
Jika dahulu mungkin ada yang melihat pekerjaan sebagai live streamer sekadar duduk di hadapan telefon, berbual dengan penonton dan mengumpul hadiah digital dari rumah.
Namun, landskap itu semakin berubah apabila industri live streaming kini berkembang menjadi sebuah ekosistem yang menuntut kemahiran komunikasi, disiplin, kandungan berkualiti dan produksi yang semakin profesional.
Mahu membawa perubahan itu selangkah lebih jauh, KamiSempoi International Agency (KSIA) bersedia melahirkan generasi baharu profesional live streamer menerusi penubuhan KamiSempoi Premier Academy, yang bakal dilancarkan bersempena KamiSempoi Golden Award 2025 pada 28 Ogos 2026.
Lebih menarik, akademi berkenaan bukan sekadar menawarkan kelas asas untuk mereka yang mahu mencuba nasib dalam dunia LIVE. Sebaliknya, peserta bakal melalui program pembangunan selama setahun dengan prestasi sebenar dijadikan ukuran, termasuk sasaran pencapaian satu juta diamond.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KSIA yang juga hos TikTok LIVE, Pakcik Chin Swee, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengubah persepsi terhadap live streaming dan membentuk bakat yang akhirnya menjadi sebuah kerjaya.
“Ramai orang mahu jadi live streamer tetapi tidak ada direction. Kita mahu ubah mindset bahawa sebab kerja dari rumah, kita tidak perlu ada disiplin. Kalau mahu jadikan ini pekerjaan tetap, kita kena bekerja dan belajar.
“Kena ada drive, kena ada fighting spirit dan kena ada performance. Sebab itu kami wujudkan akademi ini,” katanya.
KamiSempoi Premier Academy Sasar Lahirkan Live Streamer Profesional, Satu Juta Diamond Jadi Penanda Aras

Beroperasi di pejabat KamiSempoi di Quill City Mall, Kuala Lumpur, KamiSempoi Premier Academy bakal menjadi pusat latihan dan pembangunan untuk individu yang serius mahu mendalami bidang live streaming secara profesional.
Peserta akan mengikuti kurikulum khusus merangkumi latihan teknikal, pembangunan kandungan, keterampilan diri, penampilan, persembahan, komunikasi, penyediaan ruang LIVE, interaksi bersama penonton serta pembangunan prestasi.
KSIA turut menetapkan tempoh pembangunan selama setahun dengan pencapaian satu juta diamond sebagai salah satu penanda aras untuk menamatkan program berkenaan.
Bagaimanapun, peserta berprestasi tinggi berpeluang mencapai sasaran tersebut lebih awal, dengan tempoh sekitar enam bulan dilihat sebagai antara perkembangan terpantas yang boleh dicapai.
“Kami ada kurikulum. Mereka perlu belajar dan bekerja pada masa yang sama. Kalau ada yang boleh berkembang dalam enam bulan dan capai sasaran, itu sangat bagus.
Tetapi program ini secara keseluruhannya adalah untuk tempoh satu tahun. Kalau mereka tidak mencapai sasaran, mereka perlu melalui penilaian dan latihan seterusnya. Kami mahu mereka benar-benar layak dan bersedia sebelum graduate,” jelasnya.
Menariknya, peluang menyertai akademi berkenaan tidak terhad kepada individu yang sudah mempunyai pengalaman dalam industri hiburan.

Calon akan melalui proses temuduga dan saringan dengan kebolehan berkomunikasi, kesungguhan serta potensi menjadi antara aspek utama yang dinilai.
“Kami tidak kisah mereka datang daripada background apa. Penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah atau orang biasa sekalipun. Apa yang penting mereka mahu belajar, mahu bekerja dan serius untuk jadikan live streaming sebagai kerjaya.
“Kalau dia pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan boleh menghiburkan orang, itu yang kami cari,” katanya.
Justeru, dalam usaha mengurangkan halangan kos untuk bakat baharu, KSIA turut merancang menyediakan studio profesional secara sewaan kepada live streamer yang belum mempunyai modal untuk membina ruang produksi sendiri.
Kemudahan tersebut akan dilengkapi keperluan asas termasuk komputer berprestasi tinggi, dua kamera dan sistem audio bagi membolehkan mereka menghasilkan LIVE dengan kualiti lebih baik.
Langkah itu secara tidak langsung meletakkan KSIA sebagai pusat sehenti yang menggabungkan latihan, pembangunan bakat dan kemudahan produksi dalam satu ekosistem.
KamiSempoi Golden Award 2025 Tampilkan 20 Kategori, Raikan Lebih 6,000 Hos LIVE Serantau

