
Kesihatan mental dalam kalangan anak muda bukan lagi isu yang boleh dipandang remeh, apatah lagi apabila semakin ramai berdepan tekanan emosi yang tidak diketahui orang sekeliling.
Malah, di sebalik jawapan “Saya okay”, ada perasaan yang sukar diluahkan, masalah yang dipendam dan ketakutan untuk mendapatkan bantuan.
Persoalannya, sejauh mana kita mengenali emosi golongan muda di sekeliling kita? Adakah kita sekadar bertanya khabar, atau bersedia mendengar apabila mereka berkata bahawa mereka sebenarnya tidak okay?
Persoalan inilah yang cuba diketengahkan menerusi siri mini vertikal I’m Not Okay, Cikgu! yang menampilkan Mira Filzah dan Waheeda Wassini sebagai antara wajah utama dalam sebuah penceritaan mengenai kesihatan mental generasi muda.
Diterbitkan dengan sokongan Yayasan Hasanah, siri ini mengajak masyarakat melihat cabaran emosi yang dihadapi golongan muda dengan perspektif lebih terbuka, sekali gus mengingatkan bahawa setiap perasaan wajar diberikan perhatian tanpa mengira usia.
Siri berkenaan telah diperkenalkan menerusi tayangan sulung di GSC, The Starling Mall pada 14 November 2026, dengan kehadiran pelajar sekolah, guru, ibu bapa serta penggerak kesihatan mental.
Mira Filzah Pesan Generasi Muda Jangan Pendam Perasaan, Berani Luahkan Emosi

Menerusi penglibatannya dalam I’m Not Okay, Cikgu!, Mira Filzah menegaskan mesej penting bahawa golongan muda tidak seharusnya berasa bersalah apabila berhadapan dengan emosi seperti kesedihan, ketakutan dan kebimbangan.
Pelakon itu turut mengingatkan bahawa setiap individu berhak merasakan apa yang sedang dialami tanpa perlu berpura-pura kuat sepanjang masa.
“Your feelings are valid. It’s okay to feel scared, tak apa rasa takut, rasa sedih. Tapi pastikan jangan pendam. Sentiasa berkongsi rasa itu,” antara pesanan Mira yang cukup dekat dengan realiti kehidupan generasi muda hari ini.
Kata-kata tersebut membawa satu peringatan bahawa meluahkan perasaan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya langkah awal untuk memahami keadaan diri dan mendapatkan sokongan yang diperlukan.
Melihat realiti kehidupan seharian, tekanan akademik, hubungan persahabatan, keluarga serta tuntutan persekitaran boleh memberikan kesan terhadap kesejahteraan emosi seseorang.
Namun, tidak semua anak muda mempunyai keberanian untuk menceritakan apa yang sedang berlaku. Sesetengahnya memilih untuk berdiam diri kerana bimbang reaksi orang lain, manakala ada juga yang tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan mengenai perkara yang membebankan fikiran mereka.
Justeru, mesej Mira menjadi antara inti pati penting yang ingin disampaikan menerusi siri ini. Anak muda perlu diberikan ruang untuk mengenali emosi sendiri, selain memahami bahawa mendapatkan bantuan bukan sesuatu yang memalukan.
Lebih daripada sekadar pesanan di hadapan kamera, pendekatan sebegini diharapkan dapat membuka ruang perbualan yang lebih jujur antara golongan muda dengan individu yang mereka percayai.
Waheeda Wassini Bawa Mesej Kepentingan Mendengar dan Memahami Emosi Anak Muda

