
Ada masa dalam hidup apabila segala-galanya bergerak terlalu pantas, keputusan perlu dibuat tanpa berfikir dan jalan yang dipilih pula mungkin tidak difahami oleh orang sekeliling. Apabila menempuh situasi begini, bukan semata-mata tentang berani terjun ke dalam risiko, tetapi tentang kemampuan untuk kekal tenang ketika keadaan mula menjadi tidak menentu.
Inilah yang cuba diterjemahkan Killa Driz menerusi single terbaharunya, “STUNTMAN”, sebuah karya yang tampil bertenaga menerusi gabungan bunyi sintesis, rentak dram yang rancak serta persembahan penuh keyakinan.
Menariknya, di sebalik tenaga yang dibawa lagu ini, Killa Driz memilih untuk menyelitkan elemen ritma yang lebih santai sebagai gambaran kepada satu keadaan yang bertentangan.
Bagi Killa Driz, kekacauan tidak semestinya perlu dilawan dengan lebih banyak kekacauan. Ada kalanya, seseorang hanya perlu mencari ketenangan dalam dirinya sendiri sebelum berani mengambil langkah seterusnya.
“Konsep lagu ini merupakan gabungan antara ketenangan dan kekacauan. Jadi, kami mahu susunan muziknya kedengaran bertenaga, manakala rentak dram pula lebih santai.
“Saya mahu rentak lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang boleh mencari ketenangan walaupun segala-galanya di sekeliling terasa huru hara,” tambahnya.
Diterbitkan dan digubah oleh LastKhalif, “STUNTMAN” memperlihatkan sisi Killa Driz yang berbeza apabila beliau keluar daripada zon selesa untuk menggabungkan susunan muzik bertenaga dengan pendekatan yang lebih mantap hingga percanggahan ini akhirnya menjadi antara identiti utama lagu berkenaan.
‘STUNTMAN’ Jadi Simbol Keberanian Killa Driz Untuk Ambil Risiko

Jika dilihat pada tajuknya, “STUNTMAN” mungkin terus mengingatkan kepada individu yang melakukan aksi berbahaya dan mencabar batas kemampuan fizikal. Namun, bagi Killa Driz, istilah tersebut membawa makna yang lebih besar.
Pelagak ngeri dijadikan simbol kepada keberanian untuk mencuba sesuatu yang tidak semua orang sanggup lakukan. Jika dilihat dalam konteks kehidupan pula, mentaliti ini boleh diterjemahkan kepada keberanian untuk mengambil risiko, memilih haluan sendiri dan terus bergerak walaupun keputusan yang dibuat tidak semestinya mendapat sokongan semua pihak.
“Lagu ini adalah tentang berani mengambil risiko dan, yang paling penting, kekal setia kepada diri sendiri,” jelas Killa Driz.
Mesej tersebut menjadikan “STUNTMAN” lebih daripada sekadar sebuah lagu yang dibina untuk memberikan tenaga kepada pendengar. Malah, hadir sebagai satu dorongan untuk mereka yang mungkin sedang berdepan dengan keraguan, tekanan atau keadaan yang sukar dijangka.
Apa yang menarik, Killa Driz tidak cuba menggambarkan keberanian sebagai sesuatu yang sentiasa lantang. Sebaliknya, keberanian dalam dunia “STUNTMAN” turut hadir melalui kemampuan untuk kekal tenang ketika keadaan menjadi huru hara.
Bagi Killa Driz, mesej paling penting adalah supaya pendengar tidak terlalu cepat meragui kemampuan diri sendiri.
“Saya mahu para pendengar saya sentiasa percaya kepada diri sendiri.
“Tidak ramai pelagak ngeri di dunia, tetapi memiliki mentaliti seperti itu boleh membawa seseorang jauh. Saya berharap lagu ini dapat mengingatkan orang ramai supaya berani mengambil risiko dan percaya kepada kemampuan diri mereka,” katanya.
Killa Driz Dan ChronicalZ Akhirnya Temukan Formula Yang Lama Dinanti

Selain konsep yang berani, “STUNTMAN” turut menemukan Killa Driz dengan ChronicalZ, seorang penyanyi rap yang sudah lama berada dalam lingkungan kreatif yang sama dengannya.
Hubungan antara kedua-dua artis ini bukan sesuatu yang tercipta secara tiba-tiba. Mereka sudah saling mengenali selama bertahun-tahun dan pernah berbincang mengenai kemungkinan untuk menghasilkan karya bersama.
Namun, kerjasama tersebut hanya direalisasikan apabila muncul sebuah lagu yang dirasakan benar-benar sesuai dengan identiti mereka.
Bagi Killa Driz, ChronicalZ bukan sekadar rakan kolaborasi yang dipilih untuk melengkapkan sesebuah lagu. Beliau melihat keunikan cara ChronicalZ mendekati muzik sebagai faktor utama yang menjadikan kolaborasi ini begitu istimewa.
“ChronicalZ merupakan antara penyanyi rap kegemaran saya dalam industri.
“Sentiasa ada sesuatu yang tidak dijangka dalam caranya mendekati sesebuah lagu. Dia boleh menyampaikan rap dan melodi, jadi perbezaan antara gayanya dengan gaya saya menghasilkan gabungan yang sangat baik. Kerjasama ini terasa seperti memang ditakdirkan untuk berlaku,” ujarnya.

Pada masa yang sama, single ini turut meneruskan hubungan kreatif Killa Driz bersama LastKhalif yang telah terjalin sejak peringkat awal perjalanan muziknya. Kesinambungan tersebut memberikan “STUNTMAN” satu asas yang lebih kukuh, terutama apabila produksi lagu perlu menyokong tema ketenangan dan kekacauan yang menjadi teras karya.
Kemunculan single ini juga menjadi sebahagian daripada perjalanan Killa Driz menuju album terbaharunya, Lepas Senja. Projek tersebut bakal membawa pendengar menyelusuri kehidupan selepas matahari terbenam dengan meneroka emosi, hubungan dan pelbagai detik yang berlaku sepanjang malam, daripada patah hati dan renungan diri kepada perayaan serta kelegaan.

Menerusi “STUNTMAN”, Killa Driz membuka satu lagi pintu kepada fasa kreatif tersebut. Jika album Lepas Senja bakal membawa pendengar menyelami sisi kehidupan yang lebih luas, single ini pula hadir sebagai peringatan bahawa dalam apa jua kekacauan yang menanti, seseorang masih mempunyai pilihan untuk kekal tenang, mengambil risiko dan menentukan arah sendiri.
Sekdar info, Havoxians boleh mengikuti perkembangan berkaitan Lepas Senja boleh diikuti menerusi Senja World yang menampilkan kandungan di sebalik tabir, momen studio serta visual berkaitan projek berkenaan.
Malah, bagi mereka yang mahu merasai sendiri tenaga serta mesej keberanian yang menjadi nadi karya ini, “STUNTMAN” bersama ChronicalZ kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.