
Tidak semua projek lakonan hadir dengan tujuan mengejar populariti atau keuntungan. Ada juga karya yang dipilih kerana mesejnya lebih besar daripada sekadar hiburan.
Bagi pelakon Ungku Haris, itulah yang dirasakan ketika menerima tawaran untuk membintangi filem pendek Taufan Al-Aqsa. Tanpa banyak berfikir, beliau terus bersetuju untuk menjayakan naskhah tersebut kerana melihatnya sebagai satu peluang menyampaikan sesuatu yang lebih bermakna.
Bukan sekadar sebuah projek seni, Ungku Haris menganggap penglibatannya dalam karya itu sebagai satu bentuk sumbangan peribadi terhadap isu kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin.
“Secara tak langsung bagi saya personally, bagi saya ini dakwah saya. Ini yang saya mampu bagi sayalah,” katanya.
Menariknya, pengalaman menjayakan Taufan Al-Aqsa bukan sahaja memberi dimensi baharu terhadap kerjayanya sebagai pelakon, malah turut membuka perspektif yang lebih mendalam tentang realiti kehidupan di Gaza.
Jika sebelum ini beliau hanya mengikuti perkembangan konflik tersebut melalui laporan berita dan media sosial, proses persediaan untuk projek ini membuatkan Ungku Haris melihat isu Palestin dari sudut yang jauh lebih dekat dan menyentuh hati.
Dari latihan intensif sehinggalah sesi perkongsian pengalaman oleh individu yang pernah berada di Gaza, semua pengalaman itu secara perlahan-lahan mengubah cara beliau memahami perjuangan rakyat Palestin hari ini.
Taufan Al-Aqsa Angkat Seni Sebagai Medium ‘Dakwah’

Bagi Ungku Haris, projek Taufan Al-Aqsa bukan sekadar sebuah naskhah lakonan. Sebaliknya, ia dilihat sebagai ruang untuk menyampaikan mesej yang lebih besar kepada masyarakat.
Menariknya, beliau menegaskan bahawa tidak ada risiko besar yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima tawaran tersebut. Satu-satunya pengorbanan yang mungkin perlu dilakukan hanyalah menolak beberapa tawaran kerja lain yang bertindih.
“Risiko terbesar pada saya untuk memilih cerita ini… tak ada risiko apa pun rasanya. Risiko dia adalah kena tolak job lainlah kot,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, jadual kerja dalam industri hiburan sememangnya sering bertindan. Namun dalam situasi ini, beliau tidak melihat keputusan tersebut sebagai satu kerugian.
Sebaliknya, peluang untuk terlibat dalam projek yang membawa mesej kemanusiaan dianggap sebagai sesuatu yang lebih bermakna.
“Saya sendiri ingin membuat ataupun menjayakan projek inilah sebab dia. Jadi saya tak ada second talk, saya terus baca skrip dan saya kata okey,” ujarnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjayakan naskhah tersebut, termasuk organisasi Komuniti Dakwah Tarbiah (KDT) yang menjadi antara penggerak utama projek ini.
Latihan Intensif Taufan Al-Aqsa Beri Perspektif Baharu

Salah satu pengalaman yang paling memberi kesan kepada Ungku Haris sepanjang penggambaran Taufan Al-Aqsa adalah proses persediaan sebelum penggambaran bermula.
Berbeza dengan kebanyakan produksi lain, pelakon terlibat bukan sahaja menjalani latihan lakonan dan aksi, malah turut mengikuti sesi kursus khas berkaitan isu Palestin.
Menurut Ungku Haris, pendekatan tersebut jarang dilakukan dalam kebanyakan produksi tempatan.
“Bagusnya bila projek ini, saya first time sebelum shoot tu kita ada rehearsal, ada training, kursuslah,” Tambahnya.
Latihan tersebut bukan sekadar memberi fokus kepada aspek teknikal lakonan, malah turut merangkumi latihan aksi dan pemahaman situasi sebenar di Gaza.
“Banyak sangat benda yang dia orang sediakan seperti training atau fighting, semua memang dia orang buat. Terasa seperti Hollywood jugalah,” katanya lagi.
Pendekatan tersebut menjadikan para pelakon lebih memahami konteks cerita yang dibawakan, sekali gus membantu mereka menghidupkan watak dengan lebih realistik dan penuh emosi.
Isu Gaza Buka Mata Ungku Haris Tentang Realiti Palestin
Lebih daripada sekadar latihan produksi, Ungku Haris mengakui bahawa sesi pemahaman mengenai isu Palestin yang dianjurkan dalam projek tersebut benar-benar membuka matanya.
Menurutnya, kebanyakan orang hanya mengetahui situasi di Gaza melalui berita atau media sosial semata-mata. Namun melalui sesi perkongsian bersama individu yang pernah berada di sana, perspektifnya berubah sama sekali.
“Memang dia banyak buka mata yang saya tak tahu. Biasa kita tengok apa yang daripada Telegram atau berita semua kan?,” Soalnya.
Dalam sesi tersebut, beberapa penceramah dan motivator turut dijemput untuk berkongsi pengalaman serta memberi gambaran lebih jelas tentang kehidupan masyarakat di Gaza.
Malah, seorang individu yang pernah menjejakkan kaki ke Gaza turut berkongsi pengalaman secara langsung kepada para pelakon dan kru produksi.
Bagi Ungku Haris, usaha tersebut sangat mengagumkan memandangkan ia dianjurkan oleh sebuah organisasi yang bukan berasal daripada industri produksi seni.
“Saya salute kepada KDT. Benda ni tak berlaku pun di production tetapi berlaku di satu NGO yang tidak ada banyak pengalaman dalam media seni,” Tegasnya.
Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa kerana berjaya menggabungkan elemen seni, pendidikan dan kesedaran kemanusiaan dalam satu platform yang sama.
Sebagai seorang pelakon, Ungku Haris percaya karya seperti Taufan Al-Aqsa mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu yang sedang berlaku di Palestin.
Bagi dirinya sendiri, pengalaman tersebut bukan sekadar sebuah projek lakonan sebaliknya sebuah perjalanan yang memberi makna lebih besar terhadap tanggungjawab seorang penggiat seni dalam menyampaikan mesej kemanusiaan kepada masyarakat.