
Selepas lebih 30 tahun berkelana, SPIDER akhirnya bakal pulang ke sarang! Kembali ke negeri kelahiran mereka menerusi sebuah konsert berskala besar yang dijangka menjadi momen istimewa buat kugiran itu dan peminat di Selatan tanah air.
Kepulangan kali ini bukan hanya untuk meraikan perjalanan tiga dekad dalam industri, Konsert SPIDER SENGAT SELATAN turut membawa makna tersendiri apabila Johor Bahru menjadi lokasi mereka kembali bertemu peminat di bumi yang menyaksikan permulaan perjalanan seni kumpulan legenda itu.
Malah, anak didik maestro muzik Datuk M. Nasir menerusi Luncai Emas yang dianggotai Tam, Iss, Pown dan Aie berjaya membina identiti tersendiri menerusi gabungan ska, pop rock serta lirik satira yang terus mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.
Kini, selepas mencipta pelbagai kenangan di pentas seluruh negara, mereka bakal mencipta satu lagi sejarah apabila Konsert berskala besar ini bakal berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 30 Januari 2027.
Sebuah perjalanan panjang sejak 1996, SPIDER kini bakal mencipta satu lagi sejarah apabila tampil dalam konsert berskala besar di negeri kelahiran mereka sendiri!
SPIDER SENGAT SELATAN Sebuah Kepulangan Bermakna Selepas Tiga Dekad

Konsert berskala besar yang dianjurkan oleh Icon Entertainment ini bakal menjadi simbol kepulangan sebuah kugiran yang membina perjalanan seni mereka dari bumi Johor.
Menurut penganjur, perjalanan tiga dekad ini wajar diraikan di tempat yang menjadi titik awal kepada pembentukan identiti dan kecintaan mereka terhadap muzik.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menyifatkan konsert berkenaan sebagai peluang istimewa untuk menghargai perjalanan seni mereka yang telah memberikan warna tersendiri kepada muzik Malaysia.
“Selepas tiga dekad menghiburkan peminat di pelbagai pentas, peluang untuk membawa karya mereka kembali ke Johor pastinya mempunyai makna yang berbeza.
“Di sinilah segalanya bermula. Di negeri inilah benih kecintaan SPIDER terhadap muzik disemai sebelum mereka berkembang menjadi antara kugiran dengan identiti tersendiri yang meninggalkan pengaruh dalam belantika muzik Malaysia.
“Sebab itu kami di Icon Entertainment berasa tiga dekad atau 30 tahun ini mesti dirayakan di negeri kelahiran mereka. Ini momen yang sangat ‘Ngam Ho’,” ujar Iman.
Konsert ini sekaligus membuktikan perjalanan sesebuah band dan artis tidak hanya diukur melalui populariti atau pencapaian, tetapi turut dinilai berdasarkan karya mala segar yang mampu bertahan dan terus mendapat tempat dalam hati pendengar.
Dari Relaku Pujuk Hingga Kasih Latifah, Lagu SPIDER Bakal Menghidupkan Nostalgia Peminat

Khusus buat para peminat SPIDER, tentu sahaja sebuah konsert yang meraikan perjalanan tiga dekad mereka tidak akan lengkap tanpa deretan lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada soundtrack kehidupan.
Antara karya yang dijangka menghidupkan suasana termasuk Aladin, Kacap Terlabik, Nazraku, Kasih Latifah dan Cinta Dewa Dewi, selain lagu lagu popular lain yang membentuk perjalanan muzik kumpulan berkenaan.
Keistimewaan kumpulan ini terletak pada kemampuan mereka menghasilkan muzik yang bukan sahaja mudah melekat di telinga, tetapi turut memiliki karakter tersendiri.
Malah, gabungan irama rancak, elemen ska dan pop rock bersama lirik bersahaja, sinis serta penuh makna menjadikan karya mereka mempunyai identiti unik yang sukar ditiru.
Lagu seperti Relaku Pujuk yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) 2004 menjadi antara bukti bagaimana mereka mampu menghasilkan karya yang terus relevan dan dikenang sehingga hari ini.
Tam turut menyifatkan peluang untuk beraksi di Johor Bahru dalam sebuah konsert berskala besar sebagai impian yang sekian lama dinantikan.
“Mungkin ada yang pernah menyaksikan SPIDER di Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau negeri lain, tetapi buat SPIDER untuk beraksi dalam sebuah konsert berskala besar di Johor Bahru pada 30 Januari 2027 adalah momen yang sekian lama kami impikan.
“Bumi Johor adalah saksi kepada mimpi mimpi kami, permulaan perjalanan kami, maka di sini juga kami mahu peminat khususnya di Selatan memperoleh nikmat mendengarkan karya-karya kami yang telah hidup subur bersama mereka dimainkan secara langsung sekaligus bersama merayakan tiga dekad SPIDER,” ujar Tam.
Lebih menarik, konsert ini membuka peluang kepada peminat generasi baharu untuk mengenali muzik SPIDER secara lebih dekat, manakala peminat lama pula dapat mengimbau kembali kenangan yang mungkin pernah menemani zaman muda mereka.
Johor Bahru Bakal Menjadi Taman Permainan SPIDER, Peminat Bersedia Untuk Sengatan Selatan

SPIDER SENGAT SELATAN bukan sekadar konsert untuk menyanyikan lagu-lagu popular, tetapi perayaan sebuah perjalanan, persahabatan, muzik dan chemistry antara artis dan peminat yang kekal utuh merentasi zaman.
Para peminat di Johor dan seluruh kawasan Selatan, peluang menyaksikan kumpulan kegemaran mereka beraksi di tanah kelahiran mereka dalam skala besar pastinya menjadi pengalaman yang berbeza ini tak patut dilepaskan.
Lagu-lagu seperti Aladin, Nazraku, Kasih Latifah hingga Cinta Dewa Dewi, bakal menjadi ruang untuk peminat menyanyi bersama, mengimbau kenangan dan meraikan tiga dekad perjalanan sebuah kugiran yang tidak pernah kehilangan sengatnya pada malam bermakna itu.
Konsert SPIDER SENGAT SELATAN dijadual berlangsung pada 30 Januari 2027 di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor.
Havoxians yang mahu menjadi sebahagian daripada sejarah kepulangan SPIDER ke Selatan, tiket ditawarkan pada harga RM88 untuk kategori Pontian, RM128 Mersing, RM168 Pasir Gudang, RM188 Batu Pahat, RM258 Kota Tinggi dan RM288 Muar.
Selain itu, peminat yang mendambakan pengalaman lebih inklusif boleh memilih kategori Johor Bahru yang ditawarkan pada harga RM888 untuk menikmati sofa couple seat untuk dua orang yang lebih sleesa dan eksklusif.
Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang Ticket2u bermula 26 November 2026, Khamis, jam 3 petang. Jangan tunggu sehingga sengatan SPIDER hilang bisanya, kerana 30 tahun perjalanan ini akhirnya pulang ke sarang dimana ia bermula.
