikirkan peminat kerana merekalah yang terus menyokong perjalanan kami.
Kami berharap setiap rekaan terasa istimewa dan menjadi cara kecil untuk peminat rasa lebih dekat dengan Insomniacks,” tambah kumpulan itu.
Insomniacks Bawa Koleksi High Cultured Ke Pentas Konsert 5SOS

Kolaborasi ini turut mendapat pendedahan secara langsung apabila Insomniacks mengenakan beberapa rekaan daripada koleksi tersebut ketika membuat persembahan pembukaan untuk konsert 5 Seconds of Summer di Malaysia pada 17 November lalu.
Momen tersebut menjadi satu bentuk pengenalan kepada koleksi berkenaan yang lebih menarik kerana peminat dapat melihat sendiri bagaimana rekaan streetwear itu digayakan dalam suasana persembahan secara langsung, bukan sekadar melalui gambar kempen atau paparan produk.
Daripada pentas muzik ke gaya harian, koleksi ini memperlihatkan bagaimana identiti sesebuah kumpulan boleh berkembang melangkaui karya audio dan persembahan. Ia juga membuka peluang kepada peminat untuk membawa sebahagian daripada karakter Insomniacks ke dalam gaya peribadi mereka.
Antara koleksi yang diperkenalkan ialah Rhinestone Ladies Raglan Baby Tee, Baseball Cap, Rockstar Ringer Slim Fit Tee, “KAMI” Boxy Tee, Mesh Boxy Jersey Tee, Jersey Polo Tee, Loose Bootcut Sweatpants, Studded Star Boxy Hoodie serta Flame Bomber Jacket.
High Cultured turut menyatakan keterbukaan untuk meneroka lebih banyak kerjasama bersama Insomniacks mahupun pemuzik tempatan lain pada masa hadapan, dengan setiap projek dibina atas hubungan kreatif yang tulen dan bermakna.
“Kami percaya Malaysia mempunyai persada kreatif yang hebat, dengan banyak potensi apabila fesyen, muzik, seni dan komuniti bertemu.
Bagi kami, ini bukan sekadar menghasilkan koleksi baharu. Kami mahu membina hubungan jangka panjang dan berkembang bersama budaya,” kata High Cultured.
Insomniacks juga menyambut baik kemungkinan untuk kembali bekerjasama, malah mengakui pengalaman menggabungkan muzik dengan fesyen menerusi projek ini membuka ruang kepada idea baharu yang boleh diteroka bersama.
“Kami seronok dapat bekerjasama dengan High Cultured untuk koleksi ini. Kalau ada peluang lagi, jawapan kami memang ‘yes’. Kami terbuka dan sangat teruja untuk menghasilkan sesuatu yang baharu bersama mereka,” kata Insomniacks.
Havoxians dan Maniacks boleh mendapatkan koleksi Insomniacks × High Cultured kini boleh didapati menerusi laman rasmi High Cultured sekaligus menawarkan peminat peluang untuk membawa identiti, semangat dan perjalanan Insomniacks daripada pentas muzik ke dalam gaya streetwear mereka sendiri.