
Sebut sahaja tentang filem yang mahu masuk Malaysia Book of Records, tentu kita terbayang produksi besar, tempoh penggambaran yang panjang atau mungkin sesuatu yang belum pernah dilakukan dalam industri perfileman tempatan.
Namun kali ini, Siluman: Dendam Harimau Jadian membawa naratif sedikit berbeza kerana percubaan tersebut datang daripada teknologi yang sejak kebelakangan ini semakin mencuri perhatian dunia kreatif iaitu kecerdasan buatan (AI).
Lebih menarik, teknologi itu bukan sekadar digunakan untuk menghasilkan poster, mencantikkan visual atau membantu proses suntingan. Sebuah produksi tempatan kini mahu membuktikan bahawa AI boleh digunakan untuk membangunkan sebuah filem penuh sehingga ke tayangan pawagam.
Percubaan tersebut digerakkan oleh Infinite Loop Media (ILM) menerusi Siluman: Dendam Harimau Jadian. Filem arahan Fazli Yasin itu kini diusahakan untuk mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records dengan cadangan gelaran ‘Filem Cereka Penuh AI Pertama Untuk Tayangan Pawagam Malaysia’.
Kalau berjaya disahkan, ia bukan sekadar satu lagi tajuk dalam senarai rekod negara, tetapi boleh menjadi antara detik yang membuka lembaran baharu tentang hubungan antara teknologi dan industri kreatif Malaysia.
Siluman: Dendam Harimau Jadian Dibangunkan Dengan AI, Tempoh Kurang Setahun

Perkara yang paling mencuri perhatian tentang projek ini ialah tempoh pembangunannya, daripada peringkat konsep sehingga ke sesi tayangan, Siluman: Dendam Harimau Jadian berjaya dibangunkan dalam tempoh kurang daripada setahun. Tempoh tersebut menjadi antara perkara yang ingin diketengahkan ILM sebagai bukti kemampuan sistem produksi berasaskan AI yang mereka bangunkan.
Produksi filem cereka bukan kerja yang boleh dibuat sekadar tangkap muat. Setiap watak perlu mempunyai identiti yang konsisten, setiap lokasi perlu kelihatan seolah-olah berada dalam dunia yang sama dan kesinambungan visual perlu dijaga dari satu babak ke satu babak.
Belum masuk lagi soal tempo, suasana, emosi dan penceritaan yang perlu bergerak seiring supaya penonton tidak terasa seperti sedang melihat ratusan visual yang dicantumkan secara rawak.
Cabaran tersebut menjadi lebih menarik apabila teknologi AI digunakan sepanjang proses pembangunan. Dalam projek ini, AI diaplikasikan bagi pembangunan visual, kesinambungan serta pascaproduksi, manakala keputusan kreatif dan proses semakan masih dikendalikan oleh manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Infinite Loop Media, Ken Neoh, menyifatkan kemampuan membawa projek daripada idea sehingga ke skrin dalam tempoh tersebut sebagai kisah utama, merupakan sebahagian dari eksperimen.
“Apa yang berjaya kami bangunkan menerusi inisiatif ini ialah sebuah sistem produksi berasaskan AI secara menyeluruh yang membawa filem ini dihasilkan daripada peringkat konsep sehingga ke skrin dalam tempoh kurang daripada setahun. Itulah sebenarnya kisah utama di sebalik projek ini,” katanya.
Sokongan teknologi Ramssol Group Berhad turut menjadi antara komponen penting dalam pembangunan sistem tersebut.
“Dengan sokongan teknologi Ramssol Group Berhad sebagai tulang belakang, ternyata Malaysia kini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan sebuah filem cereka pada kadar yang sukar dicapai menerusi proses tradisional,” dedahnya.
Jika sebelum ini proses pembikinan filem sering dikaitkan dengan tempoh produksi yang panjang, projek ini pula cuba mengetengahkan persoalan yang lebih besar. Sejauh mana teknologi boleh mempercepatkan proses tersebut tanpa menghilangkan identiti dan jiwa sebuah karya?
Bila AI Masuk Dunia Filem, Sentuhan Manusia Masih Jadi Persoalan

