
Kejayaan menghasilkan sebuah filem seram yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton bukan sekadar bergantung pada kejutan atau babak menggerunkan. Sebaliknya, kekuatan jalan cerita, kreativiti visual, lakonan serta sentuhan teknikal menjadi antara elemen penting yang menentukan keistimewaan sesebuah karya.
Perkara itu dibuktikan menerusi filem pendek SULUH yang mencuri perhatian pada malam kemuncak pertandingan filem seram pendek CUT! apabila dinobatkan sebagai juara musim pertama sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 bersama kelengkapan pengimejan Canon.
Lebih membanggakan, kemenangan tersebut bukan sekadar meletakkan SULUH di kedudukan tertinggi pertandingan, malah menyaksikan filem berkenaan membolot sembilan anugerah keseluruhan dalam acara SCREAMING NIGHT yang berlangsung di GSC, Mid Valley Megamall pada 30 Oktober 2026.
Pencapaian itu menjadikan SULUH antara karya paling menyerlah dalam pertandingan berkenaan, sekali gus memperlihatkan kemampuan pembikin filem baharu tempatan menghasilkan naskhah seram yang bukan sahaja menarik dari sudut penceritaan, malah memiliki kekuatan dari aspek pembikinan dan persembahan visual.
SULUH Bolot Sembilan Anugerah, Dominasi Malam Kemuncak CUT!

Selain dinobatkan sebagai penerima anugerah Filem Seram Terbaik, SULUH turut menguasai lapan kategori lain yang mengiktiraf pelbagai aspek penghasilan sesebuah filem.
Antara anugerah yang berjaya diraih termasuk Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Suntingan Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Adegan Paling Menggerunkan, Kostum Terbaik serta Solekan dan Dandanan Rambut Terbaik.
Pelakon wanita, Nur Humaira turut melengkapkan kejayaan luar biasa filem tersebut apabila memenangi kategori Pelakon Wanita Pembantu Terbaik.
Kemenangan sembilan kategori itu memperlihatkan bagaimana sesebuah karya mampu menyerlah apabila kekuatan penceritaan digabungkan dengan kreativiti dan ketelitian dalam setiap aspek produksi.
Dalam pertandingan yang mencabar peserta menghasilkan filem seram berdurasi kurang lima minit, pencapaian SULUH pastinya menjadi antara detik paling bermakna dalam edisi sulung CUT!.
Sementara itu, NIZHAL menduduki tempat kedua dengan membawa pulang RM7,500. Filem berkenaan turut meraih dua pengiktirafan lakonan menerusi Thurgga Sharon yang memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik, manakala Kuhan Vijayakumar dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik.
Tempat ketiga pula menjadi milik FREKUENSI yang membawa pulang RM5,000.
Dalam kategori lakonan utama lelaki, Liishvaar menerusi filem RESULT turut menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.
Dua lagi finalis tambahan, MIMICRY dan SANNIDHI masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,500.
MIMICRY turut membawa pulang anugerah Penggunaan Muzik Terbaik, manakala SANDARAN MANZIL terbitan KKTM Rembau mencipta pencapaian tersendiri apabila memenangi kategori Filem Pelajar Terbaik dan Filem Terbaik yang Dirakam Sepenuhnya Menggunakan Telefon Bimbit.
Taylor’s University pula menerima pengiktirafan sebagai institusi pengajian tinggi yang menghantar penyertaan paling banyak daripada sebuah universiti.
CUT! Buka Ruang Bakat Baharu, 40 Filem Dipertandingkan

