
Bagaimana jika orang yang paling dibenci sejak kecil akhirnya menjadi satu-satunya tempat untuk bergantung ketika seluruh dunia meninggalkan kita?
Inilah tonggak yang menjadi nadi kepada drama Viu Original terbaharu, Ate Kome, I Love You! (Hey You, It’s Just Love) yang mengangkat kisah dua musuh zaman kanak kanak yang dipertemukan semula oleh takdir ketika dewasa. Apa yang bermula dengan dendam yang diwarisi daripada keluarga akhirnya berkembang menjadi sebuah perjalanan penuh gelak tawa, air mata dan peluang kedua untuk mencintai.
Menampilkan gandingan Aniq Suhair dan Bella Dowanna, komedi romantik 12 episod ini bukan sekadar menawarkan kisah cinta klise, malah menyelitkan konflik kekeluargaan, luka masa lalu dan proses memaafkan yang dekat dengan realiti kehidupan. Di bawah arahan Helmi Yusof, siri ini dijangka menjadi antara naskhah tempatan yang mampu mencuri perhatian penonton menerusi gabungan emosi, humor dan chemistry dua pelakon utamanya.
Diterbitkan dengan sokongan jenama minuman POKKA, Ate Kome, I Love You! mula distrim secara eksklusif di Viu bermula 25 Jun 2026 dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.
Ate Kome, I Love You! Tampilkan Kisah Cinta Berputik Dari Dendam

Berbeza daripada kebanyakan drama romantik yang terus mempertemukan dua insan dalam suasana indah, Ate Kome, I Love You! memilih jalan penceritaan yang lebih menarik apabila permusuhan mereka berpunca daripada konflik dua keluarga.
Segala-galanya bermula apabila ibu kepada Mila dan Mamat yang dahulunya merupakan sahabat baik bermusuhan akibat perebutan seorang lelaki. Persengketaan itu akhirnya diwariskan kepada anak masing-masing sehingga mereka membesar dengan rasa benci yang sukar dipadamkan.
Selepas berkahwin dengan Daniel demi memenuhi kehendak keluarga, kehidupan Mila berubah sepenuhnya apabila rumah tangganya musnah. Ditinggalkan suami bersama beban hutang yang besar, dia nekad meninggalkan kehidupan lamanya untuk mencari sinar baharu di Kuala Lumpur.
Tanpa disangka, individu yang muncul menghulurkan bantuan ialah Mamat, musuh lamanya yang selama ini menjadi simbol kebencian dalam hidupnya.
Keputusan Mila menerima pelawaan Mamat untuk tinggal bersama keluarganya di sebuah flat kecil menjadi titik permulaan kepada pelbagai insiden lucu, pertelingkahan dan salah faham yang perlahan-lahan bertukar menjadi hubungan penuh keikhlasan.
Dalam masa sama, Mamat membantu Mila mencapai impian untuk kembali ke kampung halaman, bersemuka dengan keluarganya serta memohon keampunan daripada ibunya.
Pertaruhan Berani Helmi Yusof, Gandingkan Pelakon Lama Dan Bakat Baharu

Di sebalik kekuatan jalan cerita, drama ini turut diperkuatkan dengan gabungan pelakon yang mampu menghidupkan setiap emosi dalam naskhah.
Aniq Suhair dan Bella Dowanna kembali mencuri perhatian sebagai pasangan utama, manakala Bella sekali lagi bekerjasama dengan pengarah Helmi Yusof selepas kejayaan Viu Original Abang Imam Minah Skuter pada tahun 2025.
Turut mewarnai siri ini ialah Amy Mastura, Ieda Moin dan pendatang baharu Nurel Baharin yang membawa karakter tersendiri bagi melengkapkan perjalanan emosi setiap watak.

Lebih menarik, perjalanan cinta Mila dan Mamat diserikan dengan lagu tema rasmi berjudul Syarat Cinta nyanyian ALVN yang diterbitkan bersama oleh MsOrange Solutions Creative dan Rhunut Music.
Menurut pihak Viu, tema utama drama ini jelas menggambarkan mesej yang ingin disampaikan.
“Ate Kome, I Love You! membawa tema dendam lama, cinta baharu yang mengangkat kisah peluang kedua, kekeluargaan dan keberanian memaafkan demi membuka lembaran hidup yang lebih bermakna.”
Gabungan elemen komedi, kekeluargaan dan percintaan dijangka memberi pengalaman tontonan yang lebih menyentuh hati selain dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.
Meet & Greet Eksklusif! Pakej Baharu Viu Bersama iQIYI International

Bagi meraikan sambutan siri ini, Viu bersama POKKA akan menganjurkan sesi Meet & Greet eksklusif pada 17 Julai 2026 di Blue Concourse, Sunway Pyramid, Petaling Jaya.
Acara tersebut memberi peluang kepada peminat bertemu sendiri barisan pelakon utama selain menikmati pelbagai aktiviti menarik berkaitan drama berkenaan. Maklumat mengenai penyertaan akan diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi Viu Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Viu turut mengumumkan kerjasama strategik bersama iQIYI International menerusi pengenalan pakej langganan baharu yang bakal dilancarkan di Malaysia serta beberapa negara Asia Tenggara pada separuh kedua tahun 2026.
Pakej berkenaan bakal menawarkan akses kepada kedua-dua platform menerusi satu langganan yang menghimpunkan pelbagai kandungan premium Asia termasuk Viu Originals, drama Korea, drama China, produksi Asia Tenggara, filem, anime dan rancangan varieti.
Bagi pencinta drama romantik yang menggabungkan komedi, konflik kekeluargaan dan kisah penyembuhan emosi, Ate Kome, I Love You! menawarkan sebuah perjalanan yang bukan sahaja menghiburkan malah sarat dengan nilai kasih sayang, pengorbanan dan kemaafan.
Havoxians boleh menyaksikan siri ini secara eksklusif di Viu dan ikuti perkembangan lanjut serta maklumat penstriman di VIU Malaysia.