
TIP Band berani mengambil risiko apabila memilih untuk menghidupkan semula Ratnaku, lagu malar segar ciptaan legenda muzik tanah air, Datuk M. Nasir dengan lirik oleh Nurbisa yang pernah dipopularkan oleh Roy.
Merakamkan semula lagu yang sudah mempunyai tempat tersendiri di hati pendengar bukanlah tugas mudah. Persoalannya, mampukah sentuhan muzik moden menghidupkan kembali magis asal lagu ini tanpa menghilangkan jiwa, sekaligus menjadikannya begitu istimewa?
Menariknya, projek ini turut menampilkan Dai Fuad sebagai vokalis utama, sekali gus memperlihatkan sisi berbeza pelakon yang semakin mendapat perhatian menerusi watak Dr. Anwar Nahar dalam siri popular Good Boys To The Heaven.
Namun, kali ini pentas lakonan bukanlah medan utamanya. Sebaliknya, Dai Fuad bersama rakan seperjuangan TIP Band tampil membuktikan bahawa mereka mampu mengangkat sebuah karya legenda merentas generasi.
TIP Band Bawa Identiti Baharu Dalam Rakaman Semula Lagu Ratnaku
Menurut TIP Band, merakamkan semula Ratnaku bukan sekadar peluang untuk memperkenalkan lagu lama kepada pendengar baharu. Sebaliknya, ia menjadi ruang untuk mereka memperlihatkan identiti muzik sendiri tanpa mengetepikan keistimewaan karya asal.
Malah, nafas baharu dengan susunan yang lebih bertenaga bersama suntikan muzik moden, versi baharu ini menampilkan pendekatan lebih segar berbanding rakaman asal. Elemen alternative pop yang diketengahkan memberikan warna tersendiri kepada lagu berkenaan.
Dai Fuad yang bertindak sebagai vokalis utama turut membawa pengalaman penghayatan karakter daripada dunia lakonan ke dalam persembahan muziknya. Keupayaan menyampaikan emosi menjadi antara elemen penting bagi memastikan kisah dan perasaan yang terkandung dalam lagu tersebut dapat dirasai oleh pendengar.
“Ini adalah satu penghormatan besar buat kami. Ratnaku bukan sekadar lagu, ia adalah sejarah. Kami cuba memberi nafas baharu dengan cara TIP, lebih garang tetapi tetap menghormati karya asal Datuk M. Nasir,” ujar Dai Fuad mewakili rakan-rakannya.
Selain Dai Fuad sebagai vokalis, TIP Band turut dianggotai Muhammad Shahrizan pada gitar, Wan Nuo, Akram Fadli pada bes, Shanaris Rashid serta Katie pada papan kekunci. Gabungan tenaga anak muda ini menjadi