
Alhamdulillah, berita baik untuk rakyat Gaza! Global Hayat bersama rakan kerjasama seperti Komuniti Dakwah Tarbiyah, Kelab Perwira Malaysia dan Nisa Al-Khair mengesahkan bahawa 11 lori kargo bantuan kecemasan dari Kempen ‘The Rightful Gift’ telah selamat tiba di Gaza sejak semalam 19 November 2025.
Menurut Pengarah Kempen The Righful Gift, Muhd Farhan Muhd Fadhil, kini lori-lori ini sedang diagihkan kepada keluarga-keluarga paling terkesan di utara dan bandar Gaza, membuka fasa baharu penghantaran bantuan melalui jalan darat ke sempadan Rafah.
Sejak gencatan senjata diumumkan pada 10 Oktober 2025, keadaan di Gaza masih sangat kritikal. Walaupun serangan berkurangan, kesannya masih mendalam. Lebih 70,000 rakyat Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Gaza Masih Bergelut! Syukur Bantuan 11 Lori Ringakan Beban

Ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal, terpaksa tinggal di khemah tanpa sumber air bersih. Hospital, sekolah, masjid dan infrastruktur asas kini hampir lumpuh. Selain itu, rakyat Gaza masih bergelut dengan krisis makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian akibat sekatan berterusan.
“Kami bersyukur kerana lori-lori bantuan ini berjaya menembusi sempadan dan dapat terus sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
“Ini adalah hasil usaha bersama rakyat Malaysia dan Nusantara, yang tidak putus-putus mendoakan dan menyumbang sejak Oktober 2023.” katanya.
Global Hayat menegaskan bahawa dalam situasi sebegini, neutraliti bukan pilihan. Apa-apa usaha normalisasi dengan rejim Israel, termasuk berdiam diri atau berpeluk tubuh, dianggap sebahagian daripada normalisasi itu sendiri.
Dalam isu kemanusiaan dan kezaliman yang jelas, menyuarakan kebenaran dan membantu mangsa genosid adalah kewajipan syarie, moral dan kemanusiaan.
“Pelan Damai Tanpa Pengabaian Suara Rakyat Palestin!” – Global Hayat

Terkini, Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan Pelan Damai Trump untuk Gaza, termasuk gencatan senjata, pengunduran tentera Israel dan penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa. Namun, Global Hayat menekankan bahawa sebarang pelan damai tidak boleh mengabaikan suara rakyat Palestin sendiri.
“Kita tidak boleh menjadi neutral ketika rakyat Gaza dan saudara se-Islam di Palestin terus menderita!
Setiap usaha untuk menyuarakan kebenaran dan membantu mereka adalah tanggungjawab moral dan kemanusiaan,” ujarnya.

Pelan yang tidak menjamin akses bantuan tanpa halangan, perlindungan orang awam, dan hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka, berisiko mengulangi kitaran penindasan dan genosid.
Dalam konteks ini, bantuan kemanusiaan Malaysia benar-benar memberi sinar harapan. Melalui Kempen ‘The Rightful Gift’, 11 lori kargo yang dihantar mengandungi Kotak Makanan Asas dan Gandum, manfaatnya dapat dirasai oleh 9,400 keluarga Gaza.
Ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia dan nusantara, yang tidak pernah putus memberi, mendoakan, dan menyokong rakyat Gaza sejak misi kemanusiaan bermula pada Oktober 2023.
Apa yang menarik, kejayaan ini bukan hanya milik satu organisasi, tapi kejayaan seluruh masyarakat Malaysia dan nusantara yang bersatu hati dalam misi kemanusiaan. Fasa akan datang, in shaa Allah, akan disertai lebih banyak NGO dan rakan strategik, menjadikan misi ini lebih besar dan lebih tersusun.
Global Hayat juga menekankan bahawa gencatan senjata ini belum sepenuhnya menjamin keselamatan. Bantuan antarabangsa masih terhad dan tidak stabil, dengan realiti bahawa hanya sekurang-kurangnya satu per tiga daripada jumlah lori yang diperlukan berjaya masuk ke Gaza berbanding keperluan harian rakyat di sana.
Global Hayat Dan NGO Malaysia Komited Salurkan Bantuan Ke Gaza!

Dengan perkembangan positif pembukaan laluan bantuan, misi ini mensasarkan penghantaran 100 lori kargo ke Gaza dalam fasa 1, menjelang akhir bulan Jun 2026. Komitmen ini akan diteruskan tanpa henti. Setiap sumbangan, kecil atau besar, memberi kesan langsung kepada saudara kita di Gaza yang kini melalui fasa paling mencabar dalam hidup mereka.
Pesan Global Hayat jelas: rakyat Malaysia dan nusantara tidak pernah meninggalkan Gaza. Usaha berterusan dalam misi kemanusiaan ini adalah bukti solidariti dan kasih sayang sejati. Setiap kotak makanan, setiap doa dan setiap usaha membantu, adalah saksi bahawa kita bersama rakyat Palestin dalam apa jua keadaan.
Seiring dengan itu, mereka juga menyeru agar masyarakat terus bersama dalam misi ini. Dengan sokongan berterusan, misi bantuan akan lebih tersusun, lebih besar dan memberi impak nyata kepada kehidupan rakyat Gaza. Di tengah kesengsaraan dan cabaran, semangat solidariti ini menjadi penguat dan harapan kepada mereka yang memerlukan.
‘The Rightful Gift’ bukan sekadar bantuan fizikal, tetapi simbol kasih sayang, kepedulian, dan pengakuan bahawa Gaza tidak pernah keseorangan – mereka sentiasa di hati rakyat Malaysia dan nusantara.