
Lebih tiga dekad membina nama dalam industri muzik tempatan, Exists pulang dan akhirnya bakal kembali ke negeri yang menjadi titik permulaan perjalanan seni mereka.
Kepulangan kali ini bukan sekadar memenuhi undangan persembahan, sebaliknya membawa makna yang cukup istimewa buat sebuah kumpulan yang pernah mewarnai kehidupan muzik beberapa generasi pendengar.
Dikenali menerusi rangkaian lagu malar segar yang masih mendapat tempat dalam hati peminat, Exists bakal mengadakan konsert istimewa berjudul Exists Pulang Live In JB pada 9 Januari 2026, jam 8.30 malam di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor.
Lebih menarik, konsert anjuran Nusantara Live Entertainment bersama Infinity Love Creative Ventures ini bakal menghimpunkan tujuh anggota Exists, termasuk dua vokalis yang mempunyai perjalanan tersendiri bersama kumpulan berkenaan, iaitu Mamat dan Ezad.
Pertemuan ini pastinya menjadi antara perkara yang dinantikan peminat, apatah lagi Exists mempunyai katalog muzik yang cukup luas sepanjang penglibatan mereka dalam industri hiburan tanah air.
Malah, lagu yang pernah menjadi siulan anak muda pada era 1990-an sehinggalah karya yang terus dimainkan sehingga hari ini, Exists Pulang Live In JB bakal menjadi ruang untuk peminat mengimbau semula perjalanan muzik sebuah kumpulan yang mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah muzik popular Malaysia.
Tujuh Anggota Exists, Dua Vokalis Satukan Kembali Karya Legenda

Antara tarikan utama konsert ini pastinya penyatuan tujuh anggota Exists yang bakal membawa peminat menyelusuri pelbagai fasa perjalanan muzik kumpulan tersebut.
Selain Mamat dan Ezad yang berkongsi tanggungjawab sebagai vokalis, barisan anggota lain terdiri daripada Along dan Shah selaku pemain gitar, Musa sebagai pemain bass, Ujang di posisi dram serta Ajai yang mengendalikan keyboard.
Gabungan ini memberikan dimensi tersendiri kepada persembahan berkenaan kerana setiap anggota mempunyai sumbangan dalam membentuk identiti muzik Exists sepanjang lebih tiga dekad.
Lebih daripada sekadar menghimpunkan nama besar di atas satu pentas, konsert ini turut membuka peluang kepada peminat untuk menikmati semula karya daripada lapan album studio yang pernah dihasilkan kumpulan berkenaan.
Kehadiran Mamat dan Ezad juga membawa nilai sentimental tersendiri memandangkan kedua-duanya mempunyai sejarah serta sumbangan berbeza dalam perkembangan Exists.
Khas buat peminat yang mengikuti perjalanan kumpulan ini sejak awal kemunculan, pertemuan dua vokalis tersebut pastinya memberikan pengalaman tersendiri. Setiap suara mempunyai identiti dan kenangan tersendiri yang mengiringi perjalanan muzik Exists.
Persoalannya, lagu manakah yang paling dinantikan peminat apabila tujuh anggota ini kembali berkongsi pentas?
Adakah Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar atau Jesnita bakal menjadi antara momen paling dinanti sepanjang malam?
Apa yang pasti, himpunan karya daripada lapan album studio itu memberikan ruang untuk peminat menikmati kepelbagaian muzik Exists, termasuk lagu yang mungkin sudah lama tidak didengari secara langsung.
Exists Pulang Live In JB Jadi Kerjasama Kedua Selepas Kejayaan Wali

Penganjuran Exists Pulang Live In JB turut menandakan kerjasama kali kedua antara Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures selepas kejayaan konsert Wali Live In JB pada 3 Oktober lalu di lokasi yang sama.
Konsert Wali sebelum ini berjaya menarik kira-kira 14,000 penonton sehingga memenuhi stadium, sekali gus menjadi pengalaman penting buat kedua-dua pihak dalam meneruskan penganjuran persembahan berskala besar di Johor.
Oleh itu, berbekalkan pengalaman tersebut, penganjur sekali lagi mempertaruhkan nama besar dalam industri muzik tempatan menerusi pemilihan Exists sebagai artis utama untuk konsert kali ini.
Wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz Abd Hamid dan Nur Liyana Abd Rahman berkata, kejayaan penganjuran konsert terdahulu memberikan semangat serta keyakinan kepada mereka untuk meneruskan usaha membawa lebih banyak persembahan artis tempatan kepada peminat muzik di Johor.
“Berbekalkan pengalaman pertama tersebut, kami kembali dengan penganjuran konsert Exists Pulang Live In JB sebagai kesinambungan usaha membawa lebih banyak persembahan artis tempatan kepada peminat muzik, khususnya di Johor Bahru.
“Pemilihan Exists sebagai artis utama turut membawa nilai sentimental tersendiri memandangkan Johor merupakan tempat bermulanya perjalanan muzik kumpulan tersebut sebelum menempa nama dalam industri muzik tanah air,” kata mereka.
Pemilihan Exists juga memperlihatkan usaha penganjur mengetengahkan artis tempatan yang mempunyai pengaruh dan sejarah tersendiri dalam industri muzik.
Justeru, sokongan peminat dari Johor serta negeri berdekatan, konsert ini diharapkan dapat meneruskan momentum penganjuran persembahan muzik secara langsung di selatan tanah air.
Judul Pulang Bawa Makna Istimewa Buat Exists Dan Peminat

Exist merupakan sebuah kumpulan yang memulakan perjalanan muzik di Johor sebelum mengembangkan sayap ke seluruh negara, kepulangan ke negeri kelahiran mereka kali ini pastinya membawa makna yang berbeza.
Sepanjang lebih tiga dekad, Exists telah menghasilkan karya yang menjadi sebahagian daripada memori masyarakat Malaysia. Lagu seperti Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Jesnita dan Langkah Seiringan terus dikenali, malah masih mempunyai tempat dalam senarai lagu pilihan peminat muzik tempatan.

Maka, Exists Pulang Live In JB bukan sekadar sebuah konsert untuk menikmati persembahan secara langsung, sebaliknya peluang untuk meraikan perjalanan muzik yang telah bertahan merentasi zaman.
Para peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam istimewa tersebut, tiket Exists Pulang Live In JB ditawarkan menerusi enam kategori iaitu Janji Padamu (CAT 4) pada harga RM98, Julia (CAT 3) RM138, Bunga (CAT 2) RM168, Jesnita (GA) RM149, Alasamu (CAT 1) RM428 dan Untukmu Ibu (SUPERVIP) RM928.
Havoxians yang berada dI Johor Bharu jangan lepaskan peluang menyaksikan tujuh anggota Exists berkongsi pentas dalam sebuah persembahan yang meraikan perjalanan muzik mereka. Tiket boleh didapati menerusi platform jualan rasmi MyTicket Asia