
Sembilan tahun bukan satu tempoh yang singkat untuk seorang penyanyi terus percaya bahawa hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba.
Di sebalik personaliti ceria dan karakter menghiburkan yang sering ditampilkan kepada umum, penyanyi Andi Bernadee sebenarnya pernah mengharungi getirnya hidup apabila berdepan masalah kesihatan sehingga menjejaskan perjalanan karier seninya.
Ada ketika suaranya tidak mampu berfungsi seperti biasa. Ada waktu tubuhnya memberi isyarat bahawa dia perlu berhenti seketika. Namun, keinginan untuk menyelesaikan sesuatu yang sudah lama diimpikan membuatkan penyanyi itu cekal dan terus melangkah.
Sembilan Tahun Menunggu, Ding Geding Jadi Simbol Perjalanan Emosi Andi Bernadee

Selepas hampir sedekad berada dalam industri muzik tempatan, Andi akhirnya merealisasikan impian besarnya apabila melancarkan album sulung berjudul Ding Geding yang menghimpunkan kompilasi 12 buah lagu dengan pelbagai kisah, emosi dan warna muzik.
Bagi Andi, album tersebut bukan sekadar koleksi lagu baharu, sebaliknya menjadi bukti kepada perjalanan panjang yang penuh dengan pengalaman, perubahan diri serta perjuangan seorang anak seni.
“Sejujurnya saya rasa sangat lega dan bersyukur. Saya menunggu selama sembilan tahun untuk menghasilkan album pertama dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan.
“Saya pernah melalui fasa di mana suara tidak keluar dan badan menggeletar, tetapi saya tetap ke studio dan meneruskan perjuangan selagi ada kudrat,” katanya.
Menurut Andi, Ding Geding mempunyai nilai yang besar buat dirinya kerana album tersebut menggambarkan pelbagai fasa kehidupan yang pernah dilalui.
Tidak hanya mahu mengetengahkan sisi gembira, penyanyi itu turut menyelitkan kisah kecewa, kekeliruan dan cabaran kerana percaya semua perasaan tersebut adalah sebahagian daripada realiti kehidupan.
“Album ini ada momen seronok, kecewa, bingung dan bahagia. Semua emosi itu ada dalam satu album kerana itulah realiti kehidupan sebenar.
“Emosi manusia sentiasa berubah ubah dan saya mahu pendengar merasai perjalanan tersebut bersama saya,” jelasnya.
Menariknya, pemilihan nama Ding Geding merupakan inspirasi daripada sebuah babak ikonik dalam filem klasik Melayu Ahmad Albab menerusi frasa “ding geding” yang disebut oleh watak anak jin.
Daripada idea spontan tersebut, Andi mula membentuk konsep sebuah album yang mempunyai elemen menyeronokkan, mudah diingati tetapi masih membawa makna dalam setiap karya yang dipersembahkan.
“Saya mahu sesuatu yang apabila orang dengar, mereka terus tertarik dan tertanya tanya.
“Sama seperti album ini, setiap lagu mempunyai warna dan identitinya yang tersendiri,” katanya.
Keluar Zon Selesa, Seksa Jiwa Dedah Sisi Berbeza Seorang Andi

Dalam usaha memperlihatkan kematangan sebagai penyanyi, Andi turut mengambil risiko meneroka sisi muzik yang jarang dikaitkan dengan dirinya sebelum ini.
Antara lagu yang memberi kesan mendalam kepadanya ialah Seksa Jiwa, sebuah karya berentak soul ballad yang memerlukan Andi untuk keluar daripada zon selesa.
Mengakui genre tersebut bukan kebiasaannya, penyanyi itu berkata proses menyiapkan lagu berkenaan menjadi satu pengalaman yang cukup mencabar namun akhirnya memberikan kepuasan tersendiri.
“Menyiapkan Seksa Jiwa bukan sesuatu yang mudah kerana rentak itu bukan makanan saya.
“Tetapi apabila lagu itu siap sepenuhnya, ia menjadi antara lagu kegemaran saya dalam album ini. Lagu itu benar benar memberi kesan apabila didengari seorang diri,” ujarnya.
Menerusi album ini, Andi juga mahu membuktikan bahawa perkembangan seseorang artis tidak seharusnya terbatas meski berdepan pelbagai cabaran.
Walaupun masih mengekalkan identiti yang membuatkan dirinya dikenali peminat, Ding Geding membuka ruang untuk pendengar melihat sisi Andi yang lebih matang dan berani bereksperimentasi.
Mahu Pendengar Rasai Sendiri, Andi Harap Lagunya Jadi Peneman Suka Duka

Selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang proses menghasilkan album sulungnya, Andi mengakui pengalaman tersebut banyak mengubah cara dirinya melihat halatuju kerjaya seninya selepas ini.
Jika dahulu kejayaan sering dikaitkan dengan hasil akhir, kini dia lebih menghargai perjalanan dan proses yang membentuk dirinya sebagai seorang pengkarya.
Baginya, setiap lagu dalam Ding Geding mempunyai ruang untuk menjadi peneman kepada pendengar yang mungkin sedang melalui pelbagai fasa kehidupan.
“Saya harap selepas mendengar album ini, mereka akan rasa bahawa mereka tidak keseorangan.
“Jika ada mana mana lagu yang boleh menjadi teman, memberi semangat atau membuatkan mereka rasa difahami, itu sudah sangat bermakna untuk saya sebagai seorang pengkarya,” katanya.
Sekdar info, Album Ding Geding bakal menemui Havoxians di semua platform penstriman digital bermula 5 Jun 2026.