
Dari pentas bawah tanah Los Angeles sehingga ke pentas pertandingan Asia di Bangkok, perjalanan KEETH bukan kisah tipikal seorang pemuzik tempatan yang mengejar populariti. Dalam diam, figura rock kelahiran Malaysia ini sedang membina reputasi antarabangsa menerusi muzik yang lahir daripada pengalaman hidup, tekanan emosi dan obsesi terhadap dunia rock n roll.
Selepas mencuri perhatian menerusi kejayaan sebagai Naib Juara Asia New Beat Grand Finals 2026, KEETH kini bersedia membuka lembaran paling peribadi dalam kariernya menerusi pelancaran EP baharu berjudul Hollywood Diaries. Sebuah naskhah yang bukan sahaja membawa bunyi rock moden bertaraf global, malah menjadi refleksi perjalanan seorang artis Malaysia yang pernah membawa impiannya jauh hingga ke Los Angeles.
Malah, dengan gabungan pengaruh blues, gospel dan heavy riffing, KEETH kini muncul sebagai antara nama paling berpotensi untuk menghidupkan semula gelombang rock Malaysia kepada generasi pendengar baharu.
KEETH Cipta Gelombang Baharu Selepas Raih Pengiktirafan Antarabangsa

Momentum besar KEETH semakin terasa apabila beliau berjaya muncul sebagai Naib Juara Asia New Beat Grand Finals yang berlangsung di Bangkok pada 21 Mac lalu. Kejayaan tersebut bukan sahaja menaikkan namanya di rantau Asia, malah mengukuhkan kredibilitinya sebagai artis Malaysia yang mampu bersaing bersama pemuzik terbaik dari pelbagai negara.
Pencapaian itu hadir tepat pada waktunya menjelang pelancaran Hollywood Diaries, sekali gus mencetuskan perhatian ramai terhadap arah muzik dan identiti seni yang dibawanya.
Terutamanya dalam dunia muzik yang semakin kompetitif, pengiktirafan antarabangsa seperti ini menjadi bukti bahawa KEETH mempunyai sesuatu yang sukar ditiru.
Lebih menarik, perjalanan seni KEETH bukalah mudah, sebelum ini beliau pernah membuka persembahan untuk Steven Adler daripada kumpulan legenda Guns N’ Roses di venue ikonik Whisky A Go Go di Los Angeles.
Selain itu, dia juga pernah mewakili Malaysia ke World Championship of Performing Arts dan membawa pulang enam pingat emas serta gelaran Division Champion.

Pada masa sama, beliau juga pernah membuat persembahan di festival antarabangsa seperti Byron Bay Bluesfest di Australia dan Bali Blues Festival. Pengalaman luas itu membentuk identiti muziknya yang kedengaran lebih matang, berani dan mempunyai pengaruh global tanpa meninggalkan akar budaya sendiri.
“Album ini banyak berkisar tentang kehidupan saya di Los Angeles dan interpretasi saya terhadap rock n roll. Ia menerangkan pelbagai situasi dan emosi dalam satu pakej rock n roll,” kata KEETH.
Hollywood Diaries Bukan Sekadar EP Tetapi Diari Emosi Seorang Pemuzik

Hollywood Diaries hadir bukan sekadar sebagai sebuah projek muzik biasa, tetapi sebuah refleksi peribadi yang merakam perjalanan emosi, budaya dan identiti diri KEETH sepanjang berada di luar negara.
EP ini menggabungkan elemen rock berat, distorted sound, balada emosional, pengaruh blues dan gospel serta eksperimen sonik rentas budaya yang menjadikan setiap trek mempunyai karakter tersendiri.
Lebih menarik lagi, ia dirakam di Los Angeles, Indonesia dan Malaysia, projek ini membawa pendengar menyelami pelbagai suasana dan pengalaman hidup yang membentuk evolusi seni KEETH.
Antara fokus utama dalam EP ini ialah lagu “Fallin’ (Oceans)” yang disifatkan sebagai antara karya paling emosional pernah dihasilkannya.
Jelasnya, lagu tersebut menampilkan gabungan elemen Indonesia, tekstur gospel dan blues serta lirik puitis yang memberi pengalaman mendengar lebih sinematik.
Menurut KEETH, lagu itu lahir daripada minatnya terhadap puisi dan pengalaman hidupnya sendiri.
“Terdapat sebuah single istimewa dalam album ini berjudul Fallin’ (Oceans). Ia berasal daripada puisi yang saya tulis sendiri. Lagu ini mewakili spektrum emosi dan idea saya tentang cinta, dicampurkan dengan bunyi Indonesia dan muzik rock,” katanya.
Tambahnya lagi, inspirasi lagu tersebut turut datang daripada aktiviti surfing, boating dan pengembaraan mengenali budaya serta manusia baharu sepanjang perjalanan hidupnya.
KEETH Mahu Buktikan Rock Malaysia Masih Relevan Untuk Generasi Baharu

Apa yang menjadikan KEETH berbeza adalah keberaniannya membawa semula muzik rock dalam era digital yang semakin berubah. Ketika ramai artis memilih untuk bergerak mengikut arus semasa, beliau tampil mempertahankan identiti rock dengan pendekatan lebih moden dan bersifat antarabangsa.
KEETH percaya muzik rock Malaysia masih mempunyai ruang besar untuk berkembang jika diberi nafas dan pendekatan yang segar.
“Hari ini dunia saling berhubung secara digital. Apa yang saya mahu tunjukkan ialah pemuzik dari Malaysia mampu membawa muzik kita ke tahap antarabangsa dan berdiri sama tinggi dengan pemuzik dunia tanpa batasan,” jelasnya.
Sidang media eksklusif yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur telah menjadi platform penting untuk memperkenalkan era baharu KEETH menerusi media, pemain industri dan peminat muzik tempatan.
Dengan reputasi yang semakin berkembang di peringkat serantau, Hollywood Diaries berpotensi menjadi titik perubahan besar bukan sahaja buat KEETH, tetapi juga untuk kebangkitan semula muzik rock Malaysia dalam generasi baharu pendengar seperti Havoxians!