
Ketakutan tidak semestinya hadir dalam bentuk lembaga misteri, suara aneh atau kelibat yang muncul di tengah malam. Kadangkala, perkara paling mengerikan ialah kebenaran yang selama ini tersembunyi di sebalik wajah seseorang, rahsia yang disimpan bertahun-tahun dan luka kehidupan yang tidak pernah benar-benar sembuh.
Persoalan inilah yang dirungkai menerusi filem seram thriller terbaharu, Bisikan, yang tampil dengan pendekatan berbeza menerusi konsep ‘double horror’. Tidak hanya mempertaruhkan elemen mistik untuk mencetuskan rasa takut, karya ini turut mengangkat kengerian realiti kehidupan manusia menerusi pendekatan ‘Horror of Truth’.
Menariknya, filem terbitan D’Alpha Legacy Production itu tidak sekadar mahu membuatkan penonton terkejut dengan babak seram, sebaliknya mengajak mereka menyelami sisi gelap kehidupan sebuah keluarga yang dipenuhi misteri, rahsia dan persoalan yang mungkin sukar diterima akal.
Selain itu, Bisikan turut membawa satu persoalan yang cukup mengganggu fikiran. Sejauh mana manusia sebenarnya mengenali orang yang paling rapat dengan mereka? Adakah sesuatu yang menakutkan itu benar-benar datang daripada alam ghaib, ataupun hakikat kehidupan yang selama ini cuba disembunyikan?
Filem Bisikan Gabungkan Dua Lapisan Seram, Elemen Mistik dan ‘Horror of Truth’

Menurut penerbitnya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, konsep ‘double horror’ menjadi antara keunikan utama yang membezakan Bisikan daripada kebanyakan filem seram tempatan.
Menerusi pendekatan itu, penonton bukan sahaja dibawa berhadapan dengan gangguan mistik, malah perlu berdepan dengan kengerian yang berpunca daripada realiti kehidupan manusia sendiri.
Beliau percaya gabungan dua lapisan ketakutan tersebut mampu memberikan pengalaman tontonan yang lebih mendalam, khususnya apabila penonton mula memahami perkara sebenar di sebalik kejadian yang dipaparkan.
“Adakah kita takut kerana sesuatu itu benar-benar wujud atau kerana kita tidak memahami apa yang sedang berlaku?
“Saya percaya ‘Double horror’ adalah elemen yang belum pernah lagi ditampilkan dalam mana-mana filem di Malaysia. Menerusi elemen itu, penonton akan dapat melihat dan merasai kesakitannya selepas 30 minit pertama filem ini,” katanya.
Persoalan yang dibangkitkan itu menjadi asas kepada pendekatan penceritaan Bisikan yang menggabungkan unsur misteri dengan konflik manusia.
Pada masa sama, filem ini turut menyentuh hubungan kekeluargaan, kasih sayang, kehilangan dan ketakutan terhadap perkara yang berada di luar kawalan manusia.
Gabungan elemen berkenaan menjadikan Bisikan lebih daripada sebuah kisah seram yang bergantung kepada kejutan visual. Sebaliknya, penonton turut diajak memahami emosi dan konflik di sebalik setiap kejadian.
Menariknya, konsep ini turut membuka ruang kepada penonton untuk membuat penilaian sendiri mengenai sumber sebenar ketakutan yang dipaparkan. Sesuatu yang pada awalnya kelihatan seperti gangguan luar biasa mungkin menyimpan kisah yang jauh lebih menyakitkan apabila kebenaran mula terbongkar.
Pengalaman Bekas Timbalan Pendakwa Raya Cetus Inspirasi Kisah ‘Luka Yang Berbisik’

Di sebalik idea menghasilkan Bisikan, Nur A’minahtul Mardiah yang juga seorang peguam dan pempengaruh terkenal mengakui karya itu lahir daripada pemerhatian serta pengalaman hidupnya berhadapan dengan pelbagai kisah manusia.
Pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Majistret, beliau mendedahkan pengalaman sepanjang kerjayanya memberikan perspektif berbeza mengenai sisi gelap kehidupan yang jarang diketahui masyarakat.
Menurutnya, terdapat pelbagai kisah menyedihkan dan kejadian yang sukar diterima akal sehingga membuatkan beliau tertanya-tanya mengenai punca sesuatu perbuatan serta perkara yang mendorong manusia melalui pengalaman sedemikian.
“Ada kisah yang menyedihkan dan ada yang sukar diterima akal hingga membuatkan saya tertanya-tanya, bagaimana seseorang boleh melalui perkara sedemikian dalam kehidupannya. Ada juga yang buat saya nak tahu lebih mendalam kenapa jenayah itu berlaku?
“Setiap manusia juga mempunyai luka dalam kehidupan masing-masing. Ada luka yang kita tunjukkan kepada orang lain dan ada luka yang kita simpan bertahun-tahun yang mungkin kita tidak sedar ia masih mempengaruhi kehidupan kita,” katanya.
Daripada pemerhatian itulah lahir ungkapan ‘Luka Yang Berbisik’ yang menjadi sebahagian daripada identiti filem berkenaan.
Bagi Nur A’minahtul Mardiah, pengalaman tersebut menyedarkannya bahawa ketakutan manusia tidak semestinya berpunca daripada perkara mistik atau sesuatu yang tidak dapat dilihat.
Sebaliknya, realiti kehidupan sendiri mampu menjadi sesuatu yang jauh lebih mengerikan apabila manusia berhadapan dengan kehilangan, pengkhianatan, rahsia dan luka emosi yang tidak pernah diselesaikan.
Pendekatan ini turut memberikan dimensi tersendiri kepada Bisikan apabila kisah seram yang dipersembahkan bukan sekadar mahu menguji keberanian penonton, tetapi juga menyentuh sisi kemanusiaan yang dekat dengan kehidupan seharian.
Enam Tahun Menanti, Kos RM1.5 Juta dan Cabaran 80 Peratus CGI

