
Menurut Karol G ada perasaan yang kita cuba lupakan, terutamanya jika menyakitkan. Ada kenangan yang kita paksa diri untuk tinggalkan, ada cinta yang kita cuba anggap sudah berakhir dan ada luka yang kita mahu sembunyikan kerana terlalu penat untuk menjelaskannya kepada sesiapa.
Tetapi bagaimana jika sebenarnya kita tidak perlu tergesa-gesa untuk melupakan semua itu? Bagaimana jika marah, rindu, kecewa, bahagia dan patah hati bukan sesuatu yang perlu kita lawan, sebaliknya sesuatu yang perlu kita izinkan untuk dirasai sepenuhnya?
Persoalan itulah yang terasa begitu dekat dengan semangat album terbaharu Karol G, berjudul No Me Arrepieanto De Sentir Tanto.
Bintang muzik global yang pernah memenangi Anugerah Grammy serta lapan kali Anugerah Latin Grammy itu kembali dengan album studio ketujuh yang bukan sekadar menawarkan himpunan lagu baharu, tetapi sebuah perjalanan emosi yang cukup peribadi dan pada masa sama mudah dikaitkan dengan pengalaman sesiapa sahaja yang pernah mencintai, kehilangan, kecewa atau cuba menyembuhkan diri.
Menampilkan 14 buah lagu, album ini menyelami pelbagai sisi perasaan manusia termasuk cinta, patah hati, kemarahan, nostalgia, harapan dan proses penyembuhan.
Menariknya, Karol G tidak meletakkan emosi tersebut sebagai fasa yang wajib dilalui mengikut urutan sebelum seseorang akhirnya mampu berkata bahawa semuanya sudah selesai. Sebaliknya, setiap emosi diraikan sebagai sebahagian daripada pengalaman yang saling berkait.
No Me Arrepianto De Sentir Tanto Jadikan Emosi Sebahagian Daripada Proses Penyembuhan

Seperti yang diterjemahkan melalui tajuknya, No Me Arrepieanto De Sentir Tanto membawa sebuah mesej yang cukup berani, tiada sebab untuk seseorang berasa bersalah kerana merasakan sesuatu dengan terlalu mendalam.
Dalam dunia yang sering mengajar kita supaya cepat melupakan, cepat bangkit dan segera meneruskan kehidupan, Karol G memilih untuk memberi ruang kepada semua emosi tersebut tanpa rasa kesal atau keperluan untuk meminta maaf.
Pendekatan ini menjadi antara kekuatan utama album berkenaan kerana ia tidak cuba memberikan jawapan mudah kepada pengalaman yang kompleks. Album ini juga bukan tentang melupakan seseorang, menutup buku lama atau berpura pura bahawa sesuatu yang menyakitkan tidak pernah berlaku.
Sebaliknya, ia mengajak pendengar memahami bahawa proses untuk sembuh kadangkala bermula dengan keberanian untuk mengakui apa yang sebenarnya dirasakan.
“Walaupun setiap individu mempunyai kisah yang berbeza, emosi yang kita rasakan sering menjadi sesuatu yang paling erat menghubungkan kita,” katanya.
Mesej tersebut menjadi nadi kepada projek ini yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup Karol G sendiri serta pelbagai kisah yang dikongsikan oleh para peminatnya sepanjang tahun.
Pengalaman peribadi dan cerita daripada komuniti peminat itu kemudiannya diterjemahkan menjadi karya yang mempunyai ruang untuk pendengar menemukan kisah mereka sendiri.
Evolusi Muzik Karol G Lebih Intim Dengan Sentuhan Pop Alternatif Dan Muzik Latin

