
Terdahulu, nama Achey mungkin lebih sinonim dengan lawak spontan dan gelagat bersahajanya sebagai pelawak. Namun, di sebalik identiti pelawak yang ampuh dalam dunia komedi, anak seni ini mempunyai sisi lain yang mahu dironjolkn, iaitu sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik.
Menurut Achey, bakat seseorang tidak seharusnya dinilai berdasarkan satu bidang sahaja. Meski dikenali sebagai penghibur yang sering mencuit hati penonton, minatnya terhadap muzik bukan sesuatu yang muncul secara tiba-tiba, sebaliknya merpakan sebahagian daripada perjalanan seni yang mahu dikembangkan.
Justeru, karya terbaharunya, Gadis Ayu, menyaksikan Achey cuba mempertaruhkan kreativiti sendiri dalam menghasilkan sebuah lagu berentak rancak dengan jalan cerita cinta yang bersahaja, unik dan menghiburkan.
“Pada saya, seorang pelawak tidak semestinya hanya tahu melawak. Kita mempunyai pelbagai bakat dan minat yang boleh diterokai.
“Orang boleh bercakap apa sahaja, tetapi kalau kita terlalu memikirkan pandangan orang, sampai bila-bila kita tidak akan bergerak ke hadapan,” katanya.
Achey Buktikan Pelawak Juga Mampu Berkarya Sebagai Penyanyi Dan Komposer

Jelas Achey, keberanian untuk terus berkarya memerlukan kesediaan mencuba sesuatu yang diminati tanpa terlalu dibelenggu tanggapan orang lain.
Status sebagai pelawak tidak seharusnya menjadi batasan untuknya meneroka bidang muzik, apatah lagi apabila dia sendiri mempunyai kecenderungan terhadap penciptaan lagu.
Malah, menghasilkan karya sendiri memberikan kepuasan tersendiri kerana setiap aspek penceritaan dan mesej lagu dapat dibentuk mengikut kreativiti yang ingin diketengahkan.
Menerusi Gadis Ayu, Achey bukan sekadar tampil sebagai penyanyi, malah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penciptaan lagu berkenaan, termasuk melodi dan liriknya.
Tambah Achey, penerimaan pendengar mungkin berbeza mengikut cita rasa masing-masing. Namun, perkara itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang berhenti mencuba atau mengehadkan potensi diri.
“Saya memang suka mencipta lagu dan menyanyi. Orang boleh bercakap apa sahaja, tetapi kalau kita terlalu memikirkan pandangan orang, sampai bila-bila kita tidak akan bergerak ke hadapan,” ujarnya.
Gadis Ayu Bawa Kisah Cinta Luar Biasa Dengan Melodi Rancak

Di sebalik judul Gadis Ayu yang kedengaran manis, lagu berkenaan sebenarnya mengetengahkan kisah pertemuan antara seorang lelaki dengan wanita yang meninggalkan kesan mendalam, meskipun berlaku dalam keadaan agak memalukan.
Namun, jalan menerusi lagu ini bukanlah pengalaman sebenar Achey. Menurutnya, keseluruhan idea lagu berkenaan lahir daripada imaginasi sendiri ketika dia mencari inspirasi untuk menghasilkan sebuah karya rancak yang mempunyai penceritaan tersendiri.
Pendekatan tersebut membolehkan Achey menggabungkan unsur percintaan dengan elemen humor secara santai, sekali gus menghasilkan karya yang tidak terlalu serius dan mudah dinikmati oleh pelbagai lapisan pendengar.
“Lagu ini sebenarnya tidak ada kena-mengena secara langsung dengan kehidupan saya. Semuanya datang daripada imaginasi sendiri kerana saya mahu menghasilkan lagu rancak yang mempunyai jalan cerita.
“Ia berkisarkan bibit percintaan antara seorang lelaki dan wanita yang bertemu dalam keadaan agak luar biasa. Saya tidak mengharapkan orang menganggap lagu ini sebagai ciptaan yang terlalu hebat, sebaliknya cukup sekadar mereka terhibur dan menikmati muziknya,” jelasnya.
Menurutnya, dia kini mahu mencuba pelbagai genre dan pendekatan muzik bagi memastikan perjalanan seninya terus berkembang.
“Saya memang sedang meneroka pelbagai genre muzik. Sebelum ini, pendengar mungkin sudah biasa dengan lagu raya saya yang rancak. Jadi, kali ini saya mahu mencuba lagu rancak yang boleh dinikmati pada bila-bila masa,” katanya.
Achey Tidak Kejar Populariti Segera, Hargai Sokongan 1711 Music

Meski industri muzik hari ini semakin kompetitif hingga perhatian pendengar sering menjadi ukuran selepas sesebuah lagu dilancarkan. Namun, Achey memilih untuk tidak terlalu mengejar populariti dalam tempoh singkat.
Jelasnya, dia mahu memberi tumpuan kepada peminat yang sudah lama menyokong perjalanan seninya, selain percaya bahawa sesebuah karya memerlukan masa untuk menemukan pendengar yang tepat.
“Bukan semua orang akan menyukai kita dan saya tidak boleh memaksa semua orang menerima muzik saya. Apa yang penting, kita menjaga peminat yang sedia ada dan terus menghasilkan karya terbaik.
“Saya juga tidak kisah kalau lagu tidak terus mendapat sambutan luar biasa pada awal pelancaran. Promosi perlu dilakukan secara berterusan kerana mungkin selepas beberapa bulan, lagu itu akan menemui pendengarnya sendiri,” dedahnya.
Justeru, Achey turut menzahirkan penghargaan terhadap kepercayaan dan sokongan 1711 Music yang bekerjasama dengannya bagi penerbitan lagu pertamanya.

Menurutnya, hubungan profesional yang terjalin memberikan ruang untuknya berkarya dengan lebih bebas, selain membolehkan perancangan penerbitan dan promosi dilakukan berdasarkan kesesuaian sesebuah lagu serta sasaran pendengar.
“Saya sangat menghargai kepercayaan serta sokongan mereka. Kerjasama saya dengan 1711 Music sudah bermula sejak lagu pertama lagi dan mereka sentiasa berusaha membantu dari segi penerbitan serta promosi,” katanya.
Selain itu, Achey juga tidak menolak kemungkinan menghasilkan lebih banyak karya ciptaan sendiri dan bekerjasama dengan penyanyi lain pada masa hadapan.
Pada masa sama, dia mahu meneruskan usaha mengetengahkan bakat generasi muda sebagai sebahagian daripada sumbangannya kepada industri seni tempatan.
Sekadar info Havoxians, single terbaharu Achey, Gadis Ayu, terbitan 1711 Music mula distrim di semua platform muzik digital pada Jumaat, 16 Oktober 2026, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama, jam 3 petang.