
“Bila nak kurus balik?”
Soalan yang nampak biasa, tetapi cukup untuk buat ramai ibu diam dan telan sendiri tekanan yang tak pernah habis.
Dalam tempoh tubuh masih cuba pulih daripada luka bersalin, masih belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan baru, soalan seperti ini seolah olah menuntut sesuatu yang terlalu awal.
Namun bagi Uyaina Arshad, dia memilih untuk tidak terburu buru menjawab desakan tersebut dengan perubahan fizikal. Sebaliknya, dia memilih untuk mendengar tubuhnya sendiri.
“Yana sejenis yang percaya semua ni adalah proses dan fasa,” katanya.
Selepas melalui tiga kali pembedahan caesar, Uyaina memahami bahawa pemulihan bukan sesuatu yang boleh dipercepatkan. Ia adalah perjalanan yang memerlukan masa, kesabaran dan penerimaan terhadap diri sendiri.
Dan di situlah bermulanya kisah sebenar. Bukan tentang cepat kembali langsing, tetapi tentang belajar untuk pulih dengan cara yang lebih jujur dan realistik.
Uyaina Arshad Akui Pulih Lebih Penting Daripada Tekanan Luar

Bagi Uyaina, tempoh awal selepas bersalin bukanlah masa untuk mengejar angka di penimbang. Sebaliknya, ia adalah masa untuk memberi ruang kepada tubuh pulih sepenuhnya.
“Dalam tempoh 2 hingga 3 bulan pertama tu hanya perlu fokus kepada pemulihan terlebih dahulu. Kalau kita dah sihat, barulah kita boleh bersenam untuk menguruskan berat badan,” katanya.
Pendekatan ini sebenarnya sangat penting, terutama bagi wanita yang melalui pembedahan caesar. Tubuh bukan sahaja melalui perubahan fizikal, tetapi juga trauma dalaman yang memerlukan masa untuk sembuh.
Uyaina sendiri mengakui bahawa dia masih belum kembali ke berat sebelum mengandung, namun itu bukan keutamaan buat masa ini. Baginya, kesihatan dalaman dan kestabilan tubuh adalah asas kepada segala perubahan yang bakal datang.
“Untuk Yana sekarang ni proses pemulihan tu alhamdulillah berjalan dengan lancar. Masih lagi dalam proses, tetapi Yana melakukan secara perlahan.”
Dalam dunia serba laju hari ini, memilih untuk perlahan bukanlah kelemahan. Ia sebenarnya satu bentuk kesedaran diri yang tinggi.
Senaman Ringan, Konsisten & Realistik Pilihan Uyaina Arshad
Selepas melalui tiga kali pembedahan caesar, Uyaina sangat berhati hati dalam memilih rutin senamannya. Tiada paksaan, tiada over pushing. Hanya langkah kecil yang konsisten.
“Untuk wanita yang baru sahaja lepas bersalin caesar ni, kita tak boleh terus buat senaman yang berat.”
Antara rutin yang diamalkan termasuk berjalan kaki sebagai aktiviti utama. Selain itu, jika menggunakan beban, dia memastikan ia sangat ringan.
“Kalau angkat berat pun yang dumbbell tu tak lebih daripada 1 atau 2 kilo sahaja.”
Pendekatan ini bukan sahaja selamat, tetapi juga realistik untuk ibu ibu yang mungkin masih dalam fasa penyesuaian dengan kehidupan baru bersama bayi. Tidak semua orang mampu terus kembali ke gym atau melakukan rutin intensif, dan itu adalah normal.
Apa yang lebih penting adalah konsistensi dan kesedaran terhadap kemampuan tubuh sendiri.
Baca Juga : Uyaina Arshad Pilih Busana Raya Ringkas, Kekal Manis & Elegan
Uyaina Arshad Titip Pesanan Buat Para Ibu Selepas Bersalin
Di sebalik segala perkongsian, satu mesej paling kuat yang ingin disampaikan oleh Uyaina adalah tentang mendengar tubuh sendiri.
“Listen to your body. Jangan terlalu dengar apa orang cakap, orang tak berada dalam kasut kita.”
Pesanan ini mungkin kedengaran ringkas, tetapi ia sangat relevan dalam era media sosial di mana setiap orang mempunyai pendapat tentang tubuh orang lain. Tekanan untuk kelihatan “kembali seperti biasa” sering kali datang daripada perbandingan yang tidak sihat.
Uyaina mengingatkan bahawa setiap wanita mempunyai perjalanan yang berbeza. Tiada satu formula yang sesuai untuk semua.
“Fokus pada diri sendiri. Ingat yang paling penting adalah pemulihan terlebih dahulu. Kita sihat lepas tu baru boleh fikir untuk dapat semula berat badan sebelum mengandung.”
Akhir kata, Uyaina turut menitipkan kata semangat buat semua ibu di luar sana.
“All the best okey mummy,” Ringkas, tetapi penuh makna.

Tambah Uyaina lagi, Syawal pada tahun ini berbeza dengan kehadiran Raja Uzayn yang bukan sekadar melengkapkan keluarga, tetapi memberi makna baru kepada setiap detik yang dilalui mereka.
“Maknanya tetap sama, cuma lebih manis dengan kehadiran ahli keluarga baru. Yana cuma nak hargai masa dengan orang yang masih ada, sebelum kita kehilangan mereka atau kehilangan waktu itu,” ujarnya.
Jelasnya, Hari Raya kini terasa lebih manis bukan kerana kemeriahan semata mata, tetapi kerana kesedaran tentang betapa berharganya masa bersama insan tersayang.