
Belum sempat kempen besar-besaran dilancarkan di Malaysia, karya terbaharu Mila Jirin sudah terlebih dahulu mencuri perhatian di seberang tambak. “Cukup Sudah Cukup”, lagu kedua daripada album baharu penyanyi itu yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini, mula mendapat putaran di beberapa stesen radio utama Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM.
Perkembangan tersebut hadir ketika Mila masih berada pada peringkat awal memperkenalkan semula dirinya dalam industri muzik, sekali gus menjadikan penerimaan awal daripada pasaran Indonesia itu cukup signifikan buat perjalanan baharunya.
Lebih menarik, lagu berkenaan tidak hadir menerusi sebuah kempen promosi besar atau acara pelancaran khas di Malaysia, sebaliknya diedarkan secara berperingkat untuk pasaran Malaysia dan Indonesia sebagai sebahagian daripada strategi memperkenalkan karya daripada album baharunya kepada pendengar di rantau ini.
Bagi Mila, peluang untuk lagunya dimainkan di stesen radio Indonesia bukan sekadar satu pencapaian promosi, tetapi menjadi langkah pertama untuk memperkenalkan identiti muziknya kepada pendengar yang mungkin belum pernah mengenali namanya.
Selepas kembali aktif dalam dunia rakaman, Mila kini memilih untuk membina semula perjalanan seninya secara perlahan dan lebih terarah, dengan membiarkan karya serta vokalnya menjadi pengenalan utama kepada dirinya.
“Saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan ‘Cukup Sudah Cukup’ sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio di Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM.
Saya sedar perjalanan saya di Indonesia masih terlalu awal. Ramai mungkin belum mengenali siapa Mila Jirin, jadi apabila lagu dan suara saya terlebih dahulu diberikan ruang untuk didengarkan di sana, bagi saya itu satu permulaan yang sangat bermakna,” katanya.
Kolaborasi Mila Jirin Dengan Komposer Indonesia Buka Laluan Ke Pasaran Serantau

Di sebalik penerimaan awal “Cukup Sudah Cukup” di Indonesia, lagu tersebut turut memperlihatkan usaha Mila untuk membina jaringan kreatif merentasi sempadan. Karya berkenaan merupakan hasil kolaborasi bersama komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala liriknya dihasilkan oleh Aisah Rizky.
Menariknya, keseluruhan proses produksi audio lagu tersebut turut dilakukan di Jakarta, merangkumi susunan muzik, rakaman vokal, pengarahan vokal, mixing dan mastering.
Kerjasama itu memberikan ruang kepada Mila untuk meneroka pendekatan muzik yang berbeza sambil membina hubungan dengan tenaga kreatif dari Indonesia. Ia juga menjadi sebahagian daripada usaha penyanyi berkenaan untuk menghasilkan sebuah album yang tidak hanya berlegar dalam lingkungan muzik tempatan, sebaliknya mempunyai sentuhan dan jaringan kreatif yang lebih luas.
Menurut Mila, kerjasama bersama Ilham bermula daripada muzik dan keserasian dalam memahami emosi sesebuah karya. Pendekatan tersebut membuatkan beliau melihat potensi untuk meneruskan lebih banyak kolaborasi bersama penggiat muzik Indonesia pada masa akan datang.
“Kerjasama dengan Ilham Baso bermula daripada muzik. Saya sukakan cara beliau memahami emosi sesebuah lagu dan bagaimana sesuatu melodi boleh dibawa supaya lebih dekat dengan pendengar.
Daripada situ, saya melihat ada ruang untuk saya meneroka lebih banyak kolaborasi di Indonesia. Fokus saya bukan untuk datang dengan cerita siapa saya di Malaysia, tetapi saya mahu pendengar di sana mengenali saya melalui lagu dan nyanyian terlebih dahulu,” jelasnya.
Pendekatan Mila itu memperlihatkan bahawa kemasukannya ke pasaran Indonesia bukan sekadar mahu mengejar pengiktirafan dalam tempoh singkat. Sebaliknya, penyanyi itu mahu membina pengenalan secara berperingkat dengan menjadikan muzik sebagai jambatan utama antara dirinya dan pendengar baharu.
Langkah tersebut turut dilengkapkan dengan penghasilan muzik video “Cukup Sudah Cukup” yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Jakarta pada pertengahan Ogos lalu.
Muzik video berkenaan dihasilkan oleh Bizmedia Marketing bersama pasukan produksi Indonesia dan diarahkan oleh Wahyu Taufani Prialangga, sekali gus meneruskan kesinambungan kerjasama kreatif antara pasukan Malaysia dan Indonesia.
Mila Jirin Bakal Jelajah Radio Jakarta Dan Bandung Oktober Ini

