
Bagaimana rasanya apabila satu hari nanti, orang yang paling dekat dengan kita mula menerima kehadiran ‘orang lain’ yang kelihatan lebih baik daripada diri sendiri?
Lebih menyakitkan, sosok itu bukan sahaja mengambil alih tugas harian, tetapi perlahan-lahan menggantikan peranan sebagai seorang isteri dan ibu sehingga kewujudan sebenar mula dipersoalkan.
Itulah konflik emosi yang cuba diketengahkan menerusi filem seram terbaharu, Khadam, sebuah naskhah yang tidak hanya bergantung kepada elemen mistik dan gangguan entiti halus, sebaliknya menyelami ketakutan manusia terhadap kehilangan kasih sayang, identiti serta tempat dalam keluarga sendiri.
Menerusi pelancaran poster dan trailer rasmi, Khadam memberi gambaran lebih mendalam mengenai dunia gelap yang ingin dibawa kepada penonton, sekali gus meletakkan filem arahan Shamyl Othman ini sebagai antara karya seram tempatan yang mencuri perhatian menjelang tayangannya.
Khadam Angkat Kisah Saka Dari Perspektif Berbeza, Bukan Sekadar Gangguan Makhluk Halus

Berlatarbelakangkan era 1950-an, Khadam membawa penonton menyelami perjalanan sebuah keluarga yang cuba memutuskan hubungan dengan entiti lama yang sudah terikat dengan keturunan mereka sejak sekian lama.
Namun berbeza daripada penceritaan saka yang sering dipaparkan dalam filem seram tempatan, Khadam memilih pendekatan lebih psikologi apabila kisahnya diceritakan menerusi pandangan seorang wanita bernama Melor.
Selepas kematian ibunya, Melor terpaksa mewarisi saka keluarga, satu entiti yang kemudiannya menjelma sebagai versi dirinya yang dianggap lebih sempurna.
Apa yang pada awalnya kelihatan seperti gangguan mistik berubah menjadi konflik yang jauh lebih peribadi apabila entiti tersebut mula mengisi setiap kekurangan Melor.
Perlahan-lahan, sosok itu mengambil tempatnya sebagai isteri dan ibu. Kehadirannya diterima kerana dilihat lebih tenang, lebih tersusun dan lebih memahami keperluan keluarga.
Dalam diam, Melor semakin hilang dalam kehidupannya sendiri.
Di sinilah Khadam cuba bermain dengan satu persoalan yang dekat dengan realiti manusia. Adakah perkara paling menakutkan sebenarnya kehilangan diri sendiri sebelum orang lain menyedari kita sudah tiada?
“Melor adalah seorang mangsa yang terus bertahan walaupun dunia di sekelilingnya perlahan-lahan mengambil segala yang dia punya,” kata Aghniny Haque yang memegang watak utama tersebut.
Remy Ishak Teroka Watak Suami Yang Gagal Meluahkan Kasih Sayang

Selain kekuatan elemen seram, Khadam turut memberi ruang kepada konflik rumah tangga menerusi watak Awang lakonan Datuk Remy Ishak.
Awang digambarkan sebagai seorang lelaki yang sebenarnya menyimpan kasih terhadap isterinya, namun gagal menzahirkan perasaan tersebut. Kelemahan itu akhirnya mencetuskan kesan besar sehingga membawa kepada tragedi yang mengubah kehidupan Melor.
Bagi Remy, watak tersebut mencabarnya untuk menggambarkan sisi seorang lelaki yang kompleks dan tidak semestinya mudah diterima penonton.
“Awang bukan watak untuk disukai. Dia wujud di sekeliling kita, lelaki yang merasa, tetapi tidak pernah mengaku. Itu yang membuatkan watak ini sangat mencabar untuk saya,” ujar Datuk Remy Ishak.
Sementara itu, kehadiran Aghniny Haque sebagai Melor menjadi antara kekuatan utama filem ini.
Nama Aghniny bukan asing dalam industri perfileman Indonesia selepas membintangi beberapa karya popular seperti KKN di Desa Penari, Mencuri Raden Saleh dan Qorin.
Menerusi Khadam, pelakon itu membuat kemunculan dalam filem Malaysia pertamanya menerusi sebuah kolaborasi antarabangsa yang menghimpunkan bakat serta produksi dari beberapa negara.
Lebih mencabar, watak Melor memerlukan Aghniny menyampaikan emosi tanpa bergantung kepada dialog kerana karakter tersebut merupakan seorang ibu yang bisu.
Setiap ketakutan, kehilangan dan perjuangan Melor diterjemahkan melalui ekspresi serta bahasa tubuh, menjadikan konflik yang dilaluinya terasa lebih dekat.
Gabungan Produksi Antarabangsa Bawa Khadam Ke Skala Lebih Besar

Khadam diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions bersama beberapa rakan strategik serantau serta antarabangsa termasuk Magma Entertainment dan VMS Studios dari Indonesia, Sil Metropole dari Hong Kong, Applause Entertainment dari India, Primeworks Studios serta Golden Screen Cinemas dari Malaysia.
Menariknya, filem ini turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Kerjasama tersebut bukan sekadar menghimpunkan nama besar dalam industri, malah membuka ruang kepada pertukaran kepakaran dan perspektif berbeza dalam menghasilkan sebuah karya seram yang mempunyai daya tarikan lebih luas.
Di bawah arahan Shamyl Othman, Khadam memberi fokus kepada penceritaan yang dibina secara perlahan dengan visual sinematik dan kekuatan emosi watak, menjadikan elemen seram hadir bukan hanya daripada kemunculan entiti, tetapi daripada konflik dalaman manusia itu sendiri.
Turut membintangi filem ini ialah Siti Khadijah Halim sebagai Manis, Zarra Zhaff sebagai Puteh, Karl’ El sebagai Hitam serta penampilan khas Jun Lojong sebagai Nek Mak.
Sekadar info, Khadam bakal menemui Havoxians di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026.