
Ada satu perkara tentang muzik Malaysia dan Indonesia yang sampai sekarang susah untuk dipisahkan.
Satu lagu dimainkan, ribuan suara terus menyambut. Satu nama disebut, satu stadium boleh berubah menjadi lautan nyanyian. Dan pada 15 Ogos lalu, perkara itu berlaku sekali lagi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Selama 12 jam, Latihan Pestapora Malaysia 2026 bukan sekadar menjadi tempat 19 artis naik turun pentas. Ia menjadi titik pertemuan dua negara yang berkongsi bahasa, budaya dan paling penting, lagu yang sama sama mereka hafal.
Lebih menarik, malam itu menyaksikan satu penampilan yang sudah lama ditunggu peminat Malaysia apabila Last Child akhirnya membuat kemunculan sulung mereka di negara ini. Namun, kemunculan kumpulan tersebut bukan satu satunya perkara yang membuat edisi kedua Pestapora ini mencuri perhatian.
Tiga kolaborasi yang menemukan nama daripada generasi dan genre berbeza turut menjadikan pentas Pestapora sebagai ruang eksperimen muzik yang tidak biasa.
Jadi, apa sebenarnya yang membuatkan festival ini terasa lebih besar daripada sekadar sebuah konsert?
Last Child Buat Penampilan Sulung Di Malaysia

Antara nama yang paling dinantikan pada Latihan Pestapora Malaysia 2026 tentunya Last Child yang akhirnya membuat kemunculan sulung mereka di Malaysia.
Kumpulan pop punk alternatif dari Indonesia itu menerima sambutan hangat daripada peminat yang memenuhi ruang festival, khususnya ketika mereka membawakan beberapa karya yang sudah cukup sinonim dengan pendengar Malaysia.
Lagu seperti “Duka”, “Seluruh Nafas Ini” dan “Sekuat Hatimu” menjadi antara karya yang menghidupkan suasana apabila penonton turut menyanyikan bahagian lagu bersama kumpulan berkenaan.
Momen tersebut bukan sekadar membuktikan populariti Last Child di Malaysia, malah memperlihatkan satu perkara yang lebih besar mengenai hubungan muzik kedua dua negara.
Ada lagu yang tidak memerlukan pengenalan panjang. Sebaik sahaja melodi dimainkan, penonton sudah tahu apa yang perlu dinyanyikan dan inilah kekuatan muzik serantau.
Namun, dalam konteks Latihan Pestapora Malaysia, kemunculan Last Child menjadi simbol kepada bagaimana karya dari Indonesia telah lama mempunyai tempat tersendiri dalam kehidupan pendengar Malaysia.
Pada masa yang sama, festival ini turut membuka ruang kepada artis Malaysia untuk diperkenalkan dengan lebih dekat kepada komuniti muzik Indonesia.
Selain Last Child, barisan artis pada edisi kali ini turut menampilkan Tulus, Tipe X, Ruffedge, Romantic Echoes, Mahalini, Lah Ahmad, Juicy Luicy, Insomniacks, FUGŌ, Disko Santan & Friends dan Bernadya.
Gabungan tersebut menjadikan perjalanan festival cukup pelbagai kerana penonton tidak terikat kepada satu genre atau satu generasi sahaja.
Malah, daripada muzik nostalgia kepada bunyi yang lebih moden, setiap persembahan membawa kelompok peminat tersendiri dan memberikan warna berbeza sepanjang 12 jam acara berlangsung.
Tiga Kolaborasi Khas Latihan Pestapora Malaysia 2026 Tarikan Utama

