
Geekay membuat sorakan ribuan penyokong bergema sebaik sahaja skrin utama memaparkan keputusan terakhir. Ada yang melompat kegembiraan, ada yang terduduk kecewa, namun satu perkara cukup jelas. Esports di Malaysia bukan lagi sekadar hobi, sebaliknya sudah berkembang menjadi fenomena yang mampu menghimpunkan puluhan ribu pemain dan peminat di bawah satu bumbung.
Lebih menarik, perjalanan untuk bergelar juara bukanlah sesuatu yang mudah. Selepas berbulan-bulan melalui pusingan kelayakan di seluruh negara, hanya dua pasukan terbaik berjaya berdiri di pentas Grand Final Mountain Dew Challenge Musim 2 bagi merebut gelaran paling berprestij dalam kejohanan Honor of Kings serta hadiah keseluruhan bernilai RM750,000.
Dalam perlawanan yang menjadi tumpuan komuniti permainan video tempatan, GEEKAY akhirnya membuktikan status mereka sebagai antara pasukan pilihan apabila menewaskan RENN dengan kemenangan bergaya, sekali gus menutup tirai salah satu kejohanan esports terbesar di Malaysia baru-baru ini.
GEEKAY Buktikan Status Pasukan Dengan Menang Bergaya

Perlawanan akhir menyaksikan GEEKAY mempamerkan aksi dominan apabila menewaskan RENN dengan keputusan 3 0 dalam format best of five. Kemenangan itu mengesahkan status mereka sebagai antara pasukan pilihan sejak awal kejohanan.
Walaupun gagal menjulang trofi kejuaraan, RENN tetap mencuri perhatian apabila mencipta kejutan besar dengan menyingkirkan Aurora Gaming pada peringkat separuh akhir. Prestasi cemerlang mereka membuktikan bahawa semakin ramai pemain tempatan memiliki kemampuan untuk bersaing di pentas tertinggi.
Sebagai juara, GEEKAY membawa pulang wang tunai RM50,000 bersama ganjaran eksklusif dalam permainan Honor of Kings termasuk Baucar Razer Gold bernilai RM1,000 selain dinobatkan sebagai Juara Dew Challenge Musim 2.
RENN selaku naib juara menerima hadiah wang tunai RM25,000 serta baucar bernilai RM500 manakala Aurora Gaming melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan hadiah RM10,000 dan baucar bernilai RM250.
Anugerah Finals Most Valuable Player pula menjadi milik GK Musang King yang turut membawa pulang Monitor Strix OLED tajaan ROG selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang perlawanan akhir.
Dew Challenge Musim 2 Perkukuh Kedudukan Sebagai Festival E-Sports Terbesar Malaysia

Berbanding musim pertama, Mountain Dew Challenge Musim 2 tampil dengan skala penganjuran yang jauh lebih besar.
Sebanyak enam pusingan kelayakan diadakan di seluruh negara termasuk buat pertama kalinya di Kuantan dan Sabah yang sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai pemain dari Malaysia Timur untuk menyertai pertandingan ini.
Selain itu, trak jelajah Mountain Dew turut bergerak dari Kedah hingga Johor bagi mencari bakat baharu sekali gus memperluaskan penglibatan komuniti permainan video di luar Lembah Klang.
Usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila lebih 43,000 penyertaan direkodkan sepanjang kempen berlangsung.

Malah, angka tersebut membuktikan bahawa minat terhadap esports di Malaysia terus meningkat dengan sokongan daripada pemain, peminat dan komuniti digital yang sentiasa mengikuti perkembangan pertandingan menerusi siaran langsung serta aktiviti media sosial.
Sepanjang Grand Final berlangsung, ribuan pengunjung memenuhi ruang acara bukan sahaja untuk menyaksikan aksi pertandingan malah turut menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti mesin ganjaran interaktif, inisiatif Recycle for Rewards, penebusan blind box dan cabaran Test of Speed yang memberikan pengalaman lebih menyeronokkan kepada setiap pengunjung.
Etika Yakin Masa Depan E-Sports Malaysia Makin Cerah

Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd., Amy Gan berkata Mountain Dew Challenge Musim 2 diwujudkan bagi memberi lebih banyak peluang kepada komuniti pemain menikmati pengalaman yang lebih bermakna melalui pertandingan, ganjaran serta aktiviti secara langsung.
“Dew Challenge Musim 2 diwujudkan bagi memberi lebih banyak peluang kepada para pemain untuk menikmati perkara yang mereka minati sama ada melalui pertandingan, ganjaran, pengalaman secara langsung mahupun sekadar menjadi sebahagian daripada kemeriahan acara.
Sepanjang enam bulan lalu, kami menyaksikan sebuah komuniti yang sentiasa saling menyokong, berani mencabar batasan serta memberi inspirasi antara satu sama lain, sekali gus mencerminkan kekuatan dan perkembangan positif landskap esports di Malaysia,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyifatkan sambutan luar biasa yang diterima sepanjang musim ini sebagai petanda bahawa platform pertandingan seperti Dew Challenge terus mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pemain tempatan.

“Sambutan yang diterima pada musim ini membuktikan momentum pertumbuhan esports di Malaysia. Daripada ribuan pemain yang mengambil bahagian sehinggalah kepada peminat yang mengikuti perkembangan secara dalam talian dan di lokasi acara, Mountain Dew Challenge Musim 2 mengukuhkan lagi permintaan terhadap platform pertandingan yang mudah diakses serta penuh dengan aksi bertenaga.
Bagi pihak seluruh warga Etika, tahniah diucapkan kepada para juara dan semua pihak yang menjayakan musim ini,” tambanhya.
Dengan berakhirnya Mountain Dew Challenge Musim 2, kejohanan ini bukan sahaja melahirkan juara baharu malah membuktikan bahawa ekosistem esports Malaysia terus berkembang dengan penyertaan yang semakin meluas dari seluruh negara.
Menariknya, daripada pemain amatur hinggalah atlet profesional, pertandingan ini menjadi pentas untuk mengetengahkan bakat tempatan sambil memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang semakin aktif dalam arena permainan kompetitif di rantau ini.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Mountain Dew Challenge serta perkembangan musim akan datang, Havoxians boleh melayari laman sesawang MountainDewMalaysia atau mengikuti di Facebook dan @MountainDewMY di Instagram.