
Rock tidak pernah mati! Ia cuma menunggu masa dan pentas yang tepat untuk kembali menggegarkan jiwa peminatnya.
Itulah yang berjaya dibuktikan menerusi RockHauz Volume 1 apabila BE KL, Cheras bertukar menjadi medan pertemuan antara generasi lama dan baharu dalam satu malam yang sarat dengan semangat, muzik dan kebersamaan.
Dari persembahan bertenaga Suav, The Alif dan BigTones sehinggalah kemunculan istimewa guitaris lagenda Rock Edrie Hashim, setiap detik seolah-olah menghantar satu mesej yang jelas bahawa muzik rock tempatan masih mempunyai masa depan yang cukup gemerlapan.
Paling mencuri perhatian apabila acara ini berjaya membina jambatan antara dua generasi pemuzik, sekali gus memberi isyarat bahawa muzik rock tempatan masih mempunyai masa depan yang cerah jika terus diberi ruang untuk berkembang.
RockHauz Volume 1 Jadi Pentas Kebangkitan Band Baharu Malaysia

Penganjuran RockHauz Volume 1 membawa misi jelas iaitu menghidupkan semula budaya persembahan muzik secara langsung di samping membuka peluang kepada bakat baharu memperkenalkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Acara yang bermula sekitar jam 8 malam itu membuka tirai menerusi persembahan bertenaga daripada Suav sebelum pentas diambil alih oleh The Alif.
Kumpulan tersebut menghiburkan penonton menerusi rangkaian lagu seperti Substansi, Ya Ya Ya, The Story, Antologi Sakit Otak, Obsessive Love Disorder dan Radio yang berjaya mencetuskan suasana penuh energi sepanjang persembahan.
Momentum itu diteruskan oleh BigTones yang tampil dengan identiti muzik tersendiri menerusi lagu Tangkap Muat, Funky Si Bebal, Melodi Untukmu, Pemuda Al Bana serta sebuah lagu tribute berjudul Jerangkung Dalam Almari.
Setiap kumpulan yang tampil memperlihatkan karakter muzik berbeza, sekali gus membuktikan bahawa landskap rock tempatan masih kaya dengan idea kreatif dan bakat yang mampu diketengahkan kepada khalayak lebih besar.
Lebih menarik, RockHauz tidak hanya memberi ruang kepada persembahan, malah berjaya membina suasana komuniti apabila peminat, pemuzik dan penggiat industri berkumpul dalam satu ruang yang meraikan muzik tanpa batasan generasi.
Edrie Hashim Buktikan Legenda Masih Menjadi Inspirasi Generasi Baharu

Antara kemuncak yang paling dinantikan pada malam tersebut ialah kemunculan istimewa gitaris terkenal tanah air, Edrie Hashim menerusi segmen khas Edrie Hashim’s Experience.
Beliau membuka persembahan dengan lagu Last Caress nyanyian asal Misfits sebelum mempersembahkan karya instrumental solo Terpaling.
Aksi beliau diteruskan menerusi karya gitar virtuoso Answers oleh Steve Vai sebelum menutup persembahan dengan lagu ciptaannya sendiri berjudul Caramel Mocha Latte Rindu.
Kemunculan Edrie bukan sekadar memperlihatkan kehebatan teknik permainan gitarnya, malah menjadi lambang bagaimana pengalaman dan legasi mampu menjadi inspirasi kepada generasi pemuzik yang sedang membina nama.
Menurut Edrie, beliau berbangga melihat kesungguhan kumpulan muzik muda yang sanggup bekerja keras demi memastikan muzik rock terus mempunyai tempat dalam industri.
“Saya bangga melihat semangat yang ditunjukkan oleh band-band muda. Mereka mempunyai kesungguhan yang tinggi dan inilah yang diperlukan untuk memastikan muzik rock tempatan terus berkembang,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif bersama Team Havox.
Beliau turut menyifatkan usaha penganjur menyediakan platform seperti RockHauz sebagai langkah penting dalam melahirkan lebih ramai pemuzik berkualiti pada masa hadapan.
RockHauz Buktikan Budaya Gig Masih Relevan Dalam Industri

Di sebalik kemeriahan persembahan, kejayaan sebenar RockHauz Volume 1 terletak pada objektif utamanya iaitu mengembalikan budaya gig yang semakin berkurangan dalam landskap hiburan negara.
Dalam era penstriman digital yang semakin mendominasi industri muzik, persembahan secara langsung masih menawarkan pengalaman yang tidak mampu digantikan oleh mana mana platform.
Interaksi antara artis dan peminat, sorakan penonton serta suasana yang tercipta sepanjang acara membuktikan bahawa muzik secara langsung masih mempunyai nilai sentimental yang tinggi.
Sambutan menggalakkan yang diterima sepanjang malam turut memperlihatkan bahawa komuniti rock tempatan masih aktif menyokong karya anak tempatan.

RockHauz turut berjaya menjadi ruang pertemuan antara pemuzik baharu, pemain industri dan peminat muzik yang berkongsi minat sama terhadap perkembangan scene rock Malaysia.
Penganjur juga menyatakan hasrat untuk menjadikan RockHauz sebagai platform berterusan yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu serta mengukuhkan hubungan antara penggiat industri muzik tempatan.
Jika momentum ini dapat diteruskan, tidak mustahil RockHauz bakal muncul sebagai antara platform penting dalam memperkasakan semula budaya persembahan muzik alternatif di Malaysia.
RockHauz Volume 1 akhirnya membuktikan satu perkara yang cukup jelas. Havoxians, Rock N Roll bukan sekadar tinggal sebagai nostalgia, sebaliknya terus hidup melalui semangat generasi baharu yang berani berkarya, berani tampil di pentas dan bersedia membawa legasi muzik tempatan ke tahap yang lebih tinggi.