
Ada luka yang membuat seseorang berubah. Ada pula luka yang mengajar seseorang untuk menjadi lebih tenang.
Bagi Ernie Zakri, apa yang pernah dilalui dalam kehidupan bukan lagi sesuatu yang mahu dibalas atau dikenang sebagai beban. Sebaliknya, penyanyi itu memilih untuk mengambil pengalaman tersebut sebagai sebahagian daripada perjalanan yang membentuk dirinya hari ini.
Pilihan itu mungkin kedengaran sederhana, tetapi di sebalik sebuah lagu bertajuk “Sejambak Bunga”, tersimpan cerita tentang kebangkitan, penerimaan dan keberanian untuk kekal menjadi baik walaupun pernah melalui perkara yang menguji hati.
Lebih menarik, Ernie tidak memperkenalkan karya terbaharunya itu menerusi sebuah acara muzik biasa. Sebaliknya, dia memilih pentas Kuala Lumpur Fashion Week 2026 pada 8 Ogos lalu sebagai ruang pertama untuk memperdengarkan lagu berkenaan kepada khalayak.
Di Esplanade, KLCC Park, muzik dan fesyen akhirnya bertemu dalam satu persembahan yang bukan sahaja memperkenalkan lagu baharu, tetapi turut membawa penonton menyelami sebuah fasa berbeza dalam perjalanan hidup dan seni Ernie.
Justeru, ungkin sebab ini juga, pemilihan “Lerai” oleh pereka fesyen Zaimi Zulkafli sebagai pentas pertama “Sejambak Bunga” bukanlah satu kebetulan.
Malah, seperti namanya, ada sesuatu yang perlu dileraikan sebelum seseorang benar-benar mampu melangkah ke hadapan.
Ernie Zakri Kaitkan “Sejambak Bunga” Dengan Perjalanan Hidup Dan Kebangkitan Diri

Bagi Ernie, “Sejambak Bunga” bukan sekadar lagu tentang sebuah pengalaman, tetapi refleksi terhadap proses seseorang membesar bersama apa yang pernah dilaluinya.
Setiap fasa kehidupan meninggalkan sesuatu. Ada yang menjadi kenangan, ada yang menjadi pengajaran dan ada juga yang akhirnya membentuk cara seseorang melihat dirinya sendiri.
Ernie memilih untuk melihat pengalaman tersebut sebagai sebahagian daripada proses pembentukan diri, bukannya sesuatu yang perlu terus dibawa sebagai beban.
“‘Sejambak Bunga’ bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini. Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik,” katanya.
Pendekatan tersebut memperlihatkan sisi Ernie yang lebih tenang dalam berkarya. Jika sebelum ini vokalnya sering dikaitkan dengan kekuatan emosi dan kemampuan menyampaikan lagu secara penuh perasaan, “Sejambak Bunga” pula membawa Ernie ke ruang yang lebih introspektif.
Lebih menarik, mesej utama lagu ini bukan tentang membalas apa yang pernah diterima, tetapi mengenai keberanian untuk kekal memilih kebaikan walaupun pernah berdepan pengalaman yang tidak mudah.
“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik. Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang,” ujar Ernie.
Pelancaran Single Ernie Zakri Di KLFW 2026 Satukan Muzik Dan Fesyen

