
Berapa ramai yang sanggup meninggalkan tanah air demi mengejar peluang pekerjaan lebih lumayan? Malangnya, tidak semua perjalanan berakhir dengan impian yang menjadi kenyataan. Ada yang akhirnya terperangkap dalam sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia sehingga mengubah seluruh kehidupan mereka.
Realiti yang semakin membimbangkan inilah menjadi nadi kepada filem survival thriller, Tiket Sehala, yang mengangkat kisah penuh debaran, emosi dan perjuangan untuk terus hidup. Selepas hampir setahun menjalani proses pembikinan, karya terbaharu terbitan Key Billions Sdn. Bhd. itu akhirnya bersedia menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos ini.
Lebih menarik, filem ini turut menghimpunkan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, sekali gus memperkukuhkan skala penceritaan yang merentasi sempadan negara.
Rahila Ali Angkat Isu Penipuan Pekerjaan Melalui Penceritaan Yang Mendebarkan

Menurut Rahila, sambutan positif yang diterima menerusi teaser poster dan teaser trailer sebelum ini menjadi pembakar semangat buat seluruh pasukan produksi yang bertungkus lumus menyiapkan filem berkenaan.
“Apabila kami memuat naik teaser poster dan teaser trailer Tiket Sehala di media sosial, ramai yang memberikan maklum balas positif terhadap visual dan lakonan para pelakon. Saya amat menghargai setiap komen yang diberikan kerana ia menjadi pembakar semangat kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras menjayakan filem ini,” katanya.
Mengangkat kisah sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika mencari rezeki di Korea Selatan, Tiket Sehala memaparkan perjalanan mereka yang bertukar menjadi mimpi ngeri apabila terperangkap dalam situasi yang mengubah seluruh kehidupan.
Dalam usaha untuk terus bertahan, setiap watak dipaksa membuat keputusan sukar yang tidak pernah mereka bayangkan. Konflik yang dipaparkan bukan sekadar menguji kekuatan fizikal, malah menguji keberanian, nilai kemanusiaan serta harapan untuk kembali menikmati kebebasan.
Rahila berkata, walaupun filem ini dibina menerusi elemen survival thriller yang sarat dengan ketegangan, mesej yang ingin disampaikan jauh lebih besar daripada sekadar hiburan.
“Filem ini diinspirasikan daripada isu yang benar benar berlaku dan kami cuba mengangkatnya dalam bentuk penceritaan yang mendebarkan. Di sebalik ketegangan yang dipaparkan, ia juga membawa kisah tentang harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan,” jelasnya.
Tambah beliau, harapan terbesar pasukan produksi adalah agar penonton keluar dari pawagam dengan kesedaran yang lebih tinggi terhadap ancaman sindiket penipuan pekerjaan.
“Kami berharap filem ini dapat membuka mata penonton terhadap realiti yang mungkin tidak ramai sedari. Jika penonton keluar dari pawagam dengan rasa lebih peka dan lebih berhati hati terhadap isu ini, itu sudah cukup bermakna buat kami,” ujarnya.
Cabaran Penggambaran Di Korea Selatan Perkukuh Nilai Produksi Tiket Sehala

Di sebalik penghasilan sebuah filem yang sarat aksi dan emosi, Rahila mengakui proses pembikinan Tiket Sehala bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan sebahagian besar penggambaran dijalankan di Korea Selatan.
Antara cabaran yang perlu dihadapi termasuk urusan permit penggambaran, logistik, faktor cuaca serta penyelarasan kerja antara pasukan produksi Malaysia dan Korea Selatan yang mempunyai budaya kerja berbeza.
Menurutnya, terdapat pelbagai situasi yang memerlukan keputusan dibuat dalam tempoh singkat bagi memastikan keseluruhan proses berjalan lancar.
“Sudah tentu ada perkara yang tidak berjalan seperti dirancang dan ada masanya kami terpaksa membuat keputusan dalam tempoh yang singkat. Namun bagi saya setiap cabaran adalah sebahagian daripada proses menghasilkan sesebuah filem,” tambahnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen semua tenaga produksi yang tidak pernah berputus asa sepanjang tempoh penggambaran berlangsung.
“Apa yang paling saya syukuri ialah komitmen seluruh pasukan produksi. Tanpa usaha dan kerjasama mereka, filem ini tidak mungkin dapat disiapkan sehingga berjaya menemui penonton pada 6 Ogos nanti,” katanya.
Selain menjalani penggambaran di Malaysia dan Korea Selatan, pembikinan filem ini turut membabitkan kerjasama tenaga kreatif dari beberapa negara, sekali gus memberikan nilai produksi yang lebih besar serta memperkukuhkan keaslian penceritaannya.
Gabungan Pelakon Antarabangsa Perkukuh Kisah Yang Diinspirasikan Daripada Realiti

Mengukuhkan lagi kekuatan filem ini ialah barisan pelakon yang menggabungkan nama tempatan dan antarabangsa. Antara yang membintangi Tiket Sehala ialah Noki K Clique, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, Ainee Mustafa dan Saha Champ.
Turut memeriahkan filem ini ialah pelakon Korea Selatan Hyunjun Suk dan Ha Ju Young, pelakon Thailand Usadee Aphisit atau lebih dikenali sebagai Ninja, serta pelakon Indonesia Naufal Samudra.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Eddie Yap berkata, isu penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia masih berlaku di banyak negara termasuk membabitkan rakyat Malaysia, justeru filem ini diharapkan mampu menjadi medium meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Kita sering melihat laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara,” tegasnya.
Beliau berharap masyarakat lebih berhati hati dan membuat semakan sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.
“Menerusi Tiket Sehala, kami berharap masyarakat akan lebih berwaspada dan membuat semakan sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan,” jelasnya.
Menurut Eddie, selain menawarkan pengalaman menonton yang penuh debaran, filem ini turut mengingatkan bahawa setiap keputusan yang dibuat mampu mengubah kehidupan seseorang dalam sekelip mata.
Tiket Sehala bakal menemui Havoxians di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos 2026. Orang ramai yang ingin menjadi antara penonton terawal boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mengikuti perkembangan tayangan menerusi saluran rasmi filem ini dan platform tiket pawagam berhampiran.