
Bukan semua penyanyi mampu bertahan selama 25 tahun dalam industri hiburan. Lebih sukar apabila perjalanan itu dipenuhi cabaran, perubahan zaman dan persaingan yang tidak pernah berhenti. Namun, bagi Shila Amzah, setiap pentas yang dipijak bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi menjadi saksi kepada impian seorang anak seni yang akhirnya berjaya mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.
Kini, selepas suku abad mencipta sejarah bersama jutaan peminat, penyanyi itu memilih untuk meraikan perjalanan luar biasanya menerusi sebuah konsert yang bukan sekadar mengimbau kenangan, malah menjadi simbol penghargaan buat semua yang tidak pernah berhenti mempercayai bakatnya.
Itulah yang bakal disaksikan menerusi konsert KITA 25 Tahun Bersama yang akan berlangsung pada 15 Ogos 2026 ini!
Konsert KITA Satukan Perjalanan 25 Tahun Shila Amzah Dalam Satu Malam Penuh Emosi

Lebih daripada sekadar konsert, KITA 25 Tahun Bersama disifatkan sebagai sebuah perjalanan muzik yang merentasi pelbagai fasa kehidupan dan kerjaya Shila Amzah. Dengan sasaran lebih 5,000 penonton memenuhi Arena of Stars, persembahan ini menjanjikan produksi bertaraf antarabangsa yang menggabungkan susunan muzik eksklusif, penceritaan yang menyentuh emosi serta visual spektakular bagi memberikan pengalaman berbeza kepada setiap penonton.
Malam bersejarah itu bakal menyaksikan Shila mempersembahkan sebanyak 40 buah lagu dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Inggeris. Antara karya yang bakal mengimbau nostalgia peminat termasuk Ada Saja, Tragik, Kita Berdansa, Patah Seribu Hatiku, Oscar Winning Tears, Forever Love, Masih Aku Cinta, Memori Tercipta dan Temberang, selain beberapa lagu Mandarin yang pernah melonjakkan namanya di pentas antarabangsa.

Konsert ini turut menampilkan beberapa segmen khas yang dijangka menjadi antara tarikan utama malam tersebut. Antaranya ialah Tribut Sudirman, Tribut Michael Jackson dan Fish Leong Medley yang disusun khas bagi memberikan kelainan kepada keseluruhan persembahan serta meraikan figura figura yang turut memberi inspirasi kepada perjalanan seni Shila.
Menurut Shila, konsert berkenaan membawa makna yang sangat mendalam kerana setiap kejayaan yang diraih sepanjang 25 tahun ini lahir daripada sokongan para peminat.
“Konsert KITA 25 Tahun Bersama bukan sekadar meraikan ulang tahun ke 25 saya dalam industri muzik, tetapi lebih kepada menghargai setiap insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.
Saya percaya setiap lagu yang pernah saya nyanyikan mempunyai cerita tersendiri dan saya mahu menghidupkan semula semua kenangan itu bersama para peminat yang sentiasa berada di sisi saya sejak hari pertama,” katanya.
Barisan Artis Jemputan Dan Kolaborasi Eksklusif Tambah Kemeriahan Pentas

Selain persembahan solo Shila, malam berkenaan turut diperkaya dengan penampilan beberapa artis jemputan yang bakal memberikan warna berbeza kepada konsert tersebut.
Antara nama yang disahkan membuat kemunculan ialah DJ Fuzz, Balan Kashmir, Kidd Santhe, Mimy Fly dan Hael Husaini, selain beberapa kejutan lain yang hanya akan diumumkan pada hari konsert berlangsung.
Gabungan artis daripada pelbagai genre ini dijangka menghasilkan kolaborasi eksklusif yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini. Pendekatan tersebut sekali gus menjadikan KITA 25 Tahun Bersama sebagai sebuah persembahan yang bukan sahaja meraikan perjalanan seni Shila, malah menghimpunkan kepelbagaian warna muzik tempatan dalam satu pentas.
Shila mengakui beliau teruja dapat berkongsi pentas bersama rakan rakan artis yang banyak mewarnai industri muzik tanah air.
“Malam tersebut akan menjadi sebuah persembahan yang sangat dekat di hati saya. Saya juga sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan rakan rakan artis yang saya hormati kerana mereka masing masing mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri.
Saya percaya gabungan ini akan menjadikan KITA 25 Tahun Bersama lebih istimewa dan saya berharap semua yang hadir akan pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan,” tambahnya lagi.
Pink Asia Tampilkan Produksi Premium Sempena Visit Malaysia 2026

Sementara itu, Pengarah Pink Asia, Mr Ravivarman Vicraman berkata penganjuran konsert berkenaan merupakan penghormatan kepada seorang ikon muzik Malaysia yang telah berjaya membawa nama negara ke pentas antarabangsa.
Beliau menjelaskan produksi itu dirancang secara teliti dengan menggabungkan elemen muzik, visual dan penceritaan supaya setiap penonton dapat menyelami perjalanan seni Shila sepanjang suku abad.
“Shila Amzah bukan sekadar penyanyi bertaraf antarabangsa, tetapi juga simbol kecekalan, dedikasi dan kebanggaan industri muzik Malaysia. KITA 25 Tahun Bersama dirancang sebagai sebuah produksi premium yang menggabungkan elemen muzik, visual dan penceritaan bagi menghargai perjalanan seni beliau selama suku abad.
Pada masa sama, kami mahu menjadikan konsert ini sebagai platform yang menghimpunkan pelbagai bakat hebat tanah air dalam satu malam yang penuh makna,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, pemilihan Arena of Stars, Resorts World Genting dibuat bertepatan dengan reputasinya sebagai venue hiburan bertaraf dunia yang mampu memenuhi keperluan teknikal sebuah produksi berskala besar.
Dalam masa sama, konsert ini turut dilihat sebagai antara pemangkin kepada industri pelancongan hiburan negara menerusi sambutan Visit Malaysia 2026 apabila dijangka menarik ribuan peminat dari luar negara untuk menikmati persembahan bertaraf antarabangsa di Malaysia.
Bagi Havoxians yang ingin menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini, tiket KITA 25 Tahun Bersama ditawarkan pada harga VIP RM599, SA1 RM399, SA2 RM249, SA3 RM249, SA4 RM199 dan SA5 RM149. Tiket boleh didapati menerusi Ticket2U Malaysia serta Resorts World Genting.
Menariknya, pembeli tiket turut menikmati diskaun segera sebanyak 10 peratus menerusi kempen Coffee Bean x KITA, selain berpeluang memperoleh diskaun 20 peratus untuk makanan dan minuman di cawangan terpilih The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia dengan menunjukkan tiket konsert dalam tempoh tiga hari selepas pembelian.
Havoxians disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal memandangkan sambutan daripada peminat tempatan dan antarabangsa dijangka amat menggalakkan.