
Setelah sekian lama menantikan ‘buah tangan’ terbaharu daripada Ratu Rock Malaysia, peminat Ella bakal menerima satu kejutan istimewa apabila penyanyi legenda itu dijadualkan mempersembahkan karya baharunya buat pertama kali secara langsung pada konsert Majlis Tertinggi Rockqueen: Sidang Penutup, 5 Disember ini.
Perkongsian itu dibuat Ella menerusi sesi langsung di salah satu platform media sosialnya baru-baru ini, ketika menjawab pertanyaan pengikut serta berkongsi perkembangan persiapan konsert yang bakal berlangsung di Unifi Arena, Kuala Lumpur.
Sekali gus menambah keterujaan peminat terhadap konsert yang dijangka menjadi antara momen penting dalam perjalanan karier seni Ratu Rock negara itu.
Ella Kembali Dengan Lagu Baharu, 10 Tahun Menanti Peminat Teruja!

Karya terbaharu itu merupakan hasil nukilan komposer terkenal Saari Amri, manakala liriknya ditulis oleh Azam Dungun.
Ini merupakan gabungan nama yang tidak asing dalam industri muzik tempatan tanah air, pastinya membuatkan rasa ingin tahu para peminat semakin membuak-buak terhadap arah muzik yang bakal dibawakan menerusi karya terbaharunya itu.
Selepas hampir 10 tahun tanpa karya baharu, kemunculan lagu tersebut tentunya membawa makna tersendiri buat dirinya dan peminat yang selama ini mengikuti perjalanan muziknya.

Lebih istimewa, lagu berkenaan tidak sekadar diperkenalkan menerusi rakaman atau platform digital, sebaliknya bakal dipersembahkan secara langsung buat pertama kali di Sidang Penutup.
Momen itu dijangka menjadi antara detik paling dinantikan pada malam konsert, khususnya buat peminat yang mahu menyaksikan sendiri permulaan baharu dalam perjalanan muziknya.
Malah, ribuan peminat yang selama ini membesar dengan lagu-lagu ikoniknya, kini bakal menjadi saksi pertama bagi satu lagi momen penting, sebuah karya baharu yang lahir daripada perjalanan panjang seorang figura muzik yang terus kekal relevan merentasi generasi.
Setlist Istimewa Dengan Lagu Yang Jarang Dipersembahkan

Selain karya terbaharu tersebut, Ella turut berkongsi beberapa judul lagu yang bakal dimasukkan dalam senarai persembahan Sidang Penutup, termasuk karya yang jarang dibawakan secara langsung.
Antara lagu yang bakal menghidupkan suasana pada malam penuh sejarah itu ialah Menyanyilah La La La, Puisi Hamba, Bendera Damai, Kabus dan Sirna serta Puteri Kota.
Jelasnya, pemilihan lagu-lagu berkenaan pastinya memberikan dimensi berbeza kepada konsert tersebut, selain peminat bukan sahaja dapat menikmati lagu popular yang sering menjadi siulan ramai, pada masa sama berpeluang menyelami sisi muzik Ella menerusi karya yang sudah lama tidak didendangkan secara langsung.
Konsert ini juga berpotensi menjadi sebuah perjalanan nostalgia yang membawa penonton menyusuri pelbagai fasa perjalanan seni miliknya, daripada era awal kemunculannya sehinggalah kepada kedudukannya sebagai antara ikon rock paling berpengaruh di Malaysia.
Justeru, peminat yang sudah lama setia mengikuti ratu rock, peluang mendengar lagu kegemaran secara langsung pastinya cukup bermakna. Namun, kehadiran lagu baharu selepas hampir sedekad menjadikan Sidang Penutup lebih daripada sekadar sebuah persembahan mengulang kenangan.
Gandingan Istimewa Bersama Yuna, Ziana Zain dan Shima

Keterujaan terhadap Sidang Penutup turut dipertingkatkan dengan kehadiran barisan artis jemputan istimewa yang bakal berkongsi pentas bersamanya.
Antara nama yang diumumkan ialah Yuna, Datuk Ziana Zain dan Shima, sekali gus menjanjikan persembahan dengan variasi muzik serta momen kolaborasi yang pastinya sukar dilupakan.
Gabungan ratu rock bersama barisan artis berkenaan dijangka menjadi antara tarikan utama konsert, lebih-lebih lagi apabila setiap penyanyi mempunyai identiti, karakter suara dan perjalanan seni tersendiri yang cukup kuat dalam industri muzik tempatan.
Jelasnya lagi, persiapan yang semakin memasuki fasa akhir, Sidang Penutup kini semakin dekat untuk membuka tirai.
Para peminat dan Havoxians pastinya tidak mahu terlepas peluang menyaksikan Ella kembali mencipta sejarah kecil menerusi persembahan lagu baharu yang sudah hampir sedekad dinantikan serta lagu-lagu ikonik yang berjaya menjulang namanya sebagai Ratu Rock Malaysia.
Sekadar recap, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup bakal berlangsung pada 5 Disember 2026, Sabtu, di Unifi Arena, Kuala Lumpur.
Tiket masih boleh didapati menerusi laman web rasmi HITMAN untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut, peminat boleh menghubungi talian +6012-2655783 atau mengemukakan pertanyaan melalui e-mel co******@****an.group.