
Selepas lebih dua dekad dikenali dengan lagu balada dan pop alternatif yang dekat dengan jiwa pendengar, Aizat Amdan kini tampil dengan pertaruhan paling berani dalam karier seninya apabila bergabung bersama Sekumpulan Orang Gila (SOG) menerusi single terbaharu berjudul Ajar Aku.
Lebih mengejutkan, lagu yang menyatukan dua dunia muzik berbeza itu turut diserikan dengan kemunculan istimewa Yuna sebagai pelengkap emosi karya tersebut.
Gabungan elemen soulful, post hardcore dan sentuhan sinematik moden menjadikan Ajar Aku bukan sekadar kolaborasi biasa, tetapi simbol keberanian Aizat untuk keluar daripada zon selesa demi meneroka dimensi muzik yang lebih segar dan eksperimental.
Aizat Amdan Ambil Risiko Keluar Daripada Zon Selesa Demi Eksperimen Muzik

Bagi Aizat, penghasilan Ajar Aku menjadi antara langkah paling berani sepanjang karier seninya. Selepas bertahun-tahun dikenali menerusi lagu yang lebih lembut dan sentimental, dia memilih untuk mencabar dirinya dengan memasuki wilayah muzik yang jauh berbeza daripada identiti asalnya.
Menariknya, idea penghasilan lagu ini lahir secara spontan ketika sesi rakaman Dari Studio Podcast, sebuah podcast kendalian Aizat sendiri yang memberi fokus terhadap proses kreatif penghasilan lagu secara langsung bersama tetamu jemputan.
SOG yang hadir sebagai tetamu episod tersebut pada Mei tahun lalu akhirnya menjadi sebahagian daripada proses kreatif yang melahirkan Ajar Aku secara organik ketika rakaman podcast berlangsung.
“Kami bermula dengan berbual tentang muzik, perjalanan seni dan pengalaman dalam industri. Dalam masa podcast itu juga kami mula membina idea dan akhirnya Ajar Aku lahir secara organik daripada sesi tersebut,” kata Aizat.
Apa yang membuatkan kolaborasi ini lebih menarik adalah kesanggupan kedua-dua pihak untuk keluar daripada ruang selesa masing-masing demi menghasilkan sesuatu yang lebih segar dan jujur.

Aizat sendiri mengakui proses menyatukan karakter vokalnya yang lebih soulful dengan gaya nyanyian keras milik vokalis SOG, Raja Nazrin Shah, bukanlah sesuatu yang mudah.
“Suara saya lebih soulful manakala Nazrin pula mempunyai karakter rock yang lebih kasar. Jadi kami banyak bereksperimen untuk mencari titik tengah supaya kedua-dua identiti itu masih kekal tetapi kedengaran seimbang,” jelasnya.
“Ajar Aku” Angkat Tema Ego, Penerimaan & Keberanian

Dari sudut penceritaan pula, Ajar Aku membawa mesej yang cukup dekat dengan kehidupan manusia, khususnya tentang keberanian merendahkan ego demi menerima ilmu, kasih sayang dan bimbingan daripada orang lain.
Walaupun tidak ditulis berdasarkan satu pengalaman spesifik, lagu ini merupakan gabungan emosi dan pemerhatian yang dikumpulkan Aizat sepanjang perjalanan hidup dan kerjayanya sebagai anak seni.
“Ia adalah tentang manusia yang sedang mencari arah dan tidak malu untuk meminta tunjuk ajar. Kadang-kadang kita terlalu ego untuk menerima nasihat sedangkan proses belajar itu sendiri adalah sebahagian daripada kehidupan,” katanya lagi.
Tambahnya, gabungan bunyi pop alternatif, rock moden dan elemen sinematik menjadikan Ajar Aku sebuah karya yang memiliki identiti tersendiri dan tidak terikat dengan formula komersial biasa.
Malah, keberanian Aizat untuk bereksperimen bersama SOG juga memperlihatkan kesediaannya untuk terus berkembang sebagai anak seni tanpa takut mengambil risiko.
Kemunculan Istimewa Yuna, Kejutan Paling Bermakna

Antara momen paling mencuri perhatian dalam Ajar Aku pastinya kemunculan istimewa Yuna di penghujung lagu tersebut.
Menurut Aizat, ketika proses rakaman berlangsung di studio KGE, Yuna secara kebetulan berada di studio sama bagi menyiapkan album terbaharunya sebelum diperdengarkan dengan lagu tersebut.
Apa yang lebih menarik, bahagian vokal wanita pada penghujung lagu asalnya adalah suara Aizat yang dialih menerusi kecerdasan buatan (AI) yang digunakan sebagai demo sementara sebelum Yuna sendiri menawarkan diri untuk merakamkan bahagian tersebut.
“Bila Yuna dengar bahagian akhirnya, dia terus kata, ‘Biar saya yang rakamkan bahagian ini.’ Jadi daripada menggunakan AI, kami dapat sesuatu yang jauh lebih hidup dan bermakna,” ujar Aizat.
Kemunculan Yuna bukan sahaja memberikan warna berbeza kepada lagu ini, malah menambah elemen eksklusif yang menjadikan Ajar Aku lebih istimewa buat peminat muzik tempatan.
Menurut Aizat lagi, Yuna juga merupakan antara individu terawal yang mempercayai potensi lagu tersebut termasuk memberi galakan untuk mereka menghasilkan video muzik rasmi.
Bagi Aizat, Ajar Aku bukan sekadar percubaan mencampurkan dua genre berbeza, tetapi usaha memperluaskan landskap muzik tempatan dengan pendekatan yang lebih terbuka dan progresif.
“Saya berharap pendengar dapat menerima gabungan bunyi baharu ini dan melihat bahawa muzik tempatan juga mampu bereksperimen tanpa kehilangan emosi dan kejujurannya. Insya-Allah, saya mahu Ajar Aku menjadi lagu yang timeless dan terus relevan walaupun masa berlalu,” katanya.
Havoxians boleh mendengar single Ajar Aku nyanyian Aizat Amdan bersama Sekumpulan Orang Gila yang kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.