Meski kedengaran futuristik, penggunaan AI dalam industri filem bukanlah sekadar cerita tentang teknologi yang mampu menghasilkan visual dalam masa singkat.
Semakin banyak teknologi digunakan dalam industri kreatif, semakin banyak juga persoalan yang muncul. Bagaimana dengan peluang pekerjaan penggiat seni? Siapa memiliki sesuatu hasil yang dijana menggunakan AI? Bagaimana pula dengan persetujuan terhadap penggunaan suara, wajah dan bahan sumber?
Persoalan sebegini turut menjadi sebahagian daripada perbincangan yang mengiringi Siluman: Dendam Harimau Jadian.
Namun, ILM menjelaskan bahawa projek ini tidak dibangunkan untuk membuktikan manusia sudah tidak diperlukan dalam pembikinan filem.
Sebaliknya, teknologi dilihat sebagai satu pendekatan produksi yang boleh diteroka bersama kemahiran manusia yang sedia ada dalam industri.
Pengarah Siluman: Dendam Harimau Jadian, Fazli Yasin, turut menegaskan bahawa AI tidak mengambil alih keperluan terhadap keputusan kreatif.
“Penggunaan AI tidak menghapuskan keperluan terhadap sudut pandang kreatif. Keputusan mengenai jalan cerita, suasana, rentak serta perkara yang akhirnya disampaikan kepada penonton tetap merupakan tanggungjawab kreatif,” jelasnya.
Pendirian tersebut menjadi penting kerana filem pada akhirnya bukan sekadar tentang bagaimana visual dihasilkan, kerana penonton masih mahu merasa sesuatu.
Mereka mahu kenal wataknya, faham konflik, terhibur dengan perjalanan cerita dan paling penting, percaya kepada dunia yang sedang dipaparkan di hadapan mereka.
Justeru, penggunaan AI dalam projek ini lebih tepat dilihat sebagai satu eksperimen terhadap cara baharu sesebuah filem boleh dibangunkan, bukannya pengumuman bahawa teknologi bakal menggantikan seluruh tenaga kreatif manusia.
Percubaan MBOR Siluman Jadi Eksperimen Besar Teknologi Kreatif Malaysia

Di sebalik cubaan mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records, ILM dan LIL Studios melihat projek ini sebagai peluang untuk mengumpul pengalaman sebenar mengenai penggunaan teknologi dalam produksi filem tempatan.
Watak harimau jadian menjadi teras utama cerita dan pada masa sama menjadi medan untuk menguji kemampuan sistem produksi AI dalam menghasilkan visual yang konsisten sepanjang sebuah filem cereka penuh.
Dalam konteks tersebut, projek ini bukan hanya tentang “buat filem guna AI”. Tetapi sebenarnya sedang menguji sama ada AI boleh menjadi sebahagian daripada satu sistem produksi yang cukup besar untuk membawa sebuah cerita dari idea awal sehingga ke mampu ditayangkan di skrin pawagam.
Ken Neoh melihat percubaan tersebut sebagai satu permulaan kepada penerokaan yang lebih jauh.
“Inilah yang berlaku apabila sebuah syarikat teknologi menggunakan keupayaannya untuk menyokong penceritaan tempatan, dan kami baru sahaja bermula,” ujarnya.
Dalam masa sama, ILM turut menjelaskan bahawa elemen yang dihasilkan menggunakan AI serta bahagian yang melibatkan sumbangan kreatif manusia dikenal pasti dan diuruskan. Kebenaran serta hak berkaitan bahan sumber, muzik, suara dan rupa individu pula dikendalikan berdasarkan amalan serta dokumentasi standard produksi.
Bagaimanapun, rekod tersebut belum boleh dianggap rasmi selagi proses pengesahan dan verifikasi Malaysia Book of Records belum selesai. Cadangan tajuk rekod serta sebarang pengiktirafan juga masih tertakluk kepada keputusan.
Jika percubaan ini berjaya disahkan, Siluman: Dendam Harimau Jadian mungkin bukan sekadar sebuah filem tentang harimau jadian, tetapi menjadi sebahagian daripada sejarah bagaimana teknologi AI mengubah cara karya kreatif Malaysia dihasilkan.
Sekadar info, buat Havoxians dan penggemar filem yang mahu melihat sendiri hasil eksperimen tersebut, boleh hadir ke Pawagan dan saksikan Siluman: Dendam Harimau Jadian.