
Bukan semua drama berakhir sebaik episodnya tamat. Ada juga naskhah yang terus hidup dalam perbualan masyarakat kerana terlalu dekat dengan realiti.
Itulah yang sedang berlaku kepada Bidadari Tanpa Syurga apabila satu babak lakonan Dato Aaron Aziz sebagai Azlan bukan sekadar tular di media sosial, malah membuka ruang kepada ribuan netizen berkongsi pengalaman pernah menjadi mangsa manipulasi emosi, gaslighting dan penyalahgunaan agama dalam hubungan.
Lebih mengejutkan, ruangan komen yang pada awalnya membincangkan sebuah drama akhirnya bertukar menjadi medan luahan kisah sebenar, membuktikan naskhah ini berjaya menyentuh luka yang selama ini dipendam ramai.
Babak Bidadari Tanpa Syurga Jadi Pencetus Perbincangan Tentang Narcissistic Abuse
Drama Viu Original Bidadari Tanpa Syurga kembali menjadi perhatian selepas satu hantaran di Threads oleh pengguna @leaazman bertajuk “This is what we called narcissist guys” tular dan mengumpulkan puluhan ribu tanda suka serta ribuan komen daripada pengguna media sosial.
View on Threads
Menariknya, majoriti netizen tidak lagi membincangkan jalan cerita semata mata. Sebaliknya mereka mula mengaitkan watak Azlan dengan tingkah laku seorang narcissist yang menggunakan manipulasi emosi untuk mengawal pasangan.
Ramai turut berkongsi pengalaman hidup sebenar sehingga ruangan komen bertukar menjadi platform sokongan buat mereka yang pernah melalui hubungan toksik.
Antara komen yang paling mendapat perhatian ialah daripada pengguna @97amirahnajihah yang menyatakan:
“The point is about the husband being a narcissist. Bila dia tak dapat apa yang dia nak, dia gunakan benda yang dia rasa boleh guilt trip orang.”
Beliau turut menambah:
“Bila orang dah meletup, narcissist akan play victim sebab diorang pandai disguise keburukan dengan kebaikan.”
Pandangan tersebut menerima sokongan ramai yang berpendapat watak Azlan berjaya menggambarkan bagaimana individu narsisistik sentiasa mahu dilihat sebagai pihak yang paling benar walaupun sebenarnya sedang memanipulasi orang di sekeliling.
Netizen Persoal Penyalahgunaan Agama Sebagai Alat Manipulasi Dalam Hubungan

Antara isu yang paling hangat diperdebatkan ialah bagaimana agama digunakan sebagai alasan untuk membuat pasangan berasa bersalah dan terus menurut kehendak individu yang bersifat manipulatif.
Pengguna @dreamyart.co menulis:
“Yes exactly. Org narc dia memang suka gunakan agama supaya boleh tunduk mangsanya.”
Seorang lagi pengguna, @miss_sinovia, turut berkongsi pandangan:
“Nars plus penunggang agama jugak ni. Apa hujah dia akan gunakan agama untuk buat wife rasa bersalah.”
Pendapat sama turut dikongsi oleh @atiqahnafsun yang menyifatkan watak tersebut sebagai individu yang benar benar menggunakan agama untuk memanipulasi pasangan.
Bagi @madollyn9, tindakan itu disifatkan sebagai satu bentuk kezaliman.
“Zalim. Inilah narsistik guna agama konon.”
Sementara itu, @frah_.na berpandangan bahawa agama tidak sepatutnya digunakan hanya apabila memberi keuntungan kepada sebelah pihak.
“Aku tak suka lelaki nak cover semua benda dengan sunnah atau hadis. Semua cakap sunnah, habis sunnah lain tak nak pula buat.”
Perbincangan ini secara tidak langsung membuka ruang kepada masyarakat untuk membezakan antara ajaran agama yang sebenar dengan sikap individu yang mengeksploitasi agama demi kepentingan diri.
Ramai Kongsi Pengalaman Sendiri, Bukti Drama Ini Dekat Dengan Realiti Masyarakat

Selain membincangkan karakter Azlan, ramai pengguna media sosial mengakui mereka pernah berhadapan dengan individu yang mempunyai corak tingkah laku hampir sama.
Pengguna @fath_dybv menggambarkan bagaimana seorang narcissist sering membuatkan mangsa berasa bersalah walaupun bukan berpunca daripada diri mereka.
“Narcissist ni… last sekali hang jugak yang salah. Dia akan pusing buat benda tu jadi salah hang ikut mana pun.”
Manakala @dionne..exe menyifatkan individu seperti itu sentiasa gemar memainkan watak mangsa untuk meraih simpati.
Pengguna @aamyraaisyaa pula berpendapat golongan tersebut hanya tahu menuntut tanggungjawab daripada pasangan tetapi gagal melihat kelemahan sendiri.
Lebih menyentuh hati apabila ramai netizen tampil berkongsi kisah hidup masing masing.
@vimazukha_ mendedahkan beliau pernah melalui perkahwinan dengan individu yang mempunyai ciri serupa sebelum akhirnya memilih untuk keluar daripada hubungan tersebut.
@norfdzr._ menulis:
“This kind of man has already found me once, and may it never find me again.”
Sementara @yus.rusmi_ mengakui babak dalam drama itu mengingatkannya kepada pengalaman hidup selama sebelas tahun.
“Pernah berada sebelas tahun dalam dunia serba salah sebegini.”
Tidak kurang juga yang menganggap drama tersebut membuka mata mereka mengenai tanda awal hubungan yang tidak sihat.
Antara komen yang mencuri perhatian ialah daripada @hasmalizadzulkefli yang menulis, “Takutnya dapat laki macam ni,” diikuti @farynasarin_ yang berkongsi, “Perggh takutnya kalau dapat laki macam ni.”
Seorang lagi pengguna, @ceqten, pula bersyukur kerana tidak meneruskan hubungan dengan individu yang mempunyai sikap sedemikian.

Kekuatan Bidadari Tanpa Syurga bukan sekadar terletak pada jalan ceritanya, malah keberanian drama ini mengangkat isu manipulasi emosi, gaslighting dan narcissistic abuse menjadikannya relevan dengan realiti masyarakat hari ini.
Malah, lakonan meyakinkan Aaron Aziz sebagai Azlan bersama Nadiya Nisaa sebagai Farhah berjaya menghidupkan konflik yang dekat dengan kehidupan sebenar sehingga mendorong ribuan penonton berkongsi pengalaman masing masing.
Sekadar info, Havoxians Bidadari Tanpa Syurga ditayangkan secara eksklusif di Viu bermula 11 Jun 2026 dengan episod baharu setiap hari Khamis dan Jumaat.