
Ada lagu yang hadir untuk didengar, dan ada lagu yang hadir untuk meninggalkan rasa. Single terbaharu Syamel berjudul PERTAMA tampaknya berada dalam kategori kedua.
Ketika industri muzik tempatan terus bergerak dengan pelbagai eksperimen bunyi dan naratif, Syamel muncul dengan sebuah karya yang bukan sekadar mempertaruhkan kekuatan vokalnya, tetapi juga keberanian keluar daripada zon selesa yang selama ini membentuk identiti kerjaya seninya.
Syamel yang dikenali menerusi deretan lagu balada yang sarat emosi, kali ini memilih laluan berbeza menerusi single PERTAMA yang diterbitkan oleh Edry Abdul Halim yang mengangkat sisi lebih groovy, moden dan penuh karakter.
Ini sekali gus memberi petunjuk jelas bahawa Syamel sedang mengorak langkah membuka babak baharu dalam perjalanan muziknya.

Menariknya, karya ini tidak sekadar berbicara tentang cinta pandang pertama dalam tafsiran biasa. Syamel memperluaskan makna “pertama” kepada rasa keterujaan spontan yang muncul apabila hati terus terpaut pada sesuatu sejak pandangan pertama.
PERTAMA mewakili pelbagai konotasi speerti seseorang insan, kereta impian, rumah idaman atau apa sahaja yang membuat jiwa terus klik pada kali pertama bersua, perasaan ini yang menjadi nadi utama lagu tersebut.
“Kadang kadang bila kita tengok sesuatu, terus ada satu perasaan yang susah nak diterangkan, tapi hati kita terus klik. Itulah rasa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” kata Syamel.
Pendekatan itu memberi PERTAMA kekuatan tersendiri, sebuah lagu bersifat romantik, tetapi tidak terikat pada definisi cinta yang sempit. Sebaliknya ia meraikan momen kecil yang mampu meninggalkan rasa yang besar.
Pertaruhan Berani Syamel PERTAMA Lebih Groovy & Moden

Lebih mencuri perhatian PERTAMA juga merangkumi transformasi bunyi yang dibawa Syamel. Jika sebelum ini namanya cukup sinonim dengan lagu beremosi dan susunan dramatik, kali ini beliau tampil lebih santai, berani, dalam masa sama penuh attitude.
Gabungan elemen moden bersama sentuhan vintage menjadikan karya ini mempunyai tekstur berbeza daripada repertoir terdahulunya.
PERTAMA mempunyai unsur funky dan groove yang bermain halus, dalam masa sama, vokal Syamel merupakan tunjang serta pelengkap utama lagu ini.
Kerjasama bersama Edry Abdul Halim juga membuka sisi persembahan yang mungkin belum pernah diteroka sepenuhnya oleh Syamel.
“Edry banyak tekankan soal feel dan attitude untuk lagu ini. Dia mahu saya tampil dengan energi berbeza, dan itu yang menjadikan PERTAMA sangat menarik untuk diterokai,” katanya.
Bagi Havoxians yang mengikuti perjalanan seni Syamel sejak awal, perubahan ini boleh dianggap signifikan. Ia bukan perubahan demi mencipta kelainan semata-mata, tetapi evolusi semulajadi, dimana Syamel masih membawa identitinya, cuma dengan warna yang lebih segar dan attractive.
Video Muzik Sinematik, Syamel Angkat Fantasi Cinta Pandang PERTAMA

Naratif PERTAMA turut diperkukuh menerusi konsep video muzik rasmi yang dibangunkan secara sinematik dan penuh elemen fantasi.
Ia mengisahkan pertemuan singkat antara dua orang asing yang berkembang menjadi kisah cinta sempurna, sebelum penonton akhirnya menyedari semua yang berlaku hanyalah imaginasi yang tercipta dalam sekelip mata.
Twist ini menjadikan visual lagu bukan sekadar pelengkap, tetapi sebahagian daripada penceritaan besar karya tersebut.
BACA JUGA : Ernie Zakri & Syamel ‘Mendunia’, Suasana Raya Bernuansa Antarabangsa
Konsep berkenaan membawa simbolik bahawa satu detik singkat mampu terasa sangat besar apabila emosi hadir terlalu kuat. Ia juga bermain dengan idea bagaimana manusia boleh membina seluruh cerita di kepala hanya daripada satu pandangan.
Sentuhan visual itu diperkuat dengan kemunculan personaliti digital Aya Amiruddin dan Sharmaine Alexander yang membawa elemen segar serta karisma tersendiri.
Gabungan penceritaan romantik, sedikit humor dan sentuhan fantasi memberi potensi video muzik ini untuk menarik perhatian bukan hanya peminat muzik, tetapi juga penonton yang gemarkan visual storytelling.
Dalam era pengguna digital cenderung mengutamakan kandungan visual yang kuat, langkah ini dilihat selari dengan strategi memperluas daya tarik single berkenaan.
PERTAMA Sebuah Evolusi Kerjaya Seni Syamel

Lebih daripada sekadar single baharu, PERTAMA turut membawa makna peribadi buat Syamel. Lagu ini menjadi dedikasi khas kepada peminat setianya yang sentiasa menyokong sejak awal.
“Mereka yang nampak saya sebelum orang lain nampak. Jadi lagu ini saya tujukan buat mereka yang pertama dalam hati saya,” katanya.
Dalam masa sama, judul PERTAMA sendiri membawa simbolik lebih besar. Ia menjadi titik mula kepada fasa baharu yang dikatakan bakal dipenuhi lebih banyak cerita, emosi dan kejutan.
“Ini adalah permulaan kepada satu perjalanan baharu. Akan ada banyak cerita, emosi dan kejutan yang saya nak kongsi selepas ini,” ujar Syamel.
Sebelum ini Syamel dikenali dengan kekuatan vokal dan balada emosional, PERTAMA membuktikan dia juga mampu bermain dengan groove, attitude dan naratif moden tanpa kehilangan pesona. Malah, dalam industri yang sentiasa mencari sesuatu yang segar, karya seperti ini berpotensi menjadi turning point.
Jika, PERTAMA benar-benar simbol permulaan, maka Syamel mungkin sedang menuju ke fasa paling menarik dalam kariernya seni miliknya.
Sekadar info, single PERTAMA kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026, manakala tarikh pelancaran video muzik rasmi akan diumumkan menerusi media sosial rasmi Syamel.