Di sebalik konsep penceritaan yang dibawa, perjalanan menghasilkan Bisikan sebenarnya menyimpan kisah perjuangan yang cukup panjang.
Menurut Nur A’minahtul Mardiah, filem pertamanya itu mengambil masa selama enam tahun sebelum akhirnya bersedia menemui penonton, dengan pelbagai cabaran terpaksa diharungi sepanjang proses penerbitan.
Segalanya bermula apabila pandemik COVID-19 melanda dunia sehingga menyebabkan perancangan asal produksi terpaksa ditangguhkan dan industri perfileman turut menerima kesan besar.
Namun, cabaran sebenar muncul selepas keadaan kembali pulih apabila produksi berdepan masalah aset imej janaan komputer (CGI), selain kekurangan dana untuk meneruskan proses pascaproduksi.
Lebih mengejutkan, sekitar 80 peratus daripada keseluruhan elemen filem ini menggunakan CGI, sekali gus menjadikan proses menyiapkannya lebih mencabar.
“Bayangkan, kerja penggambaran filem sudah selesai tetapi kita tidak mampu menyiapkannya untuk tayangan. Belum lagi, insiden tentang penipuan wang berlaku.
“Kos penerbitan filem ini mencecah RM1.5 juta dan ketika filem Bisikan hampir ‘lumpuh’, pihak kami menerima dana pascapenerbitan sebanyak RM300,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya.
Penggambaran yang dijalankan di sebuah rumah di Kuantan itu berjaya diselesaikan pada 9 Ogos 2020. Bagaimanapun, kejayaan menamatkan penggambaran tidak bermakna perjalanan filem tersebut turut berakhir.
Kekangan kewangan dan masalah teknikal menyebabkan proses pascaproduksi berlarutan sehingga pihak produksi turut berdepan tindakan saman daripada pelabur akibat kelewatan menyiapkan filem berkenaan.
Menurutnya, kes berkenaan hanya selesai pada Jun 2026, namun beliau masih perlu menanggung bayaran walaupun kekangan yang menyebabkan filem itu tidak dapat disiapkan bukan berpunca daripadanya.
Mengimbas kembali detik sukar tersebut, Nur A’minahtul Mardiah mengakui tidak mampu menahan emosi apabila mengenangkan pelbagai ujian yang terpaksa dilalui.
“Saya banyak menangis pada waktu malam kerana memikirkan bagaimana mahu menyelesaikan semua masalah ini,” katanya.
Dalam usaha mencari kekuatan untuk meneruskan perjuangan, beliau mengambil keputusan ke Tanah Suci Makkah pada Mac 2025.
Di hadapan Kaabah, beliau berdoa agar dijauhkan daripada individu yang mahu mengambil kesempatan atas kesukaran yang dihadapinya serta dipertemukan dengan insan yang ikhlas untuk bersama-sama membantu menjayakan filem tersebut.

Alhamdulillah, beliau menyifatkan doa itu akhirnya dimakbulkan apabila dipertemukan dengan individu yang membantu membuka jalan untuk Bisikan disiapkan.
Walaupun berdepan pelbagai dugaan, beliau memilih untuk tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya melihat pengalaman itu sebagai sebahagian daripada perjalanan panjang menghasilkan sebuah karya yang cukup dekat dengan dirinya.
Untuk rekod, Nur A’minahtul Mardiah turut pernah menerbitkan beberapa karya lain termasuk filem thriller Eva, Supertele Kelaster dan Korsakoff untuk Astro First, selain Frontliner yang ditayangkan menerusi Netflix.
Diarahkan oleh Opie Zami, Bisikan turut menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Iman Zulkarnain, Azhan Rani, Vanida Imran, Fatin Afeefa, Altimet dan Puteri Rayyana.
Selain membuat penampilan khas, Altimet turut menyumbangkan suara menerusi lagu runut bunyi rasmi filem berkenaan berjudul Hujan yang dinyanyikan secara duet bersama Mimi Fly.
Sekadar info Havoxians, dengan gabungan konsep seram berlapis, konflik kekeluargaan serta rahsia yang perlahan-lahan terbongkar, Bisikan pastinya membawa sesuatu yang berbeza kepada peminat genre seram thriller tempatan.
Filem terbitan D’Alpha Legacy Production itu bakal menemui penonton di 70 pawagam seluruh Malaysia bermula 19 November 2026. Jadi, bersediakah anda berdepan dua lapisan ketakutan yang bukan sahaja menguji keberanian, malah mungkin membuatkan anda mempersoalkan semula sisi gelap realiti kehidupan manusia?