
Mencuri perhatian seseorang bukan semudah disangka! Ada orang baru mula bercakap, semua terus pasang telinga. Tetapi ada pula yang belum sempat buka mulut, orang di depan mata dah sibuk scroll telefon masing-masing.
Namun, dalam dunia dimana semua orang mahu suara mereka didengari, persoalannya, bagaimana nak buat orang fokus pada apa yang kita sampaikan?
Rahsia itulah yang bakal dikupas ikon penyiaran negara, Datuk Aznil Haji Nawawi atau lebih mesra disapa Pak Nil, menerusi SHOW ADA KELAS: The Signature Communication Experience.
Berbekalkan pengalaman lebih 40 tahun dalam industri penyiaran, Pak Nil bakal membawa peserta menyelami seni komunikasi yang bukan sekadar tentang petah bercakap, tetapi juga bagaimana membina keyakinan, memikat perhatian dan meninggalkan kesan kepada orang lain.
Pak Nil Kongsi Rahsia Komunikasi Berkesan Menerusi SHOW ADA KELAS

Menurut Pak Nil, kebolehan berkomunikasi tidak seharusnya diukur berdasarkan kepetahan seseorang berbicara semata mata. Keupayaan menyampaikan sesuatu mesej sehingga difahami, dipercayai dan diingati pendengar merupakan aspek yang jauh lebih penting.
Prinsip itu menjadi antara teras utama SHOW ADA KELAS: The Signature Communication Experience, yang dirangka untuk membantu peserta meningkatkan keyakinan dan menguasai teknik komunikasi melalui pendekatan pembelajaran yang tersusun.
“Dalam SHOW ADA KELAS: The Signature Communication Experience, saya tidak mengajar cara bercakap, tetapi mengajar cara didengar,” kata Pak Nil.
Justeru, peserta akan mempelajari cara mengatasi kegugupan, memperbaiki bahasa badan, mengawal suara dan menyusun mesej agar penyampaian menjadi lebih teratur serta meyakinkan.
Pak Nil turut menekankan bahawa keyakinan diri bukan sesuatu yang hanya dimiliki oleh individu tertentu sejak lahir. Sebaliknya, kemahiran tersebut boleh dipelajari, dilatih dan dipertingkatkan melalui pendedahan serta amalan yang konsisten.
Pendekatan ini menjadikan program berkenaan relevan kepada mereka yang mahu memperbaiki cara berkomunikasi, sama ada untuk perkembangan kerjaya, urusan perniagaan mahupun pembinaan hubungan interpersonal.
Lima Modul SHOW ADA KELAS Fokus Keyakinan, Storytelling dan Personal Branding

Oleh itu, demi memastikan pembelajaran lebih menyeluruh, SHOW ADA KELAS menampilkan lima modul utama, iaitu Komunikasi Bermula Dengan Keyakinan, Seni Berkomunikasi Yang Meyakinkan, Executive Presence, Storytelling Yang Berkesan dan Menjadi Individu Yang Dipilih.
Modul Komunikasi Bermula Dengan Keyakinan memberi tumpuan kepada usaha mengatasi kegugupan dan membina keberanian untuk menyampaikan pandangan.
Jelasnya, kemahiran ini amat berguna bagi mereka yang sering berasa gementar ketika membuat pembentangan, bercakap dalam mesyuarat atau berhadapan dengan orang yang tidak dikenali.
Sementara itu, bagi sesi ‘Seni Berkomunikasi Yang Meyakinkan’ pula menekankan kepentingan penyusunan mesej, kawalan suara dan penggunaan bahasa badan. Gabungan elemen tersebut membantu seseorang menyampaikan idea dengan lebih jelas, sekali gus mengurangkan risiko salah faham ketika berkomunikasi.
Manakala, menerusi modul Executive Presence, peserta bakal didedahkan kepada kepentingan pembawaan diri, penampilan profesional dan cara mewujudkan keyakinan ketika berinteraksi. Aspek ini penting khususnya bagi individu yang memegang jawatan kepimpinan atau perlu mewakili organisasi dalam urusan rasmi.
Tambahnya, storytelling yang berkesan turut menjadi antara komponen penting dalam program ini. Selain itu, kemahiran bercerita bukan hanya diperlukan oleh pengacara atau penghibur, sebaliknya boleh dimanfaatkan oleh usahawan, tenaga pengajar, pemimpin dan pencipta kandungan untuk menjadikan mesej lebih menarik serta mudah diingati.
Modul Menjadi Individu Yang Dipilih pula memberi perhatian kepada pembinaan kredibiliti dan penjenamaan diri atau personal branding. Dalam dunia profesional yang semakin kompetitif, cara seseorang mempersembahkan dirinya boleh mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap kebolehan dan kewibawaannya.
Kesemua modul berkenaan akan disampaikan melalui pendekatan edutainment yang menggabungkan pendidikan dengan hiburan.
Menariknya, para peserta bukan sahaja mengikuti perkongsian ilmu, malah berpeluang melihat demonstrasi, menjalani latihan praktikal dan menyertai sesi interaktif bagi memahami penggunaan teknik komunikasi dalam situasi sebenar.
Icon Entertainment Ketengahkan Pembelajaran Interaktif Untuk Semua Peringkat Kerjaya

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menyifatkan pendekatan edutainment sebagai antara tarikan utama SHOW ADA KELAS, terutama dalam usaha menjadikan pembelajaran komunikasi lebih dekat dengan keperluan peserta.
“Kami tertarik dengan pendekatan edutainment yang menggabungkan unsur humor dan interaksi dalam proses pembelajaran.
Kami melihat ia sebagai satu pendekatan menarik untuk diketengahkan kepada peserta,” jelas Iman Tang.
Menurut beliau, peluang menimba ilmu secara langsung daripada seorang ikon penyiaran yang mempunyai pengalaman lebih empat dekad dalam industri turut memberikan nilai tersendiri kepada program tersebut.
Peserta akan mendapat pendedahan kepada pelbagai teknik komunikasi yang boleh digunakan dalam urusan profesional, termasuk pembentangan, penceritaan, kawalan suara dan pembinaan penjenamaan diri.
Iman turut melihat program ini sebagai peluang untuk memperkenalkan pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif kepada masyarakat, khususnya mereka yang mahu meningkatkan keupayaan berkomunikasi dalam bidang masing masing.
SHOW ADA KELAS menyasarkan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk penjawat awam, eksekutif korporat, usahawan, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, pensyarah, pemimpin belia, ketua organisasi dan pencipta kandungan.

SHOW ADA KELAS: The Signature Communication Experience dijadual berlangsung pada 28 November 2026, dari pukul 3 petang hingga 5 petang di Plenary Theatre, KLCC.
Bagi Havoxians yang berminat, tiket ditawarkan pada harga RM288 dan RM388, manakala pilihan tambahan merangkumi e-sijil pada harga RM50, sijil fizikal RM100 dan sesi Meet & Greet RM200. Individu yang mahu memperkukuh kemahiran komunikasi bersama Pak Nil boleh mendapatkan tiket melalui saluran jualan rasmi Icon Entertainment.