Pelancaran akademi berkenaan bakal menjadi antara tumpuan utama KamiSempoi Golden Award 2025, yang kembali untuk tahun keempat bagi meraikan pencapaian pencipta kandungan digital, hos TikTok LIVE, sub agensi, pengurus bakat dan penyumbang dalam ekosistem KSIA.
Acara kemuncak itu akan berlangsung pada 28 Ogos 2026 di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Mines Wellness City, Seri Kembangan dengan M Route 19 sebagai penaja utama dan MK Media Studios sebagai penaja bersama.
Sebanyak 20 kategori pengiktirafan disediakan pada edisi kali ini, daripada jumlah tersebut, 13 kategori dikhususkan kepada hos LIVE, tiga kategori untuk Sub Agency dan Talent Manager, satu kategori Gifter serta tiga pengiktirafan utama mengikut pasaran menerusi Top Host Malaysia, Top Host Singapore dan Top Host Indonesia.
Pengenalan kategori mengikut negara juga selari dengan perkembangan komuniti KSIA yang kini merangkumi kira-kira 4,300 hos LIVE di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura.
Menurut Pakcik Chin Swee, anugerah tersebut tidak diwujudkan semata-mata untuk meraikan individu yang berada di hadapan kamera, sebaliknya mengiktiraf keseluruhan ekosistem yang membantu membangunkan komuniti berkenaan.
“KamiSempoi Golden Award kita adakan untuk menghargai semua pihak dalam platform kami. Bukan sahaja live host, tetapi juga sub agency, gifter dan rakan penaja yang memainkan peranan masing masing.
“Kami mahu mereka tahu bahawa kerja keras dan pencapaian mereka dihargai. Pada masa sama, anugerah ini juga menjadi motivasi kepada lebih ramai live host untuk meningkatkan prestasi mereka,” katanya.
Pemilihan penerima pengiktirafan pada tahun ini turut dibuat berdasarkan prestasi dengan pencapaian diamond dan prestasi LIVE menjadi antara ukuran utama.
“Tahun ini kita betul betul pilih host yang akan menyertai acara ini. Kita mahu mereka yang berada di pentas itu mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan.
“Antara perkara yang kita lihat ialah diamond achievement dan live achievement. Jadi ia bukan semata mata kerana seseorang itu popular, tetapi kerana mereka benar benar menunjukkan prestasi dan usaha,” jelasnya.
Rangkaian Rakan Niaga KSIA di Malaysia, Singapura dan Indonesia pula secara keseluruhan telah menghasilkan lebih 150 juta diamond. Antara kisah perkembangan yang diketengahkan ialah BossKlan, penerima Sub Agency of the Year 2024 yang turut menjadi Rakan Kongsi pertama KSIA membuka pejabat sendiri di Singapura.
Pencapaian ini menunjukkan peluang dalam industri live streaming tidak semestinya berhenti pada kerjaya sebagai hos. Laluan sebagai Sub Agency dan Rakan Niaga turut membuka ruang untuk individu membina pasukan, mengurus bakat serta mengembangkan operasi sendiri.
Mahu Kejar Standard Douyin, KSIA Lihat Live Streaming Sebagai Industri Masa Depan

Di sebalik kemeriahan malam anugerah, KSIA mempunyai sasaran lebih besar iaitu meningkatkan standard live streaming Malaysia supaya mampu bergerak seiring dengan perkembangan industri di peringkat antarabangsa.
China menerusi platform Douyin menjadi antara penanda aras yang diperhatikan KSIA apabila kandungan LIVE di negara itu sudah berkembang dengan skala produksi yang menyerupai rancangan televisyen dan persembahan besar.
“Kalau kita lihat Douyin di China, mereka sudah jauh ke hadapan. Saya boleh katakan mereka mungkin sudah 10 hingga 12 tahun lebih advance daripada kita.
“Di sana, orang buat LIVE sudah macam sebuah rancangan televisyen. Malah ada live yang mempunyai produksi sangat besar, termasuk konsert dan pelbagai bentuk persembahan.
“Kita di Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan. Kalau kita mahu bersaing, kita perlu mula bergerak ke arah live streaming yang lebih profesional,” katanya.
Bagi mencapai standard tersebut, KSIA melihat kualiti seorang live streamer secara menyeluruh dan bukan hanya berdasarkan kebolehan bercakap di hadapan kamera.
Aspek teknikal termasuk kamera, komputer, sistem audio dan pencahayaan perlu bergerak seiring dengan penampilan, komunikasi, kandungan serta kemampuan seseorang hos menghiburkan dan mengekalkan perhatian penonton.
“Kualiti bukan hanya pada cara mereka bercakap. Kita tengok keseluruhan live itu. Bagaimana setup mereka, bagaimana kamera mereka, bagaimana mereka tampil, bagaimana mereka communicate dan bagaimana mereka menghiburkan penonton.
“Kalau pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan pandai menghiburkan orang, itu asas yang sangat bagus, tetapi kita mahu membentuk mereka menjadi lebih profesional,” katanya.
Sekadar info Havoxians, komuniti KSIA yang kini merangkumi sekitar 6,000 hos LIVE di tiga negara, penganjuran KamiSempoi Golden Award 2025 kali ini bukan sahaja menjadi pentas meraikan mereka yang telah mencipta pencapaian.
Malah, turut memberi gambaran tentang perubahan lebih besar yang sedang berlaku dalam ekonomi pencipta digital apabila live streaming semakin berkembang daripada medium hiburan kepada satu laluan kerjaya yang mempunyai struktur, sasaran prestasi dan standard produksinya sendiri.
Jika KamiSempoi Golden Award menjadi pentas untuk melihat sejauh mana komuniti ini sudah berkembang, KamiSempoi Premier Academy pula menjadi pertaruhan KSIA untuk menentukan sejauh mana generasi seterusnya mampu pergi.