Mila bagaimanapun tidak mahu momentum yang mula terbentuk di Indonesia berhenti sekadar pada putaran radio dan pengedaran digital.
Selepas lagu tersebut mula mendapat ruang di beberapa stesen radio utama, beliau dijadualkan memulakan siri pertama jelajah radio di Jakarta dan Bandung pada Oktober ini sebagai usaha memperkenalkan dirinya secara lebih dekat kepada stesen radio serta pengamal media di negara berkenaan.
Kunjungan tersebut dijangka menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha Mila membina hubungan dengan pemain industri Indonesia.
Selain berkongsi mengenai “Cukup Sudah Cukup”, penyanyi itu juga akan membawa cerita mengenai perjalanan muzik terbaharunya serta fasa baharu yang sedang dibina menerusi album yang bakal dilancarkan penghujung tahun ini.
Bagi Mila, pertemuan secara langsung dengan radio dan media penting kerana pengenalan kepada pasaran baharu tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada pengedaran lagu secara digital.

Beliau mahu membina hubungan tersebut secara konsisten dan memberi ruang kepada pendengar Indonesia untuk mengenali dirinya melalui muzik sebelum perkara lain.
“Saya mahu pergi sendiri dan bertemu dengan radio serta media di sana. Saya mahu memperkenalkan muzik saya secara perlahan lahan dan membina hubungan dengan mereka. Saya tidak meletakkan sasaran untuk terus dikenali dalam masa yang singkat.
Saya mahu bina perjalanan ini dengan betul. Kalau pendengar Indonesia mula mengenali Mila Jirin melalui lagu dan suara terlebih dahulu, itu sudah menjadi satu permulaan yang sangat baik untuk saya,” katanya.
Usaha meneroka pasaran Indonesia juga tidak bermaksud Mila mengetepikan Malaysia yang kekal menjadi asas kepada perjalanan seninya.
Malah, kemunculan semula beliau dalam industri rakaman tempatan terlebih dahulu dimulakan menerusi “Tersimpan Dalam Hati”, single pertama daripada projek album baharu tersebut yang berjaya menembusi Top 30 carta ERA 40.
Kini, “Cukup Sudah Cukup” pula membawa perjalanan itu ke tahap seterusnya apabila strategi pengedarannya turut memberi tumpuan kepada pendengar Indonesia. Ia secara tidak langsung memperlihatkan usaha Mila untuk membina perjalanan muzik yang mempunyai capaian lebih luas di rantau Nusantara, terutama menerusi kerjasama bersama komposer, penulis lirik dan pasukan produksi dari Indonesia.
“Malaysia akan sentiasa menjadi rumah saya dan tempat perjalanan seni saya bermula. Tetapi saya percaya muzik kita mempunyai ruang yang lebih luas untuk bergerak di rantau ini. Album ini sangat penting kepada saya kerana ia menandakan satu fasa baharu selepas sekian lama.
Saya mahu setiap lagu mempunyai perjalanan dan ceritanya sendiri. Kalau ‘Cukup Sudah Cukup’ menjadi antara lagu yang membuka pintu perjalanan saya di Indonesia, saya sangat bersyukur,” katanya.
Sekadar recap Havoxians, “Cukup Sudah Cukup” merupakan lagu kedua daripada album baharu Mila Jirin yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini dan menjadi kesinambungan kepada fasa baharu perjalanan muziknya.
Selepas mula mendapat putaran di radio Indonesia, muzik video rasmi lagu tersebut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos pada 4 September jam 3 petang, manakala lagu berkenaan turut tersedia di Spotify, Apple Music, YouTube Music serta pelbagai platform penstriman muzik utama.