
Bayangkan sebuah stesen yang biasanya dipenuhi penumpang mengejar masa, berubah menjadi lautan warna warni. Kain sarong, batik, songket, kebaya dan baju Melayu memenuhi ruang, sementara muzik, gelak tawa sambil menikmati WONDA Kopi Tarik serta wajah daripada pelbagai latar belakang bersatu dalam satu suasana yang sukar ditemui.
Dalam kesibukan orang ramai bergerak dari satu stesen ke stesen yang lain, terdapat satu perkara yang cuba diingatkan semula kepada rakyat Malaysia. Di sebalik pakaian tradisional yang mencuri perhatian, setiap individu yang berdiri di sebelah kita mempunyai cerita, budaya dan latar belakang yang berbeza.
Itulah semangat yang dibawa menerusi Keretapi Sarong 2026, yang kembali sempena Hari Malaysia dengan tema ‘Sayang Malaysia’.
Memasuki ulang tahun ke 10, acara ikonik ini mengajak rakyat Malaysia untuk melihat perpaduan bukan sekadar sebagai slogan, tetapi melalui keberanian untuk mengenali, menghormati dan meraikan insan di sekeliling.
Keretapi Sarong 2026 Bawa Semangat Sayang Malaysia Melalui Budaya Dan Kebersamaan

Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrine Zainuzzaman berkata, makna Keretapi Sarong tidak pernah terhad kepada pakaian tradisional yang dipakai peserta.
Menurutnya, perkara paling penting ialah hubungan yang terjalin apabila rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang berkongsi ruang dan pengalaman yang sama.
“Hari ini, kita akan melihat kain sarong, batik, songket, kebaya, baju Melayu dan pelbagai pakaian tradisional memenuhi stesen stesen kita.
Semuanya cantik, tetapi perkara yang paling penting bukanlah apa yang kita pakai. Yang paling penting ialah insan yang berdiri di sisi kita, mungkin daripada kaum, bahasa, agama, negeri atau latar belakang yang berbeza, tetapi berkongsi tanah air yang sama,” katanya.
Di Lembah Klang, peserta memulakan perjalanan dari 12 stesen terpilih di 10 bandar sebelum bergerak menuju destinasi rahsia yang hanya didedahkan pada hari acara, iaitu Raintree Plaza @ TRX.
Semangat yang sama turut dirasai dalam komuniti setempat di Padang Besar, Langkawi, Sungai Petani, George Town, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuantan.
Edisi Kuching pula mencatat sejarah sebagai penyertaan rasmi pertama Keretapi Sarong di luar Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun, acara tersebut dijadualkan semula ke Disember 2026 susulan keadaan jerebu di Sarawak.
Menariknya, peluasan Keretapi Sarong ke pelbagai lokasi bukan bertujuan menghasilkan sambutan yang seragam. Sebaliknya, setiap komuniti diberikan ruang untuk membawa semangat acara tersebut melalui seni, muzik, pakaian dan identiti tempatan masing masing.
Pendekatan ini menjadikan Keretapi Sarong bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu ruang untuk rakyat Malaysia menunjukkan bagaimana budaya yang berbeza masih boleh duduk dalam satu cerita yang sama.
WONDA Kopi Tarik Jadi Sebahagian Daripada Momen Rakyat Malaysia Dalam Keretapi Sarong 2026

