
Bayangkan orang yang paling kau percaya sebenarnya mempunyai kaitan dengan tragedi yang menghancurkan keluarga sendiri.
Itulah mimpi buruk yang terpaksa dihadapi Kaer dalam Cela (Broken) seseorang yang pada awalnya menjadi tempat dia mencari ketenangan selepas kehilangan bapanya, akhirnya membawa kepada satu penemuan yang jauh lebih menyakitkan.
Lebih membingungkan, orang itu ialah Datuk Anees, wanita yang semakin rapat dengannya ketika keluarganya sedang bergelut dengan kesedihan. Dari sebuah hubungan yang bermula dengan rasa percaya, semuanya perlahan lahan berubah menjadi permainan emosi yang penuh rahsia, pengkhianatan dan dendam.
Semakin Kaer cuba memahami apa yang sebenarnya berlaku, semakin banyak persoalan muncul dan semakin sukar untuk membezakan antara kasih sayang dengan manipulasi. Jadi, apa sebenarnya yang disembunyikan Anees?
Apabila kebenaran tentang tragedi keluarganya mula terbongkar, mampukah Kaer memilih antara memaafkan atau membalas segala yang telah dirampas daripadanya?
Nabila Huda Dan Hun Haqeem Terjebak ‘Cinta Gelap’ Penuh CELA!

Lebih menarik, siri 12 episod ini mempertemukan buat julung kalinya dua nama besar industri hiburan tempatan, Nabila Huda dan Hun Haqeem, dalam sebuah naratif yang menjanjikan permainan emosi serta rahsia yang sukar dijangka.
Naskah hebat ini diarahkan oleh Feroz Kader dan diterbitkan oleh Global Film Station Sdn. Bhd., Cela tidak sekadar bergantung kepada elemen romantik untuk menggerakkan cerita.
Sebaliknya, siri ini menggunakan kesedihan dan trauma sebagai pintu masuk kepada persoalan lebih besar tentang sejauh mana seseorang sanggup pergi apabila hidupnya diuji dengan kehilangan.
Menurut Ketua Bahagian Produksi Viu Malaysia, Imillya Irwani Roslan, siri tersebut hadir dengan hasrat untuk meneroka batas baharu kandungan penstriman tempatan menerusi naratif yang lebih berani dan kompleks.
“Menerusi Cela, kami ingin meneroka sempadan baharu kandungan penstriman tempatan dengan mengetengahkan sebuah naratif berani yang menyelami kompleksiti psikologi di sebalik kesedihan dan dendam,” katanya.
Pendekatan itu menjadikan Cela lebih daripada sekadar sebuah drama yang bergantung kepada kejutan plot. Sebaliknya, konflik psikologi menjadi salah satu elemen penting dalam membentuk perjalanan setiap watak.
Gandingan Sulung Nabila Huda, Hun Haqeem Menerusi CELA

Tarikan lain yang membuatkan Cela wajar diberi perhatian ialah gandingan Nabila Huda dan Hun Haqeem yang pertama kali dipertemukan dalam satu karya.
Nabila Huda bukan nama asing dalam dunia lakonan tempatan. Pengalaman luasnya termasuk menerusi karya seperti Alter-Naratif, selain reputasinya sebagai antara pelakon yang mampu membawa watak dengan intensiti emosi yang kuat.
Hun Haqeem pula terus mencuri perhatian menerusi beberapa karya popular termasuk Nenek Bongkok Tiga, W: Two Worlds Malaysia dan From Saga With Love.
Pertemuan kedua-dua pelakon ini dalam Cela memberikan satu dimensi baharu kepada siri berkenaan, terutama apabila cerita dibina berasaskan konflik emosi dan rahsia yang semakin lama semakin terbongkar.
Turut menyertai barisan pelakon ialah Zarif Ghazzi yang sebelum ini muncul menerusi Satu, Dua.. Dia? dan Abang Imam Minah Skuter. Barisan pelakon lain pula terdiri daripada Ellyza Azizi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Lisdawati dan Zain Saidin.
Menariknya, Cela turut menandakan pengalaman baharu buat beberapa individu di belakang dan di hadapan kamera.
Bagi Feroz Kader, siri ini menjadi karya pertama beliau dalam genre cinta gelap, manakala genre berkenaan turut menjadi pengalaman baharu buat Nabila Huda, Hun Haqeem dan Zarif Ghazzi.
Gabungan nama-nama ini memberikan Cela satu kelebihan tersendiri kerana siri tersebut bukan sahaja membawa premis yang lebih gelap, tetapi turut menawarkan barisan pelakon yang mempunyai pengalaman dalam membawakan watak dengan lapisan emosi yang berbeza.
Lagu Sejambak Bunga Ernie Zakri Kunci Emosi Penonton

Jika jalan cerita menjadi tulang belakang Cela, muzik pula dijangka menjadi antara elemen yang menguatkan emosi penonton.
Siri ini menampilkan Sejambak Bunga sebagai lagu tema rasmi yang dipersembahkan oleh penyanyi pemenang anugerah, Ernie Zakri.
Pemilihan Ernie Zakri dilihat bersesuaian dengan identiti cerita yang sarat dengan emosi, kehilangan dan konflik dalaman. Lagu tema bukan sekadar berfungsi sebagai pelengkap kepada visual, tetapi berpotensi menjadi suara kepada perasaan watak yang tidak mampu diluahkan menerusi dialog.
Cela juga hadir pada ketika kandungan tempatan semakin berani bereksperimen dengan genre dan bentuk penceritaan yang lebih kompleks. Gabungan suspen psikologi, drama kekeluargaan dan cinta gelap memberikan siri ini ruang untuk bergerak dalam beberapa lapisan cerita pada masa yang sama.
Apa yang paling menarik, penonton mungkin tidak hanya menunggu untuk mengetahui siapa sebenarnya yang bersalah. Sebaliknya, persoalan yang lebih besar ialah sejauh mana seseorang mampu memaafkan apabila kebenaran yang selama ini disembunyikan akhirnya terbongkar.
Cela menawarkan plot twist yang dijanjikan sukar dijangka, malah berpotensi menjadi antara siri tempatan yang mengajak penonton membuat teori sendiri dari satu episod ke satu episod.
Khusus buat peminat Nabila Huda dan Hun Haqeem, gandingan sulung kedua dua pelakon ini sememangnya menjadi salah satu sebab utama untuk memberi peluang kepada siri berkenaan. Namun, bagi penonton yang gemarkan cerita penuh misteri, rahsia keluarga dan konflik psikologi, persoalan sebenar mungkin lebih mudah.
Siapa yang sebenarnya sedang menyembunyikan kebenaran? Apabila kebenaran itu akhirnya terbongkar, adakah dendam mampu memberikan kelegaan?
Cela (Broken) merupakan Viu Original Malaysia sebanyak 12 episod yang mula distrim Havoxians secara eksklusif di Viu mulai 20 Ogos lalu, dengan episod baharu disiarkan setiap Khamis dan Jumaat.