
Bagai sireh pulang ke ganggang, begitulah gambaran kepulangan kumpulan legenda EXISTS ke negeri kelahiran mereka, Johor, selepas lebih tiga dekad mengharungi perjalanan panjang dalam industri muzik tanah air. Sebuah perjalanan yang bermula dengan impian anak muda untuk mencipta nama dalam dunia seni, kini menemukan mereka kembali di tempat segala-galanya bermula.
Bukan sekadar memenuhi undangan persembahan, kepulangan ini membawa makna yang jauh lebih besar. Johor bukan hanya sebuah negeri yang pernah menjadi saksi kepada permulaan perjalanan muzik mereka, sebaliknya menjadi sebahagian daripada identiti, kenangan dan sejarah yang membentuk kumpulan tersebut sehingga dikenali sebagai antara nama besar dalam industri muzik Malaysia.
Menerusi Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru, yang bakal berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 9 Januari 2027, EXISTS bersedia menghidupkan kembali kenangan bersama peminat dalam sebuah persembahan yang sarat dengan nostalgia.
Mengangkat tema Pulang, konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures ini pastinya menjadi detik istimewa apabila kumpulan berkenaan kembali membuat persembahan di negeri asal mereka.
Lebih menarik, kepulangan kali ini turut menyatukan ketujuh-tujuh anggota kumpulan iaitu Mamat dan Ezad selaku vokalis, Along dan Shah sebagai pemain gitar, Musa sebagai pemain bass, Ujang selaku pemain dram serta Ajai sebagai pemain keyboard.
Kehadiran kesemua anggota ini memberikan nilai tersendiri kepada konsert berkenaan, sekali gus membuka peluang kepada peminat untuk menyaksikan gabungan tenaga dan perjalanan muzik kumpulan lagenda itu di sebuah pentas yang cukup bermakna.
EXISTS Kembali Ke Johor, Negeri Yang Membentuk Perjalanan Muzik Mereka

EXISTS menyifatkan, kepulangan ke Johor bukan sekadar satu lagi jadual persembahan dalam kalendar seni mereka. Sebaliknya, ia merupakan peluang untuk kembali menghargai tempat yang menjadi titik permulaan kepada perjalanan panjang kumpulan tersebut.
Menurut Ajai, peluang mengadakan sebuah konsert besar di negeri kelahiran mereka memberikan pengalaman dan perasaan yang cukup berbeza berbanding persembahan di tempat lain.
“Johor adalah tempat kami bermula. Di sinilah perjalanan EXISTS dibentuk, di sinilah kami belajar mengenal muzik dan mengejar impian. Apabila diberi peluang untuk kembali dan mengadakan sebuah konsert besar di negeri sendiri, perasaannya memang berbeza.
“Ini bukan sekadar tentang membuat persembahan, tetapi tentang pulang dan menghargai tempat yang membentuk siapa kami hari ini,” katanya.
Malah, konsert ini turut menjadi ruang buat mereka meraikan perjalanan yang telah ditempuh bersama, termasuk segala pengalaman, cabaran dan pencapaian yang menjadikan EXISTS sebuah nama yang terus bertahan dalam industri muzik.