Bagi WONDA Kopi Tarik, semangat kebersamaan yang menjadi jiwa Keretapi Sarong mempunyai kaitan rapat dengan budaya rakyat Malaysia yang gemar berkongsi momen sambil menikmati secawan kopi.
Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan berkata, WONDA sentiasa melihat momen yang dikongsi bersama sebagai sesuatu yang istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia.
“Di WONDA Kopi Tarik, kami sentiasa percaya bahawa ada sesuatu yang istimewa dalam momen yang dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia. Kopi tarik sendiri adalah sebahagian daripada momen tersebut, minuman kegemaran rakyat Malaysia yang dinikmati oleh pelbagai komuniti, budaya dan generasi,” ujarnya.
Menurut beliau, hubungan antara WONDA dan Keretapi Sarong menjadi semakin bermakna selepas jenama berkenaan pernah meraikan Hari Malaysia bersama sebelum ini.
Kehadiran WONDA pada edisi ke-10 kali ini sekali lagi memberi peluang kepada jenama tersebut untuk bersama rakyat Malaysia meraikan budaya, kemeriahan serta rasa bangga terhadap identiti negara.
Booth WONDA Kopi Tarik di Keretapi Sarong 2026 turut mencuri perhatian apabila suasananya kelihatan meriah dari awal sehingga acara berakhir.
Lebih daripada sekadar kehadiran sebuah jenama, penyertaan WONDA memperlihatkan bagaimana secawan kopi juga boleh menjadi sebahagian daripada budaya sosial rakyat Malaysia.
Lagu “Joget Sarong” Dan Women Station Only Tambah Warna Keretapi Sarong 2026

Ulang tahun ke-10 Keretapi Sarong turut hadir dengan beberapa elemen baharu yang memberikan nafas berbeza kepada acara tersebut.
Buat pertama kalinya, Keretapi Sarong memperkenalkan lagu tema rasmi berjudul Joget Sarong, yang dipersembahkan oleh penyanyi Aina Abdul dan Didie Shazry.
Kehadiran lagu tersebut memberikan rentak baharu kepada perjalanan yang selama ini sinonim dengan muzik rakyat, persembahan spontan dan nyanyian bersama.
Pada masa sama, satu lagi inisiatif yang menarik perhatian ialah pengenalan Women Station Only di Stesen MRT Titiwangsa sebagai lokasi permulaan khas untuk peserta wanita.
Inisiatif itu diperkenalkan susulan permintaan komuniti wanita yang mahukan persekitaran lebih selesa untuk memulakan perjalanan, khususnya ketika stesen dan tren berada dalam keadaan sesak.
Ruang tersebut turut menjadi platform untuk meraikan kreativiti, sumbangan dan kepimpinan wanita dalam membentuk keluarga, komuniti dan negara.

Kemeriahan Keretapi Sarong 2026 turut disokong oleh MAGGI sebagai Penaja Utama. Business Executive Officer MAGGI Malaysia dan Singapore, Ivy Tan Link Cheh berkata, semangat kebersamaan yang dibawa acara tersebut sangat dekat dengan jenama berkenaan.
“Sama seperti makanan yang mendekatkan kita, Keretapi Sarong menyatukan rakyat Malaysia melalui pengalaman bersama yang meraikan rasa bangga terhadap budaya dan identiti kita,” dedahnya.
Watsons Malaysia pula tampil sebagai Rakan Kesihatan dan Kecantikan Rasmi buat kali pertama. Menurut Pengarah Urusan Serantau, Kesihatan dan Kecantikan Asia Kumpulan Watsons, Caryn Loh, kerjasama tersebut menjadi ruang untuk meraikan kepelbagaian budaya sambil menggalakkan keyakinan diri dan ekspresi diri.
KS26 turut diperkukuhkan dengan Rapid KL sebagai Rakan Mobiliti Rasmi, manakala Express Rail Link, Railway Assets Corporation dan Employees Provident Fund tampil sebagai Rakan Strategik Utama.
PRO Apparel, TBG Mall, GRAK, TGV Cinemas dan BEHATI pula menyokong acara berkenaan sebagai Rakan Kolaborasi.
Akhirnya, mungkin itulah sebab Keretapi Sarong masih mempunyai tempat tersendiri dalam kalendar sambutan rakyat Malaysia selepas sedekad.
Orang ramai mungkin datang dengan pakaian paling cantik, mengambil gambar paling meriah dan menari mengikut lagu paling rancak. Namun, nilai sebenar perjalanan tersebut terletak pada kami rakyat Malaysia.
Havoxians, Sayang Malaysia bukan sekadar apa yang kita pakai. Ia tentang siapa yang kita pilih untuk kenali, hormati dan raikan bersama.