
Cadenza of The Soul hadiah dua dekad Noh Salleh buat peminat. Bukan satu tempoh yang singkat untuk seseorang anak seni membina identiti, mempertahankan prinsip muzik dan terus relevan dalam industri hiburan tanah air.
Sepanjang perjalanan itu, Noh Salleh sudah melalui pelbagai fasa, daripada pentas kecil bersama kugiran Hujan sehinggalah berdiri sebagai penyanyi solo dengan karakter muzik tersendiri.
Namun, menjelang sebuah persembahan yang bakal membawa muziknya ke dimensi lebih besar, penyanyi berusia 41 tahun itu mempunyai satu perasaan yang sukar disembunyikan.
Bukan sekadar keterujaan untuk mempersembahkan karya dalam iringan orkestra, sebaliknya rasa terharu apabila perjalanan seninya mendapat perhatian dan kepercayaan daripada seorang pengarah muzik tersohor.
Lebih istimewa, peluang menerusi Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra turut membuka ruang buat Noh untuk berkongsi pentas dengan penyanyi hebat, Aina Abdul.
Malah, jauh di sudut hatinya, pelantun lagu Angin Kencang itu menyimpan satu impian besar. Beliau cukup mendambakan kehadiran Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi jemputan yang akan melengkapkan sebuah malam penuh makna buat dirinya.
Bagi Noh, hasrat tersebut bukan didorong populariti atau nama besar semata-mata. Sebaliknya, ia lahir daripada rasa hormat dan penghargaan terhadap insan yang pernah membuka ruang serta memberikan kepercayaan kepadanya sepanjang perjalanan seni.
Cadenza of the Soul Jadi Penghormatan Tertinggi Buat Noh Salleh

Mengakui keterlibatannya dalam konsert berkenaan membawa makna cukup besar, Noh menyifatkan tawaran daripada Aubrey Suwito sebagai satu penghormatan tertinggi sepanjang 20 tahun bergelar anak seni.
Lebih daripada sekadar mengolah semula lagu popularnya dengan susunan orkestra, Noh mahu memastikan identiti muzik yang selama ini menjadi tanda pengenalannya tidak hilang dalam kemegahan persembahan tersebut.
Malah, beliau mendedahkan Aubrey sendiri mempunyai hasrat untuk mengekalkan karakter muzik Noh yang dipengaruhi elemen French pop, sekali gus memastikan susunan orkestra yang dihasilkan tidak menenggelamkan sentuhan asalnya.
“Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra adalah sebuah penghormatan tertinggi buat saya kerana Aubrey Suwito yang saya segani datang dan melahirkan idea ini kepada saya.
“Aubrey datang kepada saya dan beliau beritahu tidak mahu kehilangan sentuhan seperti konsert saya sebelum ini.
Beliau masih mahukan Noh Salleh yang mempunyai elemen French pop, tetapi dengan orkestra yang tidak mengganggu identiti saya,” katanya.
Noh ditemui ketika sesi persiapan menjelang konsert Cadenza of the Soul yang bakal berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 8 November ini.
Kepercayaan yang diberikan Aubrey juga memperlihatkan bagaimana muzik seseorang artis boleh berkembang tanpa perlu mengorbankan identiti asal yang dibina selama bertahun-tahun.
Bagi Noh, pengalaman tersebut bukan sahaja menjadi peluang untuk meneroka sisi muzik yang lebih luas, malah membuktikan bahawa karya yang lahir daripada perjalanan peribadi seseorang pemuzik mampu diberikan nafas baharu menerusi pendekatan susunan muzik yang berbeza.
Tidak hairanlah apabila Noh turut menyimpan hasrat untuk menjadikan Cadenza of the Soul sebagai sebuah acara tahunan.
Bagaimanapun, beliau sedar tanggungjawab untuk mengekalkan momentum tersebut bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila setiap edisi perlu menawarkan kelainan dan pengalaman lebih baik kepada penonton.
“Saya cuba untuk buat konsert ini menjadi sesuatu yang tahunan. Tetapi perjuangannya adalah untuk memastikan setiap tahun ada kelainan daripada tahun sebelumnya. Ini percubaan kedua untuk mengadakan konsert Noh Salleh.
“Biasanya persembahan Noh Salleh lebih bersifat akustik dengan sebuah band. Saya juga ada sisi muzik yang lebih besar dan berkelas, tetapi sebagai pemuzik, kita sentiasa bergelut untuk menunjukkan kita boleh menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya,” ujarnya.
Noh Salleh Damba Sepentas Dengan Aina Abdul dan Datuk Seri Siti Nurhaliza

