
Musim perayaan sering dihiasi dengan pelbagai karya yang cuba menyentuh emosi penonton. Namun tidak semuanya mampu meninggalkan kesan yang benar benar melekat di hati. Tahun ini, sebuah filem pendek berjudul Inspection Hati Aidil: Lumpur hadir dengan pendekatan berbeza apabila menggabungkan emosi kekeluargaan dengan mesej sosial yang cukup dekat dengan kehidupan masyarakat.
Namun bagi sebahagian pihak, filem ini membawa makna yang jauh lebih mendalam.
Filem bersempena Hari Raya Aidilfitri terbitan PUSPAKOM ini bukan sekadar karya perayaan biasa. Ia turut menjadi antara sentuhan terakhir Allahyarham Mohd Ezendy Mohd Aziz atau lebih dikenali sebagai Along Ezzandy, seorang pengarah kreatif yang cukup dihormati dalam dunia seni tempatan.
Melalui naratif yang menyentuh tentang pilihan moral dan kesannya terhadap keselamatan orang ramai, Inspection Hati Aidil: Lumpur membawa penonton menyelami realiti yang jarang diperkatakan secara terbuka, khususnya mengenai integriti dalam proses pemeriksaan kenderaan.
Inspection Hati Aidil: Lumpur Karya Terakhir Along Ezzandy Sarat Makna

Dalam dunia kreatif tempatan, nama Along Ezzandy bukanlah asing. Sentuhan penceritaannya sering menampilkan emosi yang dekat dengan realiti masyarakat, dan filem Inspection Hati Aidil: Lumpur menjadi antara projek terakhir yang sempat dihasilkan sebelum pemergiannya.
Filem ini mengisahkan perjalanan hidup Faizal, seorang bekas pemeriksa kenderaan yang pernah membuat keputusan etika yang akhirnya memberi kesan besar kepada kehidupan insan di sekelilingnya.
Naratif tersebut mengangkat persoalan tentang tanggungjawab moral dan kesan integriti terhadap keselamatan di jalan raya. Ia mengingatkan bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh individu dalam sistem pemeriksaan kenderaan bukan sekadar prosedur teknikal, tetapi melibatkan keselamatan ramai pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, menjelaskan bahawa pendekatan penceritaan dipilih kerana ia mampu menyampaikan mesej dengan lebih dekat kepada masyarakat.
Menurut beliau, kisah seperti yang dipaparkan dalam Inspection Hati Aidil: Lumpur mencerminkan realiti yang dihadapi oleh pemeriksa kenderaan, termasuk dilema etika yang mungkin timbul ketika menjalankan tugas.
Zahiril Adzim Kongsi Mesej Integriti Dalam Inspection Hati Aidil: Lumpur

Pelakon Zahiril Adzim yang turut terlibat dalam projek ini menegaskan bahawa mesej utama filem tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan integriti ketika berurusan dengan pemeriksaan kenderaan.
Menurutnya, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan nyawa ramai orang.
“Kita nak semua orang dapat mesej yang apa yang PUSPAKOM nak sampaikan. Awareness tentang integriti dan ketelusan dalam berurusan dengan PUSPAKOM sama ada pemeriksa ataupun pengguna itu sendiri,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tujuan utama pemeriksaan kenderaan adalah untuk memastikan keselamatan di jalan raya, bukan sekadar memenuhi syarat prosedur.
“Kita tahu bila kita pergi PUSPAKOM, kita buat inspection kereta tentang keselamatan. Kalau kita cuba ambil jalan mudah, nanti kereta yang tidak selamat itu juga yang akan berada di jalan raya,” jelasnya.
Tambah Zahiril lagi, setiap keputusan kecil yang dibuat oleh individu boleh membawa kesan besar kepada orang lain.
“Bila kita bawa kereta, bukan kita seorang sahaja dalam kenderaan itu. Kita bawa anak isteri dan banyak lagi nyawa. Jadi jangan kerana mahu berjimat sangat, kita membahayakan nyawa orang lain,” ujarnya.
Mesej Integriti Sebalik Judul “Lumpur”

Judul Lumpur yang dipilih untuk filem ini turut membawa simbolik tersendiri. Menurut Mahmood Razak Bahman, perkataan tersebut melambangkan noda rasuah yang mampu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu, malah kepada institusi dan masyarakat secara keseluruhan.
Beliau menegaskan bahawa organisasi tersebut mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap rasuah dalam setiap proses pemeriksaan kenderaan.
Setiap pemeriksaan yang dilakukan secara telus dan berintegriti, katanya, secara langsung menyumbang kepada keselamatan jalan raya yang lebih terjamin untuk semua rakyat Malaysia.
Filem ini juga merupakan kesinambungan kepada siri web Inspection Hati Aidil yang diperkenalkan pada tahun 2025. Melalui format penceritaan yang lebih dramatik dan emosional, versi filem ini memperluas naratif tentang tanggungjawab moral yang dipikul oleh pemeriksa kenderaan.
Tayangan pra tonton eksklusif kepada media berlangsung dalam majlis iftar bertemakan “Menyingkap Nilai, Menyemai Integriti”, yang turut dihadiri oleh wakil media serta kanak kanak dari Rumah Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa.
Selepas tayangan pra tonton tersebut, Inspection Hati Aidil: Lumpur dijadualkan dilancarkan kepada umum menerusi platform digital PUSPAKOM bermula 13 Mac 2026, bertepatan dengan musim perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif komunikasi #MacamBaharu, filem ini membuktikan bahawa penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat mampu menjadi medium efektif dalam menyampaikan mesej integriti dan tanggungjawab.
Dalam masa yang sama, karya ini juga menjadi penghormatan bermakna kepada sentuhan kreatif Along Ezzandy yang telah banyak menyumbang kepada dunia penceritaan tempatan. Sebuah karya yang bukan sahaja mengajak penonton berfikir, tetapi juga mengingatkan bahawa keselamatan di jalan raya bermula daripada keputusan yang dibuat oleh setiap individu.