
Tidak semua orang cukup berani meninggalkan kehidupan stabil demi mengejar sesuatu yang belum tentu menjanjikan kejayaan. Ada yang memilih bertahan dalam rutin yang memenatkan kerana takut gagal. Ada juga yang diam-diam memendam impian sehingga bertahun lamanya.
Itulah emosi yang dibawa kumpulan Neo Seol dari Surabaya, Thee Marloes menerusi single terbaharu mereka berjudul “6 Years”, sebuah karya yang bukan sekadar halwa telinga tetapi begitu dekat dengan realiti ramai anak muda hari ini.
Menjelang pelancaran album kedua mereka “Di Hotel Malibu” pada 22 Mei ini, trio tersebut tampil dengan lagu yang bersifat lebih peribadi dan emosional berbanding karya-karya sebelum ini. Di sebalik susunan muzik groovy dan santai, “6 Years” sebenarnya menyimpan kisah tentang keberanian meninggalkan kehidupan yang selesa demi mengejar impian dan cita-cita.

Lagu tersebut membuka sisi paling jujur vokalis utama mereka, Natassya Sianturi, yang pernah berdepan dilema antara kestabilan hidup dan keinginan untuk terus berkarya. Dalam dunia hari ini, keputusan meninggalkan kerjaya yang telah stabil sering dianggap gila, lebih-lebih lagi apabila masa depan belum tentu memihak kepada kita.
“My Momma says I must be crazy to give up all the Rupiah and chase my dreams,” Baris lirik yang kedengaran ringkas, tetapi cukup menggambarkan tekanan yang sering dihadapi ramai individu ketika memilih jalan hidup sendiri.
Menerusi bai-bait lirik inilahyang menjadikan “6 Years” terasa hidup dan relevan, dekat di hati pendengar.
“6 Years” Bukan Sekadar Lagu Neo Soul Tentang Kisah Cinta Tipikal

Apa yang membuatkan “6 Years” menarik ialah bagaimana Thee Marloes memilih untuk membawa tema kehidupan sebenar berbanding sekadar sebuah kisah cinta tipikal.
Lagu ini menyentuh tentang keletihan bekerja, rasa terperangkap dalam rutin harian, dan impian yang semakin jauh apabila usia makin meningkat. Perasaan itu diterjemahkan menerusi lirik.
“Tuesday is just another Monday, so tired of just wishing for Sunday.”
Ia menggambarkan kehidupan ramai orang yang bangun bekerja setiap hari tanpa benar benar menikmati hidup sendiri. Situasi yang mungkin nampak biasa, tetapi sebenarnya memberi kesan besar kepada emosi dan mental seseorang.
Dalam masa sama, Thee Marloes berjaya menyampaikan mesej berat itu dengan cara yang ringan dan mudah dihadam. Susunan muzik mereka masih mengekalkan identiti Neo Soul yang santai, hangat dan nostalgik, malah kali ini hadir dengan lapisan emosi yang lebih berat dan mendalam.
Album “Di Hotel Malibu” Serlah Era Paling Matang Thee Marloes

Selepas beberapa single terdahulu mula mendapat perhatian pendengar serantau, kemunculan “6 Years” memberi bayangan bahawa album “Di Hotel Malibu” mungkin menjadi karya paling matang daripada Thee Marloes setakat ini.
Penerbit Sinatrya Dharaka turut memainkan peranan besar dalam membentuk identiti bunyi lagu tersebut. Gabungan elemen neo soul klasik bersama inspirasi daripada figura seperti Timmy Thomas dan Timbaland menjadikan “6 Years” mempunyai karakter tersendiri tanpa kehilangan identiti asal kumpulan itu.
Apa yang menarik, lagu ini tidak terlalu cuba menjadi kompleks atau eksperimental. Sebaliknya, kekuatannya hadir melalui emosi yang jujur, susunan muzik yang kemas, dan melodi yang mudah melekat di fikiran.
Dalam industri muzik hari ini yang semakin dipenuhi lagu bersifat viral, pendekatan Thee Marloes terasa lebih jujur dan ikhlas. Mereka tidak sekadar mengejar sensasi sementara, tetapi membina hubungan emosi dengan pendengar menerusi cerita yang dekat dengan kehidupan.
Itu antara sebab mengapa ramai mula melihat Thee Marloes sebagai kumpulan yang mempunyai identiti muzik paling konsisten dalam gelombang Neo Soul Asia Tenggara ketika ini.
Thee Marloes Buktikan Muzik Santai Mampu Tinggalkan Kesan Mendalam

“6 Years” mungkin kedengaran santai pada pendengaran pertama, tetapi semakin lama didengar, semakin jelas mesej yang cuba disampaikan.Ia bukan lagu tentang menjadi sempurna, sebaliknya ia tentang keberanian untuk mencuba walaupun berisiko berdepan kegagalan.
Thee Marloes berjaya membuktikan bahawa muzik tidak semestinya perlu terlalu dramatik untuk memberi kesan mendalam kepada pendengar. Kadangkala, Havoxians setuju tak bahawa karya paling kuat ialah karya yang paling jujur.
Malah, dengan pelancaran album “Di Hotel Malibu” yang semakin hampir, “6 Years” dilihat sebagai petunjuk jelas bahawa Thee Marloes kini berada dalam fasa paling yakin dan matang dalam perjalanan muzik mereka dan mungkin, dalam dunia yang terlalu sibuk mengejar kestabilan, lagu ini hadir sebagai peringatan bahawa tidak salah untuk sesekali berani mengejar impian sendiri.