Di sebalik kejayaan SULUH, penganjuran CUT! turut membawa misi lebih besar dalam usaha mencungkil bakat baharu industri perfileman tempatan.
Dianjurkan oleh Ampersand Advisory, pertandingan peringkat kebangsaan itu diwujudkan sebagai platform kepada pembikin filem baharu untuk mengetengahkan kreativiti dan kebolehan mereka dalam menghasilkan karya seram pendek.
Edisi sulung CUT! menerima sebanyak 40 penyertaan sebelum 24 filem dipilih untuk dipertontonkan kepada penonton menerusi tayangan khas di layar lebar sempena SCREAMING NIGHT.
Acara tersebut turut menghimpunkan barisan pembikin filem yang disenarai pendek, juri industri serta komuniti kreatif bagi meraikan hasil karya peserta sebelum keputusan pemenang diumumkan.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama Ampersand Advisory, Sandeep Joseph berkata, pertandingan itu mengukuhkan keyakinannya terhadap potensi besar bakat baharu dalam industri pembikinan filem Malaysia.
“Ketika kami melancarkan CUT!, kami percaya Malaysia mempunyai banyak bakat pembikinan filem yang belum diterokai dan hanya menantikan peluang yang tepat.
“Keaslian serta ekspresi kreatif yang ditampilkan sepanjang pertandingan ini membuktikan keyakinan kami. SULUH dan filem-filem lain yang memenangi anugerah menunjukkan bahawa penceritaan yang berkesan, imaginasi serta kemahiran teknikal sememangnya masih berkembang dalam kalangan pembikin filem baharu negara,” katanya.
Menurut beliau, CUT! bukan sekadar sebuah pertandingan biasa, sebaliknya dirancang sebagai batu loncatan untuk membantu bakat tempatan mendapatkan pendedahan serta peluang mengembangkan kemahiran dalam industri perfileman.
“Sebagai seorang pembikin filem, saya memahami betapa pentingnya peluang pertama dalam perjalanan seseorang pengkarya.
“Kami sudah memulakan langkah yang baik, namun masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Menerusi CUT! 2, kami berharap dapat menemukan lebih banyak suara kreatif yang asli serta menyaksikan lebih banyak kisah dari Malaysia menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Sokongan Canon Perkasa Kreativiti, CUT! 2 Bakal Menyusul

Kejayaan penganjuran CUT! turut mendapat sokongan Canon Marketing Malaysia selaku Rakan Pengimejan Rasmi yang menyediakan kelengkapan pengimejan Canon sebagai hadiah kepada pemenang.
Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej Canon Marketing Malaysia, Edward Chang berkata, pihaknya percaya imaginasi dan teknologi memainkan peranan penting dalam menghasilkan karya penceritaan visual yang berkesan.
“Di Canon, kami percaya penceritaan yang berkesan bermula dengan imaginasi, manakala teknologi yang tepat membantu merealisasikan visi tersebut.
“Menerusi kerjasama dengan CUT!, kami berbangga dapat menyokong pembikin filem Malaysia yang bercita-cita tinggi ketika mereka meneroka pendekatan baharu dalam penceritaan, mengekspresikan kreativiti serta memperluas sempadan penceritaan visual.
“Kami berharap kelengkapan pengimejan Canon yang diberikan dapat membantu para pemenang memperhalusi kemahiran mereka serta menghasilkan lebih banyak karya penceritaan Malaysia yang menarik untuk dipersembahkan di layar lebar,” katanya.
Menariknya, CUT! turut mempunyai latar belakang yang berkait rapat dengan eksperimen kreatif Ampersand Advisory menerusi filem seram psikologi pendek berjudul Sup Daging yang dilancarkan pada Mac 2026 bersempena Hari Wanita Antarabangsa.
Dihasilkan oleh bakat muda Generasi Z agensi tersebut, Maimunah Wahab dan Chloee Pang, filem berkenaan diterbitkan bersama jurukamera sinematografi Farhan Syaza serta pasukannya menggunakan kamera Canon.
Sehingga Oktober 2026, Sup Daging berjaya meraih lebih 750,000 tontonan dalam talian.
Berbeza dengan projek tersebut yang dihasilkan oleh pasukan dalaman Ampersand Advisory, CUT! membuka peluang lebih luas kepada pembikin filem bercita-cita tinggi dari seluruh negara untuk mengetengahkan karya masing-masing.
Susulan sambutan menggalakkan bagi edisi pertama, Ampersand Advisory kini sedang membuat persiapan untuk penganjuran CUT! 2 dengan penyertaan dijangka dibuka tidak lama lagi.
Tarikh tutup penyertaan edisi kedua itu ditetapkan pada 27 April 2027, manakala format pertandingan berasaskan dalam talian akan diteruskan bagi memberikan peluang kepada lebih ramai bakat baharu menyertai pertandingan berkenaan.
Maklumat lanjut termasuk tarikh pembukaan penyertaan dan garis panduan penghantaran karya akan diumumkan menerusi saluran rasmi CUT!
Kejayaan SULUH dalam edisi sulung ini bukan sekadar kemenangan sebuah filem, sebaliknya menjadi gambaran bahawa industri perfileman tempatan sentiasa mempunyai ruang untuk suara baharu, idea segar dan keberanian berkarya.
Sekadar info Havoxians! Dengan kehadiran CUT! 2 yang bakal menyusul, peminat filem seram pastinya mempunyai lebih banyak karya tempatan untuk dinantikan.