
Industri drama tempatan tampil dengan eksperimen baharu menerusi drama My Ramadan Love Story, sebuah karya yang dihasilkan dalam format vertikal, satu pendekatan yang masih jarang diterokai dalam produksi tempatan.
Menariknya, drama ini hadir dengan 32 episod yang disusun mengikut perjalanan hari sepanjang Ramadan sehingga Hari Raya, menjadikan setiap episod seolah-olah mengikuti perjalanan emosi watak dari hari ke hari.
Menurut penerbitnya, Boss Zam, konsep penceritaan ini sengaja dirancang agar penonton dapat merasai perkembangan cerita secara berperingkat sepanjang bulan Ramadan.
“My Ramadan Love Story ini kita buat 32 episod, bermula dari hari ke-9 Ramadan sehingga hari ke-2 Hari Raya. Jadi dia akan ada turutan hari demi hari,” jelasnya.
Drama ini boleh ditonton melalui platform P-Entertainment yang berada dalam aplikasi P-Circle, sebuah platform digital yang turut menampilkan pelbagai fungsi lain.
“Empat episod pertama untuk My Ramadan Love Story akan percuma. Tapi episod seterusnya kita buat bundle, lebih kurang RM3.50 sebulan. P-Circle kena download dulu, download itu percuma. Platform tu free, cuma content tambahan sahaja yang berbayar,” tambahnya.
Dengan strategi ini, penerbit berharap penonton dapat mencuba terlebih dahulu kandungan yang disediakan sebelum mengikuti keseluruhan cerita.
Cabaran Hasilkan My Ramadan Love Story Dalam Format Drama Vertikal

Walaupun format vertikal semakin popular di platform media sosial, menghasilkan drama dengan pendekatan tersebut sebenarnya bukan sesuatu yang mudah.
Pengarah produksi, Usman, mengakui projek ini merupakan pengalaman pertama buat dirinya dan juga pasukan produksi.
Menurutnya, banyak perkara perlu dikaji terlebih dahulu sebelum proses penggambaran dimulakan.
“Untuk menghasilkan drama bentuk vertikal ini merupakan satu pengalaman pertama bagi saya sendiri secara peribadi dan juga untuk production kami,” katanya.
Bagi memastikan hasilnya setanding dengan drama televisyen biasa, pasukan produksi tetap mengekalkan standard kerja yang sama seperti penggambaran drama konvensional.
“Kita tetap mengekalkan production team yang sama, maksudnya jumlah team dan proses kerja sama macam shooting drama biasa. Yang penting kualiti persembahan lakonan kita kekalkan,” jelas Usman.
Namun begitu, cabaran terbesar datang daripada ruang lakonan yang lebih terhad kerana format kamera menegak.
“Agak mencabar bagi pelakon sebab ruang lakonan agak limited. Pergerakan tidak bebas, tidak besar dan tidak luas sebab vertikal,” katanya lagi.
Keadaan ini memerlukan pelakon menyesuaikan pergerakan dan emosi mereka agar masih kelihatan natural walaupun dalam ruang visual yang sempit.
My Ramadan Love Story Tuntut Lakonan Lebih Terkawal Dalam Frame Vertikal

Bagi pelakon Wan Raja, format vertikal memerlukan disiplin yang lebih tinggi terutama dari segi blocking atau susunan pergerakan dalam frame.
Menurutnya, setiap babak perlu dirancang dengan teliti kerana banyak adegan melibatkan ramai pelakon dalam satu ruang.
“Dari segi teknikal dan lakonan memang cabaran dia pada blocking setiap scene. Kebanyakan scene melibatkan ramai pelakon ada jemaah, tadarus, suasana kecoh, jadi blocking itu penting,” katanya.
Tambah mencabar buatnya apabila wataknya memegang peranan sebagai imam, yang memerlukan penjagaan batas tertentu dalam babak bersama pelakon wanita.
“Tambah lagi saya jadi imam, tiap masa ada wuduk. Dekat dengan pelakon perempuan pun jadi agak mencabar juga,” katanya sambil berseloroh.
Sementara itu, pelakon Muaz Zabir pula berkongsi bahawa drama ini sebenarnya membawa mesej yang cukup dekat dengan kehidupan manusia iaitu tentang perubahan diri dan pilihan dalam cinta.
Menurutnya, watak yang dibawa dalam drama ini menunjukkan bahawa seseorang itu tidak semestinya kekal dengan sifat yang sama sepanjang hidupnya.
“Apa yang berlaku dekat kita belum tentu menentukan siapa kita di penghujungnya. Kalau orang tu jahat pada awalnya, tidak semestinya pada penghujung dia akan tetap jahat,” jelas Muaz.
Dalam masa yang sama, elemen cinta yang diketengahkan dalam cerita ini turut membawa makna yang lebih mendalam.
“Bersama dengan cinta, itu boleh membawa kita ke syurga dan juga neraka. Jadi pilihlah cinta yang betul,” tambahnya.
My Ramadan Love Story Perkenal Platform P-Entertainment Dalam Aplikasi P-Circle

Selain memperkenalkan drama vertikal, projek ini juga menjadi sebahagian daripada usaha untuk menggerakkan industri kandungan tempatan melalui platform P-Circle.
Menurut Boss Zam, platform tersebut dibangunkan berasaskan inisiatif digital yang bertujuan menyokong mobiliti perkhidmatan serta membuka ruang kepada pengkarya tempatan.
“P-Circle ini pada asasnya berdasarkan inisiatif kerajaan berkaitan mobiliti dan servis. Kita masukkan modul utama platform dalam P-Circle,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kewujudan P-Entertainment dalam platform itu bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai penggiat seni menghasilkan karya mereka.
“Core dia adalah untuk mengaktifkan lagi industri perfileman dan content creator, indie movie directors dan artis-artis,” jelasnya.
Pada masa hadapan, platform ini juga dijangka bekerjasama dengan beberapa agensi penyiaran bagi memperluaskan lagi capaian kandungan.
“InsyaAllah kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Unifi TV dan lain-lain,” tambahnya.
Dengan gabungan konsep drama vertikal, kisah cinta berlatar Ramadan serta platform digital baharu, My Ramadan Love Story dilihat sebagai satu percubaan menarik yang boleh membuka dimensi baharu dalam cara penonton menikmati drama tempatan.