
‘The long Harvest’ apa makna di sebaliknya? Pernahkah tak Havoxians terfikir, ada kehidupan seseorang yang berubah bukan kerana satu bantuan besar, tetapi kerana ada insan yang memilih untuk percaya dan memberi peluang ketika mereka hampir berputus asa?
Di sebuah pesisir pantai, ada komuniti yang kembali menjaga alam mereka. Di sebuah padang bola, ada pelajar yang menemui semula semangat untuk belajar. Di sebalik budaya dan warisan yang hampir dilupakan pula, ada tangan kecil yang berusaha memastikan ia terus bernyawa.
Semua kisah ini mungkin jarang mendapat perhatian ramai, namun di sebalik perjalanan senyap tersebut tersembunyi cerita tentang harapan, keberanian dan perubahan sebenar rakyat Malaysia.
Selepas lebih sedekad menyokong komuniti di seluruh negara, Yayasan Hasanah kini membawa kisah tersebut ke hadapan menerusi The Hasanah Report 2025 bertemakan The Long Harvest, termasuk koleksi filem pendek dokumentari yang memperlihatkan wajah sebenar individu di sebalik perubahan itu.
Dari Hutan Bakau Ke Padang Bola, Dokumentari Hasanah Angkat Kisah Sebenar Rakyat Malaysia

Tidak sekadar berkongsi data dan pencapaian, The Long Harvest membawa penonton melihat sendiri bagaimana sesuatu usaha kecil mampu berkembang menjadi impak yang lebih besar.
Antara kisah yang diketengahkan termasuk usaha pemulihan ekosistem pesisir pantai di Perak, penggunaan bola sepak sebagai medium meningkatkan keterlibatan pelajar dalam pendidikan di Sabah, pembangunan komuniti Pulau Omadal serta usaha memelihara warisan budaya di Sarawak.
Setiap kisah mempunyai latar berbeza, namun membawa mesej yang sama bahawa perubahan sebenar memerlukan masa, kepercayaan dan kerjasama daripada semua pihak.
Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, pengalaman lebih sedekad bersama komuniti mengubah cara organisasi itu melihat maksud sebenar sebuah kejayaan.
“Pada peringkat awal, kami memberi tumpuan kepada bentuk sokongan yang disalurkan iaitu projek yang dilaksanakan, program yang dijalankan dan jumlah penerima manfaat yang dicapai. Semua itu masih penting.
“Namun lama-kelamaan kami mula bertanya soalan yang berbeza, apakah yang memastikan kemajuan terus berkembang selepas sesuatu projek dimulakan?” katanya.
Lebih 1,100 Projek Dilaksanakan, Yayasan Hasanah Percaya Perubahan Bermula Daripada Kepercayaan

Sejak penubuhannya, Yayasan Hasanah telah bekerjasama dengan pelbagai komuniti, organisasi masyarakat sivil, agensi kerajaan, institusi akademik serta sektor swasta bagi membina perubahan yang lebih mampan.
Dengan sokongan pembiayaan daripada Kementerian Kewangan, usaha tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 4.01 juta rakyat menerusi 1,134 projek di seluruh negara.
Pada tahun 2025 sahaja, Hasanah menyokong 172 projek baharu selain menerima kehadiran 102 rakan kerjasama baharu dalam usaha memperluaskan lagi impak kepada masyarakat.
Bagaimanapun, menurut Siti Kamariah, pembiayaan hanyalah sebahagian daripada perjalanan kerana kekuatan sebenar sesebuah perubahan hadir daripada hubungan yang dibina bersama komuniti.

“Pembiayaan boleh menjadi pemangkin kepada sesuatu usaha. Namun apa yang memastikan ia terus bertahan selalunya adalah perkara yang kurang kelihatan iaitu kepercayaan, hubungan yang terjalin, kepimpinan tempatan dan keyakinan yang dibina dari semasa ke semasa.
“Perkara-perkara ini jarang sekali muncul sebagai item dalam bajet, tetapi sering menjadi faktor yang menentukan sama ada kemajuan itu akan terus berkembang atau tidak,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa peranan Hasanah bukan sekadar menyediakan sokongan kepada sesuatu program, tetapi memastikan komuniti mempunyai kekuatan untuk meneruskan perjalanan mereka sendiri.
“Tugas kami bukan sekadar menyokong program. Ia juga tentang mewujudkan keadaan yang membolehkan kemajuan berlaku.
“Pada akhirnya, kejayaan bukan diukur melalui tempoh komuniti bergantung kepada kami, tetapi sejauh mana mereka mampu bergerak ke hadapan dengan yakin secara berdikari,” katanya.
The Hasanah Report 2025 Bawa Mesej Baharu Tentang Erti Kemajuan Masa Depan

Menerusi tujuh kisah utama yang diketengahkan dalam laporan tahun ini, Yayasan Hasanah mahu membuka ruang perbincangan lebih luas mengenai maksud sebenar kemajuan.
Ia bukan sekadar tentang menyediakan sumber, tetapi bagaimana masyarakat diberi peluang untuk membina keyakinan, kepimpinan dan penyelesaian yang sesuai dengan keperluan mereka sendiri.
Bagi Hasanah, cabaran komuniti juga sentiasa berubah termasuk daripada aspek sumber pendapatan, tekanan alam sekitar sehinggalah perubahan struktur masyarakat pada masa hadapan.
Justeru, pendekatan untuk membantu masyarakat juga perlu berkembang seiring dengan perubahan tersebut.
“Apabila komuniti berubah, cara kita menyokong mereka juga perlu berubah.
“Sepanjang perjalanan ini, kami belajar bahawa kemajuan jarang mengikut satu pelan yang tetap. Peranan kami adalah untuk terus belajar bersama komuniti dan rakan kerjasama serta membantu mewujudkan ruang yang membolehkan idea-idea baik berkembang dan memberi manfaat yang lebih besar,” jelas Siti Kamariah.
Melalui koleksi dokumentari The Long Harvest, penonton bukan sahaja dapat melihat hasil sesuatu projek, malah mengenali manusia sebenar di sebalik setiap perubahan.
Daripada usaha menjaga alam sekitar, membuka peluang pendidikan sehingga menghidupkan kembali warisan budaya, kisah ini menjadi bukti bahawa perubahan besar sering bermula daripada langkah kecil yang dilakukan secara konsisten.
Lebih daripada sebuah laporan, The Hasanah Report 2025 meraikan perjalanan masyarakat Malaysia yang terus percaya bahawa masa depan lebih baik mampu dibina bersama.