
Selepas empat tahun tidak dianjurkan, Festival Filem Video Pelajar Malaysia Ke-14 (FFVPM14) akhirnya kembali dengan membawa misi lebih besar untuk mengetengahkan kreativiti dan bakat generasi baharu dalam industri perfileman tanah air.
Kepulangan festival yang kali terakhir berlangsung pada 2022 ini pastinya dinantikan oleh penggiat seni muda, khususnya pelajar yang menjadikan dunia perfileman sebagai medan untuk menyampaikan idea, membina identiti kreatif dan mengasah kemampuan dalam menghasilkan karya audiovisual.
Lebih menarik, edisi kali ini bukan sekadar medan merebut trofi dan pengiktirafan. Sebanyak 177 penyertaan daripada 35 institusi pengajian tinggi serta sekolah menengah di seluruh negara bakal bersaing dalam 22 kategori pertandingan.
Malah, kemeriahan malam kemuncak turut diserikan dengan kehadiran barisan alumni ASWARA yang sudah mencipta nama dalam industri hiburan tempatan, termasuk kumpulan Floor 88.
Dianjurkan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menerusi Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), FFVPM14 bakal berlangsung pada 12 hingga 13 November 2026 di Dewan Kuliah Utama dan Panggung Eksperimen, ASWARA.
Mengangkat slogan “Manifestasi Madani, Mahakarya Gergasi”, festival ini membawa aspirasi untuk menjadikan karya anak muda sebagai sebahagian daripada perkembangan landskap perfileman negara.
FFVPM14 Kembali Selepas Empat Tahun, 177 Karya Buktikan Kreativiti Anak Muda

Kembalinya FFVPM14 memperlihatkan usaha ASWARA menghidupkan semula sebuah platform yang memberi ruang kepada pelajar untuk mengetengahkan hasil kreativiti masing-masing.
Sebanyak 177 penyertaan daripada 35 institusi, festival ini turut mencerminkan minat dan kesungguhan generasi muda dalam meneroka pelbagai cabang penghasilan karya audiovisual.
Rektor ASWARA, ‘Ainu Sham Haji Ramli berkata, penganjuran semula festival berkenaan bukan sekadar mengembalikan acara yang pernah menjadi sebahagian daripada ekosistem seni pendidikan, sebaliknya membuka peluang lebih luas kepada generasi baharu untuk memperlihatkan kemampuan mereka.
“Inisiatif ini bukan sekadar mengembalikan sebuah festival, tetapi turut membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengetengahkan kreativiti, meneroka pelbagai pendekatan penceritaan dan memperlihatkan potensi mereka dalam penghasilan karya audiovisual,” katanya.
Menurut beliau, setiap karya yang dipertandingkan membawa idea, perspektif dan pendekatan kreatif tersendiri yang wajar diberikan perhatian serta pengiktirafan.
Sebanyak 22 kategori dipertandingkan bagi memberikan peluang kepada peserta memperlihatkan kekuatan masing-masing, sama ada menerusi penceritaan, pengarahan, kreativiti visual mahupun kemahiran teknikal.
Lima kategori utama yang menjadi antara pengiktirafan tertinggi festival ialah Anugerah Keseluruhan, Filem Pendek Terbaik, Filem Dokumentari Pendek Terbaik, Filem Animasi Pendek Terbaik dan Video Muzik Terbaik.
Turut diperkenalkan ialah dua kategori khas, iaitu Anugerah Bakat Muda dan Anugerah Khas Juri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Azmir Saifuddin Mutalib menyifatkan FFVPM sebagai platform penting dalam mencungkil serta mengasah potensi bakat baharu sinema mahasiswa.
Beliau turut melihat karya yang dipertandingkan sebagai gambaran keberanian generasi muda dalam meneroka pelbagai genre, teknik sinematografi dan isu masyarakat melalui pendekatan penceritaan tersendiri.
“Karya-karya yang dipertandingkan dalam FFVPM14 bukan sahaja memperlihatkan keberanian anak muda meneroka pelbagai genre dan teknik sinematografi moden, malah menjadi cerminan pemikiran kritis generasi baharu terhadap isu-isu masyarakat,” ujarnya.
Floor 88, Amirul Affendi Antara Alumni ASWARA Bakal Meriahkan Malam Kemuncak