Dari sudut muzik, No Me Arrepieanto De Sentir Tanto memperlihatkan satu lagi perkembangan penting dalam perjalanan seni Karol G. Selepas mengukuhkan kedudukannya sebagai antara nama paling berpengaruh dalam muzik Latin, penyanyi itu kini memperluaskan lagi dunia bunyinya menerusi gabungan elemen pop alternatif, pengaruh muzik Latin, produksi atmosfera dan instrumentasi organik.
Hasilnya ialah sebuah pengalaman pendengaran yang terasa lebih imersif, intim dan luas pada masa yang sama. Muzik dalam album ini tidak sekadar berfungsi sebagai latar kepada lirik, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membina suasana dan menyampaikan perubahan emosi dari satu lagu ke satu lagu.
Lebih menarik, album ini direka untuk dinikmati dari awal hingga akhir. Setiap lagu mewakili bab yang berbeza dan disusun dengan teliti bagi membawa pendengar menyelami keseluruhan perjalanan emosi yang ingin disampaikan Karol G.
Pendekatan tersebut membuatkan album ini terasa seperti sebuah naratif yang berkembang secara perlahan, bukannya sekadar koleksi lagu yang berdiri sendiri.
Evolusi ini turut menunjukkan keberanian Karol G untuk meneroka sisi baharu dalam muziknya tanpa mengetepikan kekuatan utama yang telah membentuk identitinya sebagai seorang artis, iaitu penceritaan yang sarat dengan emosi.
Dalam album ini, Havoxians juga turut disajikan dengan beberapa kolaborasi menarik bersama nama besar dan artis dengan identiti tersendiri seperti Bruno Mars, Drake, Greg Gonzalez, Judeline dan Rusowsky.
Kehadiran mereka memberikan variasi tambahan kepada album sambil memperluaskan lagi dimensi muzik yang ingin diterokai Karol G.
Kolaborasi Bruno Mars Dalam Still Jadi Detik Baharu Buat Karol G

Antara momen yang paling mencuri perhatian dalam No Me Arrepieanto De Sentir Tanto tentunya kemunculan Bruno Mars menerusi lagu Still. Kolaborasi tersebut bukan sahaja menemukan dua nama besar dalam industri muzik global, malah hadir bersama satu pencapaian penting dalam perjalanan seni Karol G apabila rakaman berkenaan menjadi lagu pertamanya yang dinyanyikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
Langkah tersebut memperlihatkan keterbukaan Karol G untuk meneroka ruang baharu dalam kerjaya muziknya. Namun, apa yang menarik ialah percubaan itu hadir dalam sebuah projek yang begitu kuat berteraskan emosi dan pengalaman peribadi. Perubahan bahasa tidak menghilangkan identiti artistiknya, sebaliknya memperlihatkan bagaimana Karol G terus bereksperimen dengan cara baharu untuk menyampaikan cerita.

Tetapi, di sebalik semua nama besar tersebut, perkara yang paling menonjol tentang No Me Arrepieanto De Sentir Tanto tetap kembali kepada satu perkara, iaitu emosi.
Album ini tidak hanya memberitahu pendengar bahawa setiap luka mesti segera sembuh atau setiap kisah mesti mempunyai pengakhiran yang sempurna. Sebaliknya, ia memberi ruang untuk manusia menerima bahawa ada perasaan yang mengambil masa untuk difahami.
Kadangkala, kebebasan hanya muncul apabila kita berhenti melarikan diri daripada emosi sendiri dan menerima bahawa setiap perasaan, walaupun menyakitkan, pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup kita.
Bagi Karol G, tiada penyesalan dalam merasakan terlalu banyak perkara dan mungkin itulah perkara paling menarik yang boleh dibawa pulang oleh pendengar daripada album ini. Ketika dunia menyuruh kita melupakan, bergerak ke hadapan dan kelihatan baik-baik sahaja, No Me Arrepieanto De Sentir Tanto memilih untuk berkata bahawa tidak mengapa jika hati kita masih merasakan semuanya.
No Me Arrepieanto De Sentir Tanto kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital. Dengan 14 lagu yang membawa pendengar merentasi cinta, patah hati, kemarahan, nostalgia, harapan dan penyembuhan, album ini bukan sekadar untuk didengar, tetapi untuk dirasai dari awal hingga akhir.
Malah, dengarkan juga Still bersama Bruno Mars, sebuah kolaborasi yang menandakan detik baharu apabila Karol G buat pertama kalinya tampil menerusi rakaman yang dinyanyikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.