
Bayangkan seorang kanak-kanak datang ke sekolah dengan berlapar. Di dalam kelas, dia cuba memberi tumpuan, namun rasa lapar membuatkan hilang tumpuan hingga mengganggu pembelajaran sehingga potensi yang dimiliki gagal diserlahkan sepenuhnya.
Hakikat ini masih berlaku kepada ramai kanak-kanak daripada keluarga B40 di Malaysia. Di sebalik peningkatan kos sara hidup, membuatkan ramai ibu bapa terpaksa bergelut menyediakan pemakanan seimbang setiap hari buat anak-anak mereka.
Menyedari cabaran yang semakin membimbangkan itu, ATLAS Vending di bawah Etika Sdn Bhd melancarkan ATLAS Nutri Aid, sebuah inisiatif yang menggabungkan teknologi mesin layan diri pintar (smart vending machine) dengan misi kemanusiaan bagi memastikan murid yang memerlukan bekalan susu berkualiti secara percuma pada setiap hari persekolahan.
Dilancarkan bersempena Hari Susu Sedunia di The Goodday Milk Factory, Petaling Jaya baru-baru ini. Program ini dilihat bukan sekadar pengagihan susu, malah membawa sebuah harapan baharu kepada akses nutrisi yang mencukupi serta mampu mengubah masa depan seorang kanak-kanak bermula dari dalam bilik darjah.
ATLAS Nutri Aid Manfaatkan Teknologi Pintar Demi Masa Depan Kanak-Kanak

Pelancaran rasmi ini hadir selepas kejayaan program perintis yang dijalankan di beberapa sekolah terpilih sebelum ini. Program tersebut mencatat kadar penggunaan yang tinggi serta menunjukkan sistem transaksi yang lancar, sekaligus membuktikan keberkesanan model agihan nutrisi berasaskan teknologi.
Berikutan kejayaan itu, sebanyak 10 mesin layan diri ATLAS Nutri Aid akan ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih bagi membolehkan lebih ramai murid menikmati manfaat program berkenaan.
Melalui sistem kad sentuh khas yang diselaraskan mengikut kalendar persekolahan, murid yang layak boleh mendapatkan susu paket Goodday Charge Milk secara percuma pada setiap hari persekolahan. Pendekatan ini bukan sahaja memastikan bantuan disalurkan kepada penerima yang tepat, malah mengelakkan penyalahgunaan serta membolehkan pemantauan dilakukan dengan lebih sistematik.
Mesin layan diri pintar tersebut dibangunkan berasaskan rangka kerja Hygiene Aid yang menggabungkan teknologi digital dengan misi sosial bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan sasar secara lebih berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn Bhd dan Eksport Antarabangsa, Hemalatha Ragavan berkata, setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada pemakanan asas tanpa mengira latar belakang keluarga.

“Bagi kebanyakan keluarga, memastikan pemakanan harian anak-anak sentiasa terjamin merupakan satu cabaran besar, dan kekangan ini tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada potensi tumbesaran mereka,” ujarnya.
Katanya lagi, melalui ATLAS Nutri Aid, syarikat memastikan setiap murid yang layak menerima bekalan susu setiap hari persekolahan menerusi gabungan inovasi teknologi dan misi sosial yang jelas.
“Dengan menggabungkan inovasi teknologi dan misi sosial yang jelas, kami mampu menyalurkan nutrisi secara konsisten, bermaruah dan berimpak tinggi.
Usaha ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kadar kehadiran ke sekolah sekali gus memastikan generasi masa depan kita tidak tercicir daripada peluang keemasan untuk menimba ilmu,” jelasnya.
Hidden Hunger Masih Menghantui Kanak-Kanak Di Malaysia

Di sebalik pembangunan pesat negara, isu kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak masih menjadi cabaran besar yang memerlukan perhatian semua pihak.
ATLAS Nutri Aid diwujudkan bagi menangani masalah hidden hunger atau kelaparan tersembunyi serta isu tumbesaran terbantut yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan keluarga B40.
Menurut kajian SEANUTS II, lebih 70 peratus kanak-kanak di Malaysia masih gagal mencapai pengambilan harian Kalsium dan Vitamin D yang disyorkan. Pada masa sama, peningkatan kos sara hidup terus memberi tekanan kepada keluarga berpendapatan rendah sehingga ada yang sukar menyediakan hidangan lengkap setiap hari.
Keadaan itu turut menyumbang kepada kadar kelaparan kanak-kanak yang dilaporkan mencecah 58.4 peratus di beberapa kawasan bandar berpendapatan rendah.
Bagi membantu mengatasi situasi tersebut, setiap murid yang layak akan menerima Goodday Charge Milk yang dirumus dengan 10 nutrien penting bagi membantu menyokong tumbesaran fizikal, kesihatan tulang, fungsi kognitif serta memulihkan tenaga sepanjang sesi pembelajaran.
Pendekatan ini memperlihatkan bahawa teknologi bukan sahaja mampu memudahkan urusan harian, malah boleh dimanfaatkan untuk menyelesaikan cabaran sosial yang memberi kesan kepada masa depan generasi muda.
Kerjasama Strategik Pastikan Bantuan Sampai Kepada Golongan Yang Memerlukan

Kejayaan pelaksanaan ATLAS Nutri Aid turut didorong oleh kerjasama erat Yayasan Raja Muda Selangor yang memainkan peranan penting dalam aspek pembiayaan, penyelarasan komuniti serta mengenal pasti murid yang layak menerima manfaat program.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor, Muhammad Syazwan Mohd Daut berkata, pemakanan yang baik merupakan asas penting dalam membentuk generasi berilmu dan berdaya saing.
“Misi kami di Yayasan Raja Muda Selangor sentiasa tertumpu kepada usaha memangkin potensi golongan muda. Pemakanan yang seimbang merupakan asas utama kepada keupayaan seorang kanak-kanak untuk belajar, memberikan tumpuan dan berkembang maju di sekolah,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa ATLAS Nutri Aid bukan sekadar menyediakan bekalan susu harian, malah membuka peluang pendidikan yang lebih adil kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Melalui ATLAS Nutri Aid, kami bukan sekadar menyediakan nutrisi harian malah kami bersama sama meruntuhkan tembok halangan terhadap akses pendidikan. Langkah ini memberikan kanak-kanak tenaga dan peluang yang saksama untuk mengejar impian mereka,” tambahnya.
Melalui komitmen jangka panjang ini, ATLAS Nutri Aid diharap mampu menjadi model baharu dalam usaha memperkasakan kebajikan kanak-kanak menerusi gabungan inovasi, teknologi dan kerjasama strategik.
Sekadar recap Havoxians, lebih daripada sekadar sebuah mesin layan diri, inisiatif ini membuktikan bahawa akses kepada nutrisi yang baik mampu menjadi titik permulaan kepada masa depan yang lebih cerah.
Apabila keperluan asas kanak-kanak dipenuhi, mereka bukan sahaja lebih sihat dan cergas, malah mempunyai peluang yang lebih besar untuk belajar, berkembang dan merealisasikan potensi sebenar mereka.