
Lautan luas terbentang dengan keindahan yang sukar digambarkan, menyimpan pelbagai rahsia di sebalik permukaan airnya. Bagi kebanyakan orang, dunia bawah laut mungkin sekadar destinasi untuk menikmati keindahan hidupan marin dan terumbu karang. Namun, pernahkah terfikir bagaimana pengalaman menyelam itu membawa makna berbeza kepada individu yang berdepan keterbatasan fizikal?
Menggabungkan persoalan kemanusiaan dan kelestarian alam sekitar, filem TAKDIR TERAKHIR: LAST DIVE tampil membawa perspektif berbeza menerusi kisah yang mengetengahkan keberanian golongan orang kurang upaya (OKU), pengembaraan bawah laut serta kepentingan melindungi kehidupan marin.
Terdahulu, filem arahan Dr. Wendy Wong ini telah melancakan tayangan trailer rasmi dan juga poster filem berkenaan menerusi sebuah majlis di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, sekali gus membuka tirai perjalanan promosi menjelang tayangannya di pawagam seluruh negara pada 3 Disember 2026.
TAKDIR TERAKHIR: LAST DIVE Angkat Keberanian OKU dan Kepentingan Pemeliharaan Hidupan Marin
Salah satu keistimewaan yang membezakan TAKDIR TERAKHIR: LAST DIVE daripada naskhah pengembaraan biasa ialah keberaniannya menggabungkan isu pemeliharaan alam sekitar dengan perjuangan membina masyarakat yang lebih inklusif.
Menerusi latar dunia selam skuba, filem ini mengetengahkan kepentingan menjaga hidupan marin dan terumbu karang yang menjadi sebahagian daripada khazanah alam semula jadi. Ekosistem tersebut bukan sekadar mencantikkan dasar laut, malah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan kehidupan marin.
Pada masa sama, penglibatan golongan OKU dalam aktiviti selam skuba memberikan perspektif berbeza tentang makna kemampuan dan keberanian.
Keterbatasan fizikal tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang dinafikan peluang meneroka pengalaman baharu, mengejar impian atau membuktikan kebolehan diri.
Sebaliknya, masyarakat perlu membuka ruang yang lebih luas agar setiap individu berpeluang menikmati kehidupan tanpa dibatasi persepsi dan tanggapan orang lain.
“Keupayaan seseorang tidak seharusnya ditentukan oleh keterbatasan fizikal, sebaliknya melalui peluang, keberanian dan ruang yang diberikan untuk mereka membuktikan kemampuan diri,” katanya.
Mesej tersebut selari dengan aspirasi filem ini untuk menyemai kesedaran dalam kalangan penonton, khususnya generasi muda, supaya lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan pada masa sama menyokong pembentukan masyarakat yang memberikan peluang sama rata kepada semua.
Barisan Pelakon Popular dan Pertandingan Lagu OST Meriahkan Promosi Filem

Selain itu, TAKDIR TERAKHIR: LAST DIVE turut menampilkan gabungan pelakon yang pastinya menarik perhatian peminat filem tempatan.
Antara nama yang membarisi naskhah ini ialah Aniq Durar, Shiqin Kamal, Amerul Affendi, Fify Azmi, Sandra Lim dan Fauziah Latiff. Malah, turut menampilkan penampilan khas Datuk Ras Adiba Radzi.
Kehadiran barisan pelakon daripada latar berbeza memberikan tarikan tersendiri kepada naskhah berkenaan, lebih-lebih lagi apabila ia membawa tema yang menggabungkan elemen pengembaraan, kemanusiaan dan kesedaran alam sekitar.
Bukan sekadar bergantung kepada promosi konvensional, pihak penerbit turut memperkenalkan pendekatan lebih interaktif dengan melancarkan pertandingan nyanyian lagu runut bunyi (OST) filem tersebut.
Inisiatif ini membuka peluang kepada orang ramai untuk menunjukkan bakat nyanyian sambil menjadi sebahagian daripada kempen memperkenalkan TAKDIR TERAKHIR: LAST DIVE kepada khalayak lebih luas.
Sekadar info Havoxians, dua lagu OST yang dipertandingkan ialah Menemukanmu nyanyian Aiman Sidek dan Jangan Mati Di Sini nyanyian Dinie Rashid.