Selain Mira Filzah, penglibatan Waheeda Wassini turut menguatkan mesej yang dibawa menerusi I’m Not Okay, Cikgu!, khususnya mengenai tanggungjawab golongan dewasa dalam memahami keperluan emosi generasi muda.
Isu kesihatan mental tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu anak muda untuk diselesaikan sendiri. Sebaliknya, ibu bapa, guru dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk mereka meluahkan perasaan.
Perkara ini turut ditekankan oleh Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Puan Siti Kamariah Ahmad Subki, yang mengingatkan bahawa usia muda tidak bermakna masalah yang dihadapi seseorang itu kecil.
“Usia muda tidak bermakna masalah yang dihadapi itu kecil. Apa yang anda rasakan tetap penting, dan anda tidak perlu berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja sepanjang masa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa orang dewasa perlu belajar untuk mendengar apabila golongan muda tampil berkongsi masalah, bukannya memperkecilkan pengalaman mereka atau terburu-buru memberikan nasihat.
“Ada kalanya, mengetahui bahawa seseorang sedia mendengar sahaja sudah mampu membawa perubahan yang besar,” jelasnya.
Pesanan tersebut wajar diberikan perhatian kerana tidak semua individu yang sedang bergelut dengan emosi memerlukan jawapan segera terhadap masalah mereka.
Yayasan Hasanah turut melihat kesejahteraan emosi sebagai sebahagian daripada pembangunan insan yang menyeluruh. Kejayaan seseorang anak tidak seharusnya diukur melalui pencapaian akademik dan keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira perkembangan peribadi serta keupayaan mereka mengharungi cabaran kehidupan.
I’m Not Okay, Cikgu! Angkat Lima Kisah Kesihatan Mental di Sekolah

Menariknya, I’m Not Okay, Cikgu! tidak bergantung kepada satu jalan cerita sahaja untuk menyampaikan mesejnya.
Siri mini ini dipersembahkan menerusi lima jalan cerita yang mengikuti watak berbeza di sebuah sekolah fiksyen bernama Sekolah Integrasi Damai. Setiap kisah mengetengahkan situasi dan cabaran peribadi yang dekat dengan kehidupan golongan muda.
Selain Mira Filzah dan Waheeda Wassini, siri ini turut menampilkan Mia Sara Shauki, Zul Zamir, Jun Vinh Teoh, Meer Nash dan Syafiqah A. Pohan. Turut diperkenalkan ialah bakat muda Nurul Irdina, Raisya El dan Irsyad Anakib.
Penggunaan format vertikal pula dilihat sebagai pendekatan yang bersesuaian dengan tabiat penggunaan kandungan digital generasi masa kini, khususnya menerusi telefon pintar dan platform media sosial.
Menerusi penceritaan yang ringkas dan dekat dengan kehidupan seharian, isu kesihatan mental diharapkan dapat disampaikan dengan cara yang lebih mudah difahami tanpa menghilangkan kepentingan mesej yang ingin diketengahkan.

Siri ini dibangunkan dan diterbitkan oleh Folklore Studio selepas Yayasan Hasanah mengadakan sesi pencarian terbuka yang menerima pelbagai permohonan.
Nell Hanan bertindak sebagai penulis dan pengarah, manakala penerbitan dikendalikan oleh Nell Hanan bersama Zul Zamir. Gabungan penceritaan kreatif dan kesedaran sosial ini diharapkan dapat menjadikan perbincangan mengenai kesihatan mental lebih terbuka dalam kalangan masyarakat.
Menurut Yayasan Hasanah, penerbitan ini bukan sekadar usaha meningkatkan kesedaran, sebaliknya mahu menggalakkan golongan muda mengenali tanda-tanda tekanan emosi, mendapatkan sokongan serta mengetahui saluran yang boleh dirujuk apabila memerlukan bantuan.
Walaupun sebuah siri mini tidak mampu menyelesaikan keseluruhan cabaran kesihatan mental, usaha sebegini sekurang-kurangnya boleh menjadi titik permulaan kepada perbualan yang lebih bermakna di rumah, sekolah dan dalam kalangan rakan sebaya.
Menariknya, I’m Not Okay, Cikgu! turut menampilkan runut bunyi asli berjudul ‘Peluk Diri Kecil Kita’, hasil ciptaan Nabil Wahab dengan sinematografi oleh Zulkarnain Zuber. Lagu ini menjadi pelengkap kepada mesej siri berkenaan yang mengajak setiap individu untuk lebih menyayangi diri sendiri dan memberikan perhatian terhadap kesejahteraan emosi.
Sekadar info Havoxians, I’m Not Okay, Cikgu! boleh ditonton menerusi akaun Instagram rasmi @yayasan_hasanah dan @folklorestudioarts mulai 16 November 2026.