Jika kemunculan Last Child menjadi antara detik yang paling dinantikan, tiga kolaborasi khas pula memberikan identiti tersendiri kepada Latihan Pestapora Malaysia 2026.
Festival ini mempertemukan Rhoma Irama Soneta bersama Maliq & D’Essentials, Nadhif Basalamah bersama Aziz Harun dan Aisha Retno, serta Masdo bersama Gerhana Skacinta.
Pertemuan tersebut bukan sekadar menghimpunkan nama besar dalam satu barisan persembahan. Ia memperlihatkan bagaimana perbezaan generasi dan genre boleh diterjemahkan menjadi sebuah pengalaman muzik yang baharu.
Daripada legenda muzik kepada kumpulan yang mewakili generasi semasa, setiap kolaborasi membawa sejarah dan identiti masing masing. Apabila semuanya bertemu di atas satu pentas, hasilnya menjadi sesuatu yang lebih sukar diramal berbanding persembahan solo.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, melihat perkembangan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha membina pengalaman festival yang mampu berkembang bersama artis serta peminat.
“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan kepada Latihan Pestapora Malaysia. Apa yang paling penting bagi kami adalah melihat bagaimana muzik mampu membawa peminat dari Malaysia dan Indonesia bersama sama dalam satu pengalaman yang sama,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama bersama Boss Creator turut membuka lebih banyak ruang untuk meneroka idea, kolaborasi dan peluang baharu kepada artis dari kedua dua negara.
Pandangan itu selari dengan pendekatan Latihan Pestapora Malaysia yang tidak meletakkan festival semata mata sebagai acara untuk menonton persembahan.
Tetapi, ia membina pengalaman yang membuatkan peminat mahu berada di lokasi lebih lama, bertemu komuniti yang mempunyai minat sama dan menikmati pelbagai elemen yang ditawarkan sepanjang acara.
Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D, turut menjelaskan bahawa pengalaman peminat menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam penganjuran edisi kedua.
“Kami mengambil serius setiap maklum balas yang diberikan selepas edisi pertama terdahulu dan cuba menerapkannya dalam perancangan tahun ini. Bagi kami, festival bukan hanya mengenai siapa yang berada di atas pentas, tetapi keseluruhan perjalanan peminat sejak mereka tiba sehingga persembahan terakhir tamat,” ujarnya.
Latihan Pestapora Malaysia Perkukuh Hubungan Industri Muzik Malaysia-Indonesia

Di sebalik persembahan dan kemeriahan festival, Latihan Pestapora Malaysia 2026 membawa satu mesej yang lebih besar, iaitu potensi hubungan muzik antara Malaysia dan Indonesia yang masih luas untuk diterokai.
Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup, berkata sambutan yang diterima menunjukkan hubungan antara komuniti muzik kedua dua negara masih kukuh.
“Kami sentiasa senang dapat kembali ke Malaysia dan melihat bagaimana peminat di sini menerima artis artis Indonesia dengan begitu baik. Pada masa yang sama, Latihan Pestapora juga membuka peluang untuk kami membawa artis Malaysia lebih dekat kepada komuniti muzik Indonesia,” jelasnya.

Menurut beliau, kolaborasi merupakan antara perkara yang boleh terus dikembangkan kerana pertemuan antara artis daripada latar berbeza mampu menghasilkan sesuatu yang baharu.
Harapan tersebut menjadikan Latihan Pestapora lebih menarik untuk diperhatikan pada masa akan datang. Jika edisi kedua sudah memperlihatkan pertemuan nama besar, generasi baharu dan pelbagai genre, ruang untuk eksperimen pada edisi seterusnya tentunya masih terbuka luas.
Pengalaman pengunjung juga tidak terhad kepada pentas utama. Lebih 20 vendor makanan dan minuman disediakan sepanjang festival, selain ruang bergambar interaktif serta zon Music is Universal di Universal Music Corner yang menawarkan pelbagai aktiviti bersama peminat.
Elemen sebegini penting kerana festival muzik hari ini bukan lagi sekadar mengenai siapa yang menyanyi di atas pentas. Peminat mahukan pengalaman yang boleh dinikmati sepanjang berada di lokasi, sama ada bersama rakan, komuniti atau pencinta muzik yang berkongsi minat sama.
Latihan Pestapora Malaysia 2026 akhirnya meninggalkan satu gambaran yang jelas. Muzik Malaysia dan Indonesia bukan sekadar boleh hidup dalam ruang yang sama, malah mampu saling menguatkan apabila artis, peminat dan industri diberi peluang untuk bertemu.
Sehubungan itu, untuk pengetahuan Havoxians dengan barisan 19 artis, tiga kolaborasi istimewa dan kemunculan sulung Last Child di Malaysia, edisi kedua festival ini berjaya menunjukkan bahawa hubungan muzik serantau masih mempunyai banyak cerita untuk diterokai.