
Kidd Santhe Tampil Dengan ‘Aku Level Lain’ Selepas Cipta Fenomena Di IndiaBukan mudah untuk seorang artis Malaysia membawa nama sendiri ke pentas muzik antarabangsa, apatah lagi tanpa mengorbankan identiti dan budaya yang menjadi tunjang perjalanan seninya. Namun, itulah yang berjaya dibuktikan Kidd Santhe, single Naa Vera Level mencipta impak luar biasa sehingga membuka pintu ke pasaran India menerusi kolaborasi bersama artis Chennai, Raavanaa Ram.
Lebih mengagumkan, karya berkenaan bukan sekadar menerima sokongan daripada Sony Music Entertainment India South, lebih mengagumkan berjaya meraih lebih satu juta tontonan di YouTube hanya dalam tempoh empat hari!
Kejayaan itu sekali gus meletakkan namanya dalam kelompok artis Malaysia yang berjaya mendapat sokongan pengedaran antarabangsa sambil membuktikan bahawa muzik tempatan mampu menembusi pasaran global. Bagi Kidd Santhe, kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya membuktikan bahawa karya daripada Malaysia mampu berdiri sebaris di pentas dunia apabila identiti budaya dijadikan kekuatan.
Kini, selepas membuka lembaran baharu di pentas antarabangsa, Kidd Santhe kembali dengan Aku Level Lain, sebuah karya yang mengangkat semula semangat kejayaan itu dalam acuan Malaysia.
Kejayaan Antarabangsa Kidd Santhe Jadi Inspirasi Lahirnya Aku Level Lain

Kemunculan Aku Level Lain hadir selepas kejayaan luar biasa yang diraih menerusi Naa Vera Level, single kedua daripada album yang bakal dilancarkan berjudul Mr. Crorepati. Lagu tersebut diterbitkan di bawah Kidd Next Door Productions dan Sony Music Entertainment Malaysia, selain menerima sokongan pengedaran antarabangsa daripada Sony Music Entertainment India South.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan Kidd Santhe dalam kelompok kecil artis Malaysia yang berjaya mendapat sokongan pengedaran di pasaran antarabangsa, khususnya India Selatan.
Lebih membanggakan, kolaborasi bersama artis Chennai, Raavanaa Ram, menerima sambutan luar jangka apabila meraih lebih satu juta tontonan di YouTube dalam tempoh hanya empat hari selepas dilancarkan. Kejayaan tersebut turut membuka ruang kepada Kidd Santhe untuk menghadiri siri promosi dan sidang media di Chennai, selain menerima liputan meluas daripada media tempatan di India.
Namun bagi Kidd Santhe, kejayaan tersebut bukan destinasi terakhir, sebaliknya menjadi pemangkin untuk menghasilkan karya yang lebih dekat dengan rakyat Malaysia.

“Naa Vera Level membuka banyak peluang yang tidak disangka. Sambutan di India sangat luar biasa, daripada tontonan di YouTube sehingga liputan media dan pertemuan dengan peminat di Chennai.
Pengalaman itu membuat saya sedar muzik boleh merentasi sempadan tanpa kehilangan identiti. Sebab itu saya hasilkan Aku Level Lain untuk meraikan Malaysia, bahasa kita dan budaya kita. Rxf Rhaled pula melengkapkan lagu ini dengan warna Pantai Timur yang sangat asli,” kata Kidd Santhe.
Menurutnya lagi, pengalaman tersebut membuktikan bahawa identiti budaya bukanlah penghalang untuk menembusi pasaran global, malah boleh menjadi nilai tambah yang membezakan seseorang artis daripada yang lain.
Gabungan Hip Hop Pantai Timur Perkukuh Identiti Malaysia Dalam Aku Level Lain

Walaupun diinspirasikan daripada kejayaan Naa Vera Level, Aku Level Lain bukan sekadar terjemahan ke dalam bahasa Melayu. Sebaliknya, lagu ini dibina semula dengan pendekatan yang lebih segar menerusi gabungan elemen budaya Malaysia, bahasa Melayu dan pengaruh hip hop Pantai Timur.
Bagi merealisasikan konsep tersebut, Kidd Santhe bergandingan dengan Rxf Rhaled yang semakin mencuri perhatian dalam arena hip hop tempatan menerusi gaya penyampaian berasaskan dialek Kelantan. Sebagai anggota kolektif hip hop WRGA yang popular di TikTok, kehadiran Rxf Rhaled memberikan karakter yang lebih autentik kepada keseluruhan karya.
Penggunaan dialek Kelantan dalam lagu ini bukan sekadar pelengkap, malah menjadi simbol kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia. Ia membuktikan bahawa dialek tempatan mampu berdiri sebaris dengan bahasa moden dalam menghasilkan karya yang relevan serta berkualiti tinggi.
Lebih menarik, gabungan elemen budaya India Malaysia bersama identiti Pantai Timur menjadikan Aku Level Lain sebagai sebuah karya yang menggambarkan realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan kaya dengan kepelbagaian budaya.
Lagu ini turut membawa mesej mengenai keyakinan diri, keberanian mengejar impian serta kepentingan menghargai asal usul walaupun berjaya melangkah ke pentas antarabangsa. Pendekatan tersebut menjadikan karya ini lebih daripada sekadar hiburan, sebaliknya sebuah simbol kepada semangat generasi muda yang mahu membawa nama negara tanpa melupakan identiti sendiri.
Kelantan Jadi Latar Visual Yang Lengkapkan Penceritaan Aku Level Lain

Semangat Malaysia yang menjadi tunjang utama karya ini turut diterjemahkan melalui video muzik rasminya.
Video muzik Aku Level Lain diarahkan oleh Veshaan Raj dan Kripxen dengan keseluruhan proses penggambaran dijalankan sepenuhnya di Kelantan. Pemilihan negeri itu bukan sekadar menawarkan latar pemandangan yang menarik, malah menjadi sebahagian daripada naratif visual yang ingin diketengahkan.
Keindahan landskap, budaya masyarakat serta karakter unik Pantai Timur dipersembahkan melalui sentuhan visual moden yang selari dengan mesej lagu. Pendekatan ini mengukuhkan lagi identiti tempatan yang dibawa Kidd Santhe dan Rxf Rhaled, sekali gus menjadikan video muzik tersebut sebagai penghormatan terhadap kepelbagaian budaya Malaysia.
Langkah itu juga memperlihatkan bagaimana muzik dan visual boleh saling melengkapi dalam menyampaikan cerita yang lebih menyeluruh kepada penonton, bukan sahaja dari sudut hiburan, malah sebagai medium memperkenalkan budaya tempatan kepada khalayak lebih luas.
Dengan pencapaian yang telah diraih di India dan keberanian menggabungkan pelbagai elemen budaya Malaysia dalam karya terbaharu ini, Kidd Santhe membuktikan bahawa kejayaan antarabangsa tidak semestinya mengubah arah perjuangan seseorang artis. Sebaliknya, ia boleh menjadi platform untuk mengangkat identiti sendiri ke tahap yang lebih tinggi.
Sekadar info Havoxians, Aku Level Lain nyanyian Kidd Santhe bersama Rxf Rhaled akan dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital pada 31 Julai 2026, serentak dengan pelancaran video muzik rasminya.
Selian itu, lagu ini dijangka menjadi satu lagi karya yang menyerlahkan kekuatan hip hop tempatan sambil meraikan kepelbagaian budaya Malaysia dalam sebuah naskhah yang moden dan penuh keyakinan.