Tambah Ezad, persembahan berkenaan bukan hanya tentang menghiburkan peminat, tetapi turut menjadi peluang untuk menghubungkan semula karya muzik mereka dengan generasi yang membesar bersama lagu-lagu mereka.
“Kami tahu ramai yang membesar dengan lagu-lagu EXISTS. Ada yang menyimpan kenangan zaman sekolah, zaman percintaan, malah ada yang kini sudah membawa anak-anak mereka mendengar lagu yang sama.
“Kami mahu malam ini menjadi satu pertemuan antara generasi. Kami mahu peminat datang bukan sekadar untuk menonton konsert, tetapi untuk merasai kembali kenangan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka,” ujarnya.
Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru Hidupkan Nostalgia Peminat
Sebut sahaja EXISTS, pasti sukar untuk memisahkan perjalanan muzik kumpulan ini daripada deretan lagu malar segar yang sehingga kini masih mendapat tempat di hati pendengar.
Karya seperti Untukmu Ibu, Julia, Jesnita, Bunga, Janji Padamu dan Alasanmu bukan sekadar lagu popular yang pernah menguasai carta muzik suatu ketika dahulu, malah menjadi sebahagian daripada memori kehidupan ramai peminat.
Setiap lagu mempunyai kisahnya tersendiri. Ada yang mengingatkan pendengar kepada zaman persekolahan, ada yang membawa kembali kenangan percintaan pertama dan tidak kurang juga yang menjadi teman ketika melalui fasa kehidupan yang penuh warna.
Keistimewaan kumpulan ini terletak pada kemampuan muzik mereka merentasi sempadan generasi. Lagu yang pernah menjadi siulan anak muda puluhan tahun lalu masih mampu dinikmati oleh pendengar baharu, sekali gus membuktikan bahawa karya yang dekat dengan jiwa tidak mudah ditelan zaman.
Justeru, Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru dijangka menjadi sebuah pertemuan yang lebih bermakna terutamanya sebagai pembuka tirai 2027.
Pastinya, pengalaman pertama pulang ke garis permulaan setelah 35 tahun tersebut membawa satu dimensi berbeza dan emosi tersendiri, apatah lagi apabila ia berlangsung di negeri yang mempunyai hubungan istimewa dengan sejarah penubuhan kumpulan berkenaan.
Tidak sekadar mahu mengimbau nostalgia, konsert ini turut menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan seni yang telah dibina selama lebih tiga dekad. Sebaliknya, muzik mempunyai keistimewaan untuk menyatukan semula manusia melalui kenangan yang dikongsi bersama.
Nusantara Live Entertainment Dan Infinity Love Creative Ventures Kembali Dengan Konsert Berskala Besar

Di sebalik penganjuran Konsert berskala besar ini, kerjasama antara Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures sekali lagi menjadi antara tarikan utama.
Penganjuran ini merupakan kolaborasi kali kedua antara kedua-dua pihak selepas kejayaan membawa Wali menerusi Wali Live In JB pada 3 Oktober lalu di lokasi yang sama.
Konsert terdahulu berjaya menarik kehadiran kira-kira 14,000 penonton sehingga memenuhi ruang stadium, sekali gus memperlihatkan sambutan menggalakkan peminat terhadap persembahan artis popular di Johor.
Berbekalkan pengalaman tersebut, pihak penganjur kembali dengan sebuah lagi konsert berskala besar menerusi pemilihan EXISTS sebagai artis utama.
Wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz bin Abd Hamid dan Nur Liyana binti Abd Rahman berkata, kejayaan penganjuran terdahulu menjadi dorongan untuk mereka meneruskan usaha membawa lebih banyak persembahan artis tempatan kepada peminat muzik, khususnya di Johor Bahru.

“Berbekalkan pengalaman pertama tersebut, kami kembali dengan penganjuran Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru sebagai kesinambungan usaha membawa lebih banyak persembahan artis tempatan kepada peminat muzik, khususnya di Johor Bahru.
“Pemilihan EXISTS sebagai artis utama turut membawa nilai sentimental tersendiri memandangkan Johor merupakan tempat bermulanya perjalanan muzik kumpulan tersebut sebelum menempa nama dalam industri muzik tanah air.
“Sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan apabila sebanyak 50 peratus tiket konsert telah berjaya dijual, sekali gus memperlihatkan keterujaan peminat untuk menyaksikan kepulangan EXISTS ke pentas Johor Bahru,” katanya.
Perkembangan jualan tiket tersebut memperlihatkan keterujaan peminat untuk menjadi sebahagian daripada detik istimewa ini. Lebih tiga dekad berlalu, namun ikatan terhadap negeri kelahiran itu tidak pernah terpadam.
Buat peminat dan Havoxians yang mahu menjadi sebahagian daripada malam penuh nostalgia ini, tiket Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru ditawarkan menerusi enam kategori iaitu Janji Padamu (CAT 4) pada harga RM98, Julia (CAT 3) RM138, Bunga (CAT 2) RM168, Jesnita (GA) RM149, Alasanmu (CAT 1) RM428 dan Untukmu Ibu (SUPERVIP) RM928.
Tiket boleh didapati menerusi MyTicketAsia, konsert yang bakal berlangsung pada 9 Januari 2027 di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri ini dijangka bakal melakar satu lagi sejarah manis buat kumpulan EXISTS.