
Halloween biasanya sinonim dengan kostum menyeramkan, rumah hantu dan suasana penuh misteri. Namun, SlyBear Scary Good Fest 2026 membuktikan bahawa sebuah festival bertemakan seram mampu menawarkan lebih daripada sekadar pengalaman mendebarkan apabila permainan, sukan elektronik, pertandingan Beyblade dan aktiviti seni turut menjadi sebahagian daripada tarikannya.
Berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober yang lalu di The Goodday Milk Factory, Petaling Jaya, festival selama tiga hari itu menghimpunkan peminat hiburan daripada pelbagai peringkat usia dan latar minat.
Antaranya mereka yang mahu menguji keberanian di rumah hantu hingga pengumpul barangan hobi yang memburu koleksi kegemaran.
Selain itu, SlyBear Scary Good Fest 2026 bukan sekadar mengetengahkan aktiviti hiburan bermusim. Penganjuran ini turut memperlihatkan bagaimana permainan, kreativiti dan minat bersama mampu menjadi medium untuk menghimpunkan komuniti dalam satu ruang.
Dianjurkan oleh Goodday Milk dengan kerjasama SlyBear Eatery serta Topcom atau Pulse Project Asia, festival ini menawarkan beberapa tarikan yang menjadikannya berbeza daripada acara Halloween konvensional.
Havoxians mesti teringin nak tahu, apa agaknya tarikan menarik di sebalik SlyBear Scary Good Fest 2026 yang menjadikan festival ini lebih daripada sekadar acara bertema seram sempena ketibaan Halloween kan?
Rumah Hantu & Cursed Royal Carriage Jadi Tarikan Seram Utama

Malah, khusus buat pengunjung yang gemarkan pengalaman mencabar keberanian, rumah hantu dan Cursed Royal Carriage antara tarikan yang mencuri perhatian sepanjang festival berlangsung.
Kedua-dua tarikan ini membawa elemen misteri dan kejutan yang sinonim dengan sambutan Halloween, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung yang mahu merasai sendiri suasana menyeramkan.
Namun, tarikan festival ini tidak terhad kepada pengalaman seram semata-mata tau. Penganjur turut menyusun pelbagai aktiviti lain bagi memastikan pengunjung dengan minat berbeza dapat menikmati setiap acara tersedia.
Pendekatan tersebut menjadikan festival ini lebih bersifat inklusif, khususnya buat keluarga yang datang bersama anak-anak, kumpulan rakan yang mahu mencuba aktiviti baharu dan peminat hiburan yang mencari pengalaman hujung minggu berbeza.
Menariknya, destinasi gaya hidup lima ekar di The Goodday Milk Factory, festival ini turut memanfaatkan ruang yang tersedia untuk menghimpunkan pelbagai aktiviti hanya di satu lokasi.
Pertandingan Esukan Dan Beyblade Tawarkan Hadiah Lumayan

Jika rumah hantu menguji keberanian, pertandingan esukan pula menguji kemahiran, strategi dan ketangkasan peserta.
SlyBear Scary Good Fest 2026 menyediakan kejohanan esukan dengan jumlah hadiah keseluruhan RM2,300, sekali gus memberikan ruang kepada pemain untuk mempertaruhkan kebolehan masing-masing dalam suasana pertandingan.
Terutamnya bagi peminat permainan yang lebih dekat dengan dunia hobi dan koleksi, pertandingan Beyblade X ini antara pengisian menarik festival ini yang menjadi tumpuan.
Penganjuran serta kerjasama Warung Hobi dan WAIBBA, pertandingan tersebut memberi peluang kepada peminat untuk berkumpul, bertanding dan berkongsi hobi terhadap permainan yang memerlukan strategi serta teknik tersendiri.
Lebih menarik, festival ini turut menampilkan sesi bimbingan khas bersama Akmal, juara G1 Malaysia 2025 yang mewakili negara ke Kejohanan Dunia, serta Tito O.
Kehadiran pemain berpengalaman itu turut memberikan peluang kepada peminat untuk mempelajari teknik permainan dan mendapatkan pandangan daripada individu yang mempunyai pengalaman dalam arena Beyblade.
Gabungan pertandingan dan sesi bimbingan ini memperlihatkan bahawa aktiviti hobi bukan sekadar hiburan santai. Para peminat juga dapat mengasah bakat menerusi sesi latihan, kemahiran dan semangat persaingan.
Pada masa sama, pengunjung juga boleh meneroka ruang jualan barangan hobi yang menampilkan kad dagangan, permainan dan pelbagai barangan koleksi. Permainan karnival serta merasai pengalaman interaktif.
Bukan Sekadar Hiburan, Festival Ini Satukan Keluarga dan Komuniti

Satu lagi fakta menarik tentang SlyBear Scary Good Fest 2026 ialah kepelbagaian aktiviti yang disediakan buat pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.
Misalnya, kanak-kanak berumur enam hingga 16 tahun, berpeluang menyertai pertandingan seni yang mengetengahkan inspirasi daripada kartun, komik, adiwira serta anime.
Aktiviti ini memberikan ruang peserta cilik untuk mengekspresikan kreativiti, selain membolehkan mereka berkongsi minat terhadap watak dan dunia imaginasi kegemaran.
Lebih mengujakan, pengunjung turut berpeluang memenangi cenderamata, barangan koleksi dan hadiah menerusi pelbagai aktiviti, pertandingan dan cabutan bertuah.
Pembelian hidangan terpilih bersama Goodday Milk atau Pepsi juga membolehkan pengunjung menyertai aktiviti Spin & Win untuk mendapatkan hadiah serta-merta dan peluang memasuki cabutan bertuah.
Malah, antara jenama dan rakan komuniti yang turut terlibat pada festival kali ini ialah Goodday Charge, Pepsi, U Mobile, Famous Amos, Warung Hobi dan Persekutuan Esukan Malaysia.
Di sebalik kepelbagaian pengisian tersebut, matlamat untuk menghimpunkan masyarakat menjadi antara mesej utama penganjuran festival ini.

Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan, menjelaskan bahawa konsep kehidupan sihat pada masa kini tidak hanya tertumpu kepada pemakanan, malah turut merangkumi hubungan sosio-budaya dan pengalaman yang interaktif dalam kehidupan seharian.
“Goodday sentiasa percaya bahawa amalan hidup sihat perlu dipermudah. Namun, kehidupan sihat pada masa kini bukan sekadar berkaitan pemakanan.
Ia juga merangkumi usaha menyatukan masyarakat, membina hubungan dan mencipta pengalaman yang memperkayakan kehidupan seharian,” katanya.
Menurut beliau, visi di sebalik The Goodday Milk Factory adalah untuk mewujudkan sebuah ruang yang membolehkan pelbagai komuniti, minat dan generasi berkumpul melalui pengalaman bersama.
Sementara itu, Pengasas Bersama merangkap Ketua Cef SlyBear Eatery, Sid Ng turut berkongsi bahawa perancangan awal untuk sebuah acara komuniti berskala kecil berkembang menjadi festival selama tiga hari apabila semakin ramai pihak menunjukkan keterujaan untuk bekerjasama.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan dan semangat kebersamaan dalam menjayakan acara berkenaan.
“Selagi terdapat makanan yang enak, aktiviti yang menyeronokkan dan masyarakat yang baik di sekeliling kami, kami berharap festival ini menjadi yang pertama daripada banyak lagi festival yang bakal dianjurkan pada masa hadapan,” ujarnya.
Ditambah pula, kemasukan ke festival ini adalah percuma, manakala bayaran dikenakan bagi pengalaman tertentu. Pendekatan tersebut membuka peluang kepada lebih ramai pengunjung untuk menikmati suasana festival tanpa perlu membayar tiket masuk.
Secara keseluruhan, SlyBear Scary Good Fest 2026 memperlihatkan bagaimana sebuah festival bertemakan Halloween boleh berkembang menjadi platform yang menggabungkan hiburan, pertandingan, kreativiti dan interaksi sosial.
Merangkumi debaran rumah hantu hingga kesungguhan peserta Beyblade, setiap pengisian membawa pengalaman tersendiri yang mencerminkan kepelbagaian minat masyarakat hari ini.