
Selepas lapan bulan DOLLA menyepi tanpa sebarang single baharu, ramai tertanya-tanya apakah langkah seterusnya bagi kumpulan ini. Penantian itu akhirnya terjawab! Apabila kumpulan wanita popular tanah air itu kembali dengan G.O.A.T, sebuah karya yang bukan sekadar menandakan kemunculan semula mereka, malah menjadi simbol perubahan paling berani sepanjang perjalanan seni mereka.
Lebih menarik, pertaruhan kali ini bukan hanya melibatkan perubahan muzik dan imej, malah menyaksikan DOLLA bergandingan dengan ikon hip hop Thailand, F.Hero, dalam sebuah kolaborasi rentas negara yang membuka lembaran baharu untuk menembusi pasaran Asia Tenggara.
Malah, lebih menarik lagi apabila mendapat sentuhan penerbit antarabangsa serta mesej yang meraikan keyakinan diri, G.O.A.T hadir sebagai manifestasi evolusi agar tampil lebih matang, lebih berani dan semakin bersedia membawa nama Malaysia ke pentas berskala lebih besar.
DOLLA Pertaruh Produksi Antarabangsa! Kolaborasi Bersama F.Hero

Diterbitkan oleh penerbit dan penulis lagu dari Norway, Audun Agnar Guldbrandsen yang sebelum ini terkenal menerusi karya untuk kumpulan K Pop IVE seperti I AM dan Kitsch, G.O.A.T menggabungkan elemen pop moden dengan sentuhan rap yang penuh karakter.
Lagu ini turut ditulis bersama Erika Dahlen, Amanda Liedberg, Stian Nyhammer Olsen serta F.Hero sendiri, sekali gus menghasilkan sebuah karya yang mengetengahkan mesej keyakinan diri, keberanian menjadi diri sendiri serta kekuatan menghadapi setiap cabaran tanpa membiarkan keraguan menguasai kehidupan.
Pemilihan F.Hero sebagai rakan kolaborasi yang merupakan antara nama paling berpengaruh dalam industri hip hop Thailand bukanlah secara rawak, kehadirannya membuka ruang untuk memperluaskan pengaruh mereka dalam salah satu pasaran muzik paling rancak di Asia Tenggara.
Gabungan vokal feminin DOLLA dengan penyampaian rap bertenaga daripada F.Hero memberikan dimensi baharu kepada lagu ini, sekali gus membentuk identiti muzik yang lebih segar dan berani berbanding karya-karya mereka sebelum ini.
“Bekerjasama dengan F.Hero memang satu pengalaman yang sangat menarik kerana gaya muziknya sangat berani dan penuh karakter, dan itu selari dengan arah baharu yang kami ingin tampilkan menerusi G.O.A.T. Kami juga rasa F.Hero benar benar membawa semangat lagu ini.
Sebagai kumpulan wanita, vokal kami lebih feminin, manakala dia pula membawa tenaga yang lebih garang dan kuat. Kontras itu menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberi satu dimensi baharu,” kongsi DOLLA.
Transformasi Imej DOLLA Jadi Taruhan Era Paling Berani

Selain mempertaruhkan bunyi muzik yang lebih matang, G.O.A.T turut menampilkan perubahan visual paling drastik sepanjang perjalanan seni kumpulan ini.
Meninggalkan imej glamor yang sinonim dengan mereka sebelum ini, DOLLA kini tampil dengan konsep yang lebih edgy, berkarakter dan penuh keberanian.
Setiap elemen daripada penggayaan fesyen sehingga visual sinematik disusun bagi menggambarkan keyakinan yang lahir daripada diri sendiri, bukan daripada pengiktirafan orang lain.
Transformasi ini turut mencerminkan kematangan mereka sebagai artis yang semakin berani meneroka identiti sendiri tanpa terikat dengan jangkaan masyarakat.

Menurutnya, era baharu ini lahir daripada pengalaman yang membentuk mereka sepanjang beberapa tahun berada dalam industri hiburan.
“G.O.A.T adalah tentang keyakinan yang diperoleh hasil daripada segala usaha dan cabaran yang telah dilalui. Ia bukan sekadar tentang menjadi yang terbaik, tetapi tentang menghargai perjalanan yang membentuk siapa diri kami hari ini.
Era ini benar-benar mencerminkan siapa kami sekarang, bukan sahaja sebagai individu tetapi juga sebagai sebuah kumpulan.
Kami ingin menampilkan sisi yang lebih matang, lebih berani dan lebih yakin dengan identiti sendiri. Kami mahu orang melihat bahawa kami tidak takut mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa bersedia untuk melangkah lebih jauh,” jelas mereka.
Pendekatan tersebut sekali gus membuktikan bahawa mereka tidak sekadar mahu mengikut arus muzik semasa, sebaliknya terus mencabar diri dengan eksplorasi bunyi, konsep dan identiti yang lebih berani.
G.O.A.T Jadi Permulaan Misi DOLLA Ke Pentas Serantau

Lebih daripada sebuah kolaborasi rentas negara, G.O.A.T turut mencerminkan hubungan kreatif yang semakin berkembang antara Malaysia dan Thailand dalam industri muzik Asia Tenggara.
Penghasilan lagu ini memperlihatkan bagaimana kolaborasi serantau mampu membuka peluang kepada artis tempatan untuk memperkenalkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas, sekali gus memperkukuhkan kedudukan muzik Malaysia di pentas antarabangsa.
Bagi DOLLA, single ini hanyalah permulaan kepada sebuah era yang akan terus berkembang dengan pelbagai projek serta persembahan baharu.
“Ini memang era yang kami teruja untuk teruskan. Peminat boleh menjangkakan lebih banyak persembahan, konsep konsep menarik dan tentunya lebih banyak muzik baharu daripada kami.
Kami juga tidak sabar untuk menjayakan persembahan di Paris Oktober ini yang merupakan satu pencapaian besar buat kami.
Konsep ini benar-benar menggambarkan siapa kami hari ini, jadi peminat akan terus melihat sisi DOLLA yang lebih berani, lebih yakin dan lebih matang pada masa akan datang,” ujar mereka.
Malah, dengan gabungan produksi bertaraf antarabangsa, kolaborasi bersama F.Hero serta transformasi identiti yang lebih berani, G.O.A.T menjadi bukti bahawa DOLLA terus berkembang sebagai antara kumpulan wanita paling berpengaruh di Malaysia yang berani mencipta haluan sendiri.
Single G.O.A.T kini boleh distrim Havoxians, menerusi semua platform penstriman digital utama, sekali gus menandakan bermulanya era baharu yang dijangka membuka lebih banyak peluang di pentas serantau dan antarabangsa.