Jika pertandingan menjadi nadi utama festival, malam kemuncak FFVPM14 pula dijangka memberikan satu lagi tarikan menerusi kehadiran alumni ASWARA yang kini aktif dalam industri kreatif dan hiburan tanah air.
Antara nama yang bakal menyerikan acara ialah kumpulan Floor 88, Amirul Affendi, Ariff Zirkarnain, pengarah filem Baga dan 1 Cent Thief, Aiman Arif, pemenang kategori Editor Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34), selain Zulin Aziz dan Kai Hassan.
Kehadiran mereka sebagai penyampai trofi serta artis persembahan pastinya menambah kemeriahan acara, selain memperlihatkan perjalanan alumni ASWARA yang berjaya mengembangkan kerjaya dalam pelbagai cabang industri kreatif.
Lebih daripada sekadar memeriahkan pentas, penglibatan alumni ini turut membawa mesej bahawa perjalanan dalam bidang seni tidak terhenti selepas tamat pengajian.
Sebaliknya, ilmu, pengalaman dan kemahiran yang dibina sepanjang berada di institusi pendidikan boleh menjadi asas untuk melangkah lebih jauh dalam dunia profesional.
Mengulas lanjut, proses penjurian fasa pertama bagi pemilihan calon Top 5 untuk 20 kategori pertandingan telah selesai dilaksanakan oleh barisan juri profesional.
Pemilihan pemenang utama akan diteruskan dalam fasa seterusnya dengan penilaian mengambil kira kreativiti, keaslian idea, kekuatan penceritaan serta aspek teknikal mengikut kesesuaian setiap kategori.
Malam kemuncak FFVPM14 dijadualkan berlangsung pada 13 November 2026 dan akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi ASWARA serta FINAS dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam.
Kerjasama RTM Buka Peluang Karya Pelajar Menembusi RTM Klik

Antara perkembangan paling menarik dalam penganjuran FFVPM14 kali ini ialah kerjasama strategik bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang membuka peluang lebih luas kepada karya pelajar untuk diketengahkan kepada khalayak.
Menerusi kerjasama tersebut, video pendek terbaik daripada 22 kategori pertandingan akan disiarkan melalui platform RTM Klik.
Inisiatif ini memberikan nilai tambah kepada penyertaan festival kerana pengiktirafan terhadap karya pelajar tidak hanya tertumpu kepada keputusan pertandingan, malah berpotensi diperluas melalui platform penyiaran nasional.
Justeru, bagi pembikin filem muda, peluang untuk karya mereka ditonton oleh khalayak yang lebih besar merupakan satu pengalaman berharga dalam membina keyakinan serta memahami penerimaan penonton terhadap hasil kreativiti masing-masing.
Pada masa sama, pendedahan seumpama ini dapat membantu peserta mengenali keperluan sebenar industri, termasuk kepentingan kualiti kandungan, disiplin kerja, keaslian idea dan kemampuan menghasilkan penceritaan yang dekat dengan masyarakat.

Datuk ‘Ainu Sham Haji Ramli turut menegaskan komitmen ASWARA untuk melahirkan penggiat kreatif yang bukan sahaja menguasai pengetahuan dan kemahiran teknikal, malah mampu menghasilkan karya berkualiti serta berdaya saing.
Beliau berharap festival ini dapat menjadi ruang kepada pelajar untuk menguji idea, memperhalusi kemahiran dan membina jaringan bersama individu yang mempunyai aspirasi sama dalam bidang perfileman.
Justeru, dengan penyertaan yang memberangsangkan, kehadiran alumni berpengalaman serta kerjasama bersama RTM, FFVPM14 dilihat mampu menjadi titik permulaan kepada perjalanan lebih besar buat bakat muda yang sedang mencari ruang untuk mencipta nama.
Apa yang pasti Havoxians, kepulangan FFVPM selepas empat tahun bukan sekadar menghidupkan semula sebuah festival, tetapi turut membawa harapan agar lebih banyak karya anak muda mendapat perhatian dan peluang untuk berkembang.