Pemilihan pertunjukan “Lerai” sebagai pentas pertama memperkenalkan “Sejambak Bunga” kepada khalayak turut memberikan dimensi berbeza kepada karya tersebut.
Menurut Ernie, terdapat persamaan antara konsep yang diketengahkan Zaimi menerusi koleksi fesyennya dengan perkara yang ingin disampaikan melalui lagu itu.
“Apabila saya memahami konsep ‘Lerai’ yang dibawa oleh Zaimi, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui ‘Sejambak Bunga’.
Muzik dan fesyen mempunyai cara yang berbeza untuk bercerita, tetapi kedua duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” tambahnya.
Dalam konteks tersebut, fesyen bukan sekadar latar kepada persembahan Ernie. Ia menjadi satu lagi medium untuk membantu khalayak memahami emosi yang terkandung dalam karya berkenaan.
Jika muzik membenarkan Ernie menyampaikan cerita melalui melodi dan vokal, fesyen pula menterjemahkan emosi tersebut melalui bentuk, pergerakan, tekstur dan visual.
Gabungan kedua dua elemen itu menjadikan pelancaran “Sejambak Bunga” lebih daripada sekadar pengenalan sebuah lagu baharu.
Ia menjadi satu pengalaman yang menghubungkan muzik dengan cerita tentang perubahan, penerimaan dan permulaan semula.
Pada masa sama, Ernie tidak mahu pendengar terikat dengan satu tafsiran sahaja. Penyanyi itu sebaliknya memberi ruang kepada khalayak untuk menemukan cerita masing masing melalui lagu tersebut.
“Saya mahu orang mendengar ‘Sejambak Bunga’ dan menemukan cerita mereka sendiri di dalamnya. Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada pada satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju.
Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu sudah cukup bermakna buat saya,” Jelasnya.
Hael Husaini dan Iqie Hugh cipta “Sejambak Bunga” untuk fasa baharu Ernie Zakri

Dari sudut pembikinan, “Sejambak Bunga” turut menandakan satu kolaborasi baharu dalam perjalanan muzik Ernie apabila lagu tersebut dicipta dan ditulis oleh Hael Husaini bersama Iqie Hugh.
Secara ringkas, ini merupakan karya pertama Ernie yang menerima sentuhan kedua dua pencipta lagu berkenaan.
Pemilihan Hael Husaini dan Iqie Hugh untuk menghasilkan karya tersebut dilihat bertepatan dengan arah yang ingin dibawa Ernie, terutama dalam menyampaikan mesej yang lebih matang dan dekat dengan kehidupan.
Selain kisah tentang kebangkitan, “Sejambak Bunga” turut membawa simbol visual yang cukup kuat menerusi penggunaan mawar putih.

Bagi Ernie, bunga tersebut menggambarkan ketenangan, harapan dan ruang untuk memulakan sesuatu yang baharu.
“Mawar putih bagi saya membawa rasa yang sangat tenang. Ia melambangkan permulaan baharu dan ruang untuk kita terus berkembang. Kita tidak perlu melupakan apa yang pernah dilalui, tetapi kita boleh menghargainya sebagai sebahagian daripada apa yang membentuk diri kita hari ini,” katanya.
Simbol tersebut sekali gus melengkapkan keseluruhan naratif “Sejambak Bunga”, daripada pemilihan pentas fesyen sehingga kepada tema kebangkitan dan mawar putih sebagai lambang permulaan baharu, setiap elemen seolah olah membawa satu mesej yang sama, bahawa seseorang tidak semestinya perlu memadam masa lalu untuk bergerak ke hadapan.
Sebaliknya, apa yang pernah berlaku boleh diterima sebagai sebahagian daripada perjalanan yang akhirnya membentuk siapa diri seseorang pada hari ini. Bagi Ernie, fasa baharu ini turut hadir ketika beliau melalui pelbagai peranan dalam kehidupan sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan anak seni. Perubahan tersebut secara tidak langsung mempengaruhi cara beliau melihat kehidupan dan mendekati muzik.
Namun, kekuatan “Sejambak Bunga” terletak pada sifatnya yang tidak terlalu memaksa pendengar untuk memahami kisah Ernie semata-mata. Lagu ini diberikan ruang untuk menjadi milik sesiapa sahaja yang pernah melalui fasa kehidupan yang memerlukan mereka bangkit semula. Kerana selepas segala yang berlaku, memilih untuk terus menjadi baik juga boleh menjadi satu bentuk kemenangan.
“Sejambak Bunga” kini boleh distrim Havoxians di semua platform penstriman digital dan menjadi karya terbaharu Ernie Zakri untuk menemani pendengar yang sedang belajar menerima masa lalu, menghargai perjalanan hidup serta melangkah menuju permulaan yang baharu.