
Tiga puluh tahun sudah berlalu, tetapi apabila bait pertama dimainkan, hampir 4,000 suara masih menyanyikan lagu bersama-sama tanpa perlu melihat lirik lagu.
Tanpa paksaan atau sebarang arahan. Hanya dengan satu melodi sahaja sudah cukup membuatkan Idea Live Arena, Kuala Lumpur bergema dengan suara peminat yang mengimbau memori silam sambil terbuai dengan alunan lagu-lagu kumpulan mereka.
Lebih menarik, yang dinyanyikan malam tadi bukan sekadar lirik daripada sebuah kumpulan muzik Indonesia. tetapi serpihan memori yang bertaburan. Ada peminat yang mungkin teringat cinta pertama, ada peminat yang kembali ke zaman muda, malah ada yang mengenang lagu mereka sebagai peneman ketika melalui perpisahan dan kehilangan.
Justeru, Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur menjadi pertemuan antara sebuah legasi muzik dengan generasi peminat yang membesar bersamanya. Hampir 4,000 peminat hadir bukan sekadar untuk melihat Pasha berdiri di atas pentas, tetapi untuk kembali kepada cerita lama yang pernah mereka hidupkan bersama lagu-lagu kumpulan itu.
Itulah yang berlaku apabila mereka kembali menemui peminat Malaysia dalam sebuah malam yang dipenuhi nostalgia, emosi dan tenaga.
Ungu Buka Tirai Konsert Dengan ‘Cindai’ Sebelum Peminat Telusuri Tiga Dekad Perjalanan Muzik Band Legenda!

Sejak awal persembahan, kumpulan legenda itu sudah memberi kejutan apabila memilih Cindai, lagu yang cukup sinonim dengan biduanita negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza, sebagai pembuka tirai.
Pilihan tersebut pantas mencetuskan sorakan daripada penonton dan memberikan suasana yang berbeza sebelum Ungu meneruskan persembahan menerusi Cinta Gila, I Need You, Ciuman Pertama, Hampa Hatiku dan Percaya Padaku.
Momentum persembahan kemudian bergerak ke sisi yang lebih romantik dan emosional apabila membawakan Sejauh Mungkin, Seperti Yang Dulu dan Cinta Dalam Hati.
Tidak lama kemudian, suasana kembali dipenuhi nostalgia menerusi Gerimis Mengundang, Andai Ku Tahu dan Bila Tiba.
Malah, kekuatan pada malam tersebut bukan sekadar terletak pada persembahan di atas pentas, tetapi pada reaksi penonton yang menyanyi bersama seolah-olah sudah mengetahui perjalanan setiap lagu.
Ada yang menyanyi bersama, ada yang mengabadikan momen dengan telefon bimbit dan ada juga yang sekadar menikmati persembahan dengan senyuman, seperti sedang membuka semula halaman lama dalam kehidupan masing-masing.
Setiap lagu mempunyai ceritanya sendiri! Ada yang mengingatkan tentang cinta, ada yang membawa kembali kenangan kehilangan, manakala sebahagiannya mungkin pernah menjadi peneman ketika seseorang melalui satu fasa penting dalam hidup. Sehinggakan, tiga dekad Ungu terasa begitu dekat malam tadi.
Marsha Milan Pelengkap Ungu, Persembahan Bismillah Cinta Dan Tercipta Untukku Penuh Chemistry