Pertandingan berkenaan dibuka kepada tiga kategori penyertaan iaitu pelajar, orang kurang upaya (OKU) dan dewasa. Pembahagian kategori ini turut memperlihatkan usaha pihak penganjur untuk menyediakan ruang penyertaan yang lebih terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Lebih menarik, 10 peserta terbaik berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah istimewa termasuk tiket wayang, pakej percutian, baucar tunai Giacomo serta hadiah wang tunai, serta pengalaman percutian yang ditawarkan termasuk penginapan di Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah, Paya Bunga Hotel dan Happy Valley Eco-Farm.
Selain itu, sebanyak 10,000 tiket wayang turut diperuntukkan sebagai sebahagian daripada hadiah pertandingan, tertakluk kepada kuota yang ditetapkan.
“Sebuah filem tidak semestinya berakhir apabila lampu pawagam dinyalakan. Mesej yang dibawanya sepatutnya terus hidup dalam pemikiran penonton,” tegasnya.
Cara Menyertai Pertandingan Nyanyian OST TAKDIR TERAKHIR: LAST DIVE

Bagi yang berminat untuk menyertai pertandingan nyanyian ini, proses penyertaan cukup mudah dan boleh dilakukan menerusi platform media sosial masing-masing.
Peserta hanya perlu mengikuti beberapa langkah yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.
1. Pilih lagu OST
Peserta boleh memilih salah satu daripada dua lagu yang dipertandingkan iaitu Menemukanmu nyanyian Aiman Sidek atau Jangan Mati Di Sini nyanyian Dinie Rashid.
Bahan lagu dan panduan penyertaan boleh diperoleh menerusi Google Form yang disediakan di pautan rasmi penganjur.
2. Rakam video nyanyian
Rakam persembahan nyanyian masing-masing dengan sekurang-kurangnya bahagian korus lagu pilihan.
3. Muat naik video ke media sosial
Video yang telah dirakam perlu dimuat naik ke akaun media sosial peserta. Jangan lupa untuk menandakan atau menggunakan fungsi kolaborasi bersama akaun rasmi @filemlastdive.
4. Hantar penyertaan menerusi Google Form
Lengkapkan borang penyertaan dan sertakan pautan video yang telah dimuat naik ke media sosial.
5. Ikuti akaun rasmi filem
Peserta juga perlu mengikuti akaun media sosial @filemlastdive bagi mendapatkan perkembangan terkini serta pengumuman pemenang pertandingan.
Pautan penyertaan dan bahan pertandingan boleh diakses DI SINI

Apa yang menarik, pertandingan ini bukan sekadar medan untuk mengetengahkan bakat nyanyian, malah menjadi peluang kepada orang ramai untuk menyokong sebuah karya yang membawa mesej kemasyarakatan dan kesedaran alam sekitar.
Inisiatif ini diharap dapat menarik penyertaan lebih meluas, termasuk golongan OKU yang turut diberikan ruang untuk menyerlahkan bakat masing-masing.
Menggabungkan pengembaraan bawah laut, perjuangan kemanusiaan dan kepentingan memelihara khazanah marin, TAKDIR TERAKHIR: LAST DIVE bakal membawa penonton menyelami sebuah pengalaman berbeza menerusi layar perak.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan filem arahan Datin Dr. Wendy Wong yang menampilkan Aniq Durar, Shiqin Kamal, Amerul Affendi, Fify Azmi, Sandra Lim, Fauziah Latiff serta penampilan khas Datuk Ras Adiba Radzi ini apabila TAKDIR TERAKHIR: LAST DIVE mula menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 3 Disember 2026.