Malam yang bakal menghimpunkan kira-kira 21 buah lagu itu pastinya menjanjikan pengalaman berbeza apabila karya Noh diberikan sentuhan orkestra oleh Aubrey.
Lebih menarik, konsert berkenaan turut menampilkan Aina Abdul sebagai penyanyi jemputan, sekali gus menemukan dua karakter muzik berbeza dalam sebuah persembahan yang dijangka mencuri perhatian peminat.
Kolaborasi tersebut juga bukan sesuatu yang asing buat mereka apabila kedua-duanya pernah bergandingan menerusi lagu Sang Penikam.
Namun, nama Aina bukan satu-satunya yang bermain dalam fikiran Noh apabila berbicara mengenai impian kolaborasi di pentas berprestij itu.
Beliau secara terbuka mengakui sangat mengharapkan Datuk Seri Siti Nurhaliza dapat turut serta sebagai penyanyi jemputan.
Jelas Noh, hasrat itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana Siti merupakan antara figura seni yang tidak pernah melupakan dirinya dalam pelbagai kesempatan, termasuk memberikan ruang untuk beliau membuat persembahan dalam Konsert Legacy 30 Tahun Siti Nurhaliza pada Januari lalu.
“Saya sedar siapalah Noh Salleh mahu Siti Nurhaliza ikut serta di Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra. Tapi itu memang impian bukan kerana beliau tidak pernah melupakan saya dalam banyak kegiatan seni termasuk konsert besarnya.
“Jadi dalam banyak keadaan saya memang akan dahulukan Siti Nurhaliza, ia umpama sebuah tindakan sopan daripada saya.
“Misalnya jika beliau setuju, saya beri ‘dulang lagu’, minta dan beri kebebasan beliau pilih sendiri lagu apa yang mahu dinyanyikan,” katanya sambil ketawa.
Pengakuan tersebut memperlihatkan sisi Noh yang cukup menghargai hubungan sesama penggiat seni. Baginya, peluang untuk berkongsi pentas dengan penyanyi berpengalaman seperti Siti bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi juga ruang untuk membalas penghormatan yang pernah diterimanya.
Jika impian itu menjadi kenyataan, pastinya pertemuan Noh, Aina dan Siti dalam satu persembahan orkestra bakal menjadi antara detik yang cukup istimewa buat peminat muzik tempatan.
21 Lagu Dengan Sentuhan Orkestra, Cadenza of the Soul Sasar Jadi Konsert Tahunan

Untuk rekod, Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra merupakan konsert solo kedua Noh dalam format orkestra selepas pernah tampil bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu.
Penganjuran edisi kali ini pastinya membawa cabaran tersendiri apabila Noh perlu mengimbangi keaslian karya asal dengan susunan muzik orkestra yang lebih besar dan kompleks.
Sebanyak 21 buah lagu telah terpilih dalam senarai persembahan, penonton dan Havoxians berpeluang menikmati karya yang sinonim dengan perjalanan muzik Noh dalam pendekatan lebih segar dan berbeza.
Menariknya, kerjasama antara Noh dan Aubrey turut membuktikan bahawa muzik tidak semestinya terikat pada satu bentuk persembahan. Sesuatu karya boleh diberikan tafsiran baharu tanpa kehilangan jiwa yang menjadikannya dekat di hati pendengar.
Justeru, Cadenza of the Soul bukan sekadar sebuah konsert untuk meraikan lagu dan melodi, sebaliknya menjadi gambaran perjalanan dua dekad Noh Salleh dalam dunia muzik.
Dianjurkan dengan kerjasama Altus Prohouse dan CK Star Entertainment, Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra bakal berlangsung pada 8 November ini di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Peminat yang ingin menyaksikan persembahan istimewa tersebut boleh mendapatkan tiket berharga RM188 (CAT 3), RM268 (CAT 2), RM368 (CAT 1), RM488 (VIP), RM588 (VVIP termasuk sesi Meet & Greet) dan RM788 (Twin Seat, Suite Room 1 hingga 4) menerusi laman web www.ticket2u.com.my atau www.fantopia.io.