Antara detik paling mencuri perhatian hadir apabila penyanyi tempatan, Marsha Milan, mengambil tempat di pentas untuk berkolaborasi bersama Ungu menerusi Bismillah Cinta dan Tercipta Untukku.
Kemunculan Marsha disambut dengan sorakan gemuruh daripada penonton sebelum gabungan vokalnya bersama Ungu menghasilkan dua persembahan yang cukup beremosi.
Kehadiran Marsha bukan sahaja menambahkan warna kepada persembahan, malah menjadi antara jambatan yang menghubungkan muzik Ungu dengan peminat tempatan.
Bagi Marsha, peluang berkongsi pentas bersama Ungu dalam sambutan tiga dekad perjalanan kumpulan tersebut merupakan satu pengalaman yang cukup istimewa.
“Saya sangat teruja dan terharu kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada malam yang begitu bermakna buat Ungu dan peminat mereka.
Lagu-lagu Ungu sudah begitu dekat dengan hati ramai orang, jadi dapat menyanyikannya bersama mereka di hadapan ribuan peminat adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan,” kata Marsha.
Selepas segmen tersebut, Ungu kembali mengambil alih pentas menerusi Utara Selatan, Aku Tahu dan Kekasih Gelapku.
Namun, ada satu momen yang benar-benar memperlihatkan sisi lain hubungan antara Ungu dengan peminat, yang hadir ketika lagu Demi Waktu dimainkan.
Hampir seluruh ruang Idea Live Arena bergema dengan suara penonton yang menyanyikan lirik lagu tersebut bersama Pasha. Tiada lagi pemisah antara pentas dan penonton apabila ribuan peminat mula mengambil alih persembahan untuk menyampaikan lagu yang sudah begitu sebati dengan jiwa mereka.
Buat Pasha, sambutan tersebut menjadi bukti bahawa perjalanan Ungu sepanjang tiga dekad tidak pernah berdiri sendiri.
“Tiga puluh tahun adalah perjalanan yang sangat panjang. Ada banyak cerita, cabaran dan kenangan yang kami lalui.
Tetapi apabila kami melihat peminat di Kuala Lumpur masih menyanyikan lagu lagu kami bersama sama, kami rasa sangat bersyukur. Mereka adalah sebahagian daripada perjalanan Ungu,” ujar Pasha.
Hampir 4,000 Peminat Nyanyi Bersama Ungu Buktikan Tiga Dekad Bukan Sekadar Angka

Sebagai penutup, Ungu memilih Seperti Mati Lampu, sekali gus mengakhiri malam yang dipenuhi sorak sorai, nyanyian dan tenaga luar biasa daripada peminat.
Namun, apa yang ditinggalkan selepas lampu pentas mula malap bukan sekadar memori sebuah konsert. Ia adalah sebuah gambaran tentang bagaimana muzik mampu bertahan melangkaui masa.
Pengarah Konsert, En. Zairul Addry Helmy dari COMs. Creative Studio, menyifatkan sambutan luar biasa peminat sebagai satu pencapaian yang amat bermakna buat pihak penganjur.
“Kami sangat bersyukur hampir 4,000 peminat hadir untuk meraikan tiga dekad Ungu bersama-sama. Dari awal, kami mahu menghasilkan sebuah konsert yang bukan sekadar persembahan, tetapi pengalaman yang meninggalkan kenangan.”
“Melihat peminat menyanyi, tersenyum dan menghayati setiap lagu bersama Ungu malam ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran Marsha turut memberikan dimensi istimewa kepada keseluruhan persembahan.
“Kolaborasi Marsha bersama Ungu benar-benar menjadi salah satu detik istimewa malam ini. Ia memberikan warna yang berbeza dan pada masa sama memperlihatkan bagaimana muzik mampu menyatukan artis dan peminat merentasi generasi,” ujarnya.
Daripada Cindai sehingga Seperti Mati Lampu, perjalanan malam tersebut memperlihatkan satu perkara yang sukar dinafikan. Tiga puluh tahun bukan sekadar angka untuk Ungu. Satu tempoh yang cukup panjang untuk sebuah kumpulan membina legasi, namun cukup singkat apabila setiap lagu masih mampu menghidupkan kembali memori yang pernah tersimpan dalam hati pendengar.
Hampir 4,000 peminat yang hadir ke Idea Live Arena malam tadi bukan sekadar datang untuk melihat sebuah kumpulan yang pernah menjadi fenomena. Mereka datang untuk meraikan lagu-lagu yang pernah menemani zaman muda, kisah cinta, perpisahan, perjalanan hidup dan pelbagai momen yang mungkin tidak pernah mereka sedari akan menjadi kenangan bertahun tahun kemudian.
Ungu mungkin sudah melalui tiga dasawarsa, tetapi suara mereka masih bergema di hati peminat dan Havoxians!