
Pasti ada dikalangan Havoxians pernah merasa patah hati kan? Bagi for Revenge, patah hati bukan sekadar kisah yang berakhir dengan air mata, tetapi emosi kembali hidup setiap kali sebuah lagu dimainkan.
Namun, bagaimana jika lagu yang pernah menemani detik paling menyakitkan dalam hidup itu dinyanyikan beramai-ramai bersama ribuan peminat yang turut menyimpan cerita duka tersendiri?
Persoalan itu bakal menemukan jawapannya menerusi konsert Titik Sadrah yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 November ini.
Lebih istimewa, kumpulan muzik Indonesia itu bukan sahaja mahu meraikan perjalanan seni selama dua dekad, malah mengajak peminat berkongsi cerita dan foto yang mempunyai hubungan istimewa dengan lagu-lagu mereka!
Konsert for Revenge Titik Sadrah Kuala Lumpur Satukan Kisah Patah Hati Peminat

Khusus buat peminat yang mengikuti perjalanan for Revenge, muzik mereka bukan sekadar susunan melodi dan lirik yang mudah melekat di ingatan.
Karya kumpulan itu turut menjadi ruang untuk pendengar memahami perasaan sendiri, khususnya ketika berdepan cinta yang tidak kesampaian, perpisahan dan kenyataan.
Jurucakap penganjur Neptunes Presents, Muhamad Hadi Johari, berkata perjalanan muzik for Revenge berkembang seiring dengan pengalaman dan perubahan emosi yang dikongsi menerusi karya mereka.
“Daripada Fireworks dan Second Chance, hinggalah Perayaan Patah Hati Babak 1 dan Babak 2, setiap karya membawa kisah tersendiri dan mencerminkan perkembangan muzik kumpulan terbabit,” katanya.
Jelasnya, perjalanan muzik yang bermula di Bandung itu kini diteruskan ke Kuala Lumpur bagi menemukan for Revenge dengan peminat Malaysia yang selama ini mengikuti karya mereka merentasi sempadan.
Apa yang lebih mengujakan, konsert Titik Sadrah turut mengajak peminat berkongsi lagu for Revenge yang paling dekat dengan kehidupan mereka, berserta cerita di sebaliknya.
Malah, cerita dan foto terpilih daripada peminat akan menjadi sebahagian daripada pengalaman berharga bagi kumpulan itu menjelang malam konsert di Kuala Lumpur kelak.
Selain itu, mungkin lagu yang pernah menjadi teman ketika seorang peminat kehilangan cinta turut membawa makna berbeza kepada pendengar lain yang sedang belajar menerima kekecewaan.
for Revenge Raikan Ulang Tahun Ke 20 Bersama Artis Undangan Istimewa

Sambutan dua dekad dalam industri muzik pastinya menjadi pencapaian penting bagi setiap kumpulan muzik, terutamanya apabila perjalanan tersebut turut menyaksikan perjalanan muzik, perkembangan peminat dan kematangan dalam setiap penghasilan karya.
Sekadar info, kumpulan ini ditubuhkan pada 2006 di Bandung, Indonesia, for Revenge dianggotai Boniex Noer (vokalis), Arief Ismail (gitar), Izha Muhammad (bass) dan Archims Pribadi (dram).
Sepanjang perjalanan mereka, kumpulan itu menghasilkan karya yang memperlihatkan identiti muzik serta emosi melalui penulisan lagu.
Album Perayaan Patah Hati Babak 1 yang diterbitkan pada 2022 antara bukti kukuh kematangan mereka dalam mengolah pengalaman serta emosi menjadi karya yang mampu diterima oleh pelbagai lapisan pendengar.
Lebih menarik lagi, sambutan ulang tahun ke-20 mereka kali ini bakal diserikan dengan kehadiran barisan artis undangan, sekaligus memberikan warna tersendiri di pentas Kuala Lumpur.
Antara nama yang bakal berkongsi pentas adalah Cynantia Pratita, Dul Jaelani, Fiersa Besari, Rony Parulian, Sekumpulan Orang Gila dan Tepe.
Justeru, gabungan artis daripada latar muzik berbeza ini dilihat membuka peluang untuk penonton menikmati sebuah persembahan yang lebih pelbagai, selain menantikan kemungkinan detik istimewa sepanjang konsert berlangsung.
Konsert anjuran Neptunes Presents dengan kerjasama Antara Suara dan Sony Music itu menjadi antara persinggahan penting dalam perjalanan antarabangsa kumpulan berkenaan. Selepas dua dekad membina nama menerusi karya yang dekat dengan emosi pendengar, pentas Kuala Lumpur bakal menjadi ruang untuk mereka meraikan perjalanan tersebut bersama peminat di Malaysia.
Titik Sadrah Ajak Peminat Belajar Terima, Ikhlas Lepaskan Masa Lalu

Di sebalik tajuk Titik Sadrah, tersimpan satu gagasan tentang penerimaan, iaitu saat seseorang berhenti melawan perkara yang sudah berlaku dan mula memberikan ruang kepada diri sendiri untuk meneruskan kehidupan.
Malah, bagi sesetengah orang, proses itu mungkin mengambil masa yang panjang. Ada yang memerlukan ruang untuk bersedih, ada yang belajar berdamai dengan kenangan, manakala sebahagian yang lain akhirnya menemui kekuatan untuk memulakan kehidupan baharu.
Muhamad Hadi berkata, setiap lagu for Revenge mempunyai hubungan tersendiri dengan pengalaman pendengar.
“Ada lagu yang hadir ketika seseorang jatuh cinta, ada yang menjadi teman ketika melalui perpisahan, manakala sebahagiannya pula menemani proses untuk menerima dan melepaskan sesuatu yang sudah berlalu,” tambahnya.
Beliau turut menyifatkan pentas Titik Sadrah di Kuala Lumpur sebagai peluang untuk menghimpunkan pelbagai kisah itu dalam satu ruang.
“Pentas Titik Sadrah di Kuala Lumpur memberi peluang kepada semua cerita itu untuk bertemu dalam satu ruang,” ujarnya.
Kenyataan itu menggambarkan hala tuju konsert yang mahu melangkaui pengalaman persembahan muzik biasa.
Para penonton bukan sahaja akan mendengar lagu yang pernah menemani perjalanan hidup mereka, malah berpeluang berkongsi pengalaman dan emosi bersama individu lain yang mungkin pernah melalui situasi sama.
Justeru, peminat yang membesar bersama lagu-lagu for Revenge, konsert ini merupakan peluang untuk melihat sejauh mana muzik kumpulan itu berkembang sepanjang 20 tahun, daripada permulaan di Bandung sehingga mampu menjangkau pendengar di negara lain.
Havoxians dan peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada pengalaman penuh emosi ini, konsert for Revenge: Titik Sadrah akan berlangsung pada 15 November 2026 di Zepp Kuala Lumpur. Maklumat lanjut mengenai konsert dan pembelian tiket boleh didapati menerusi laman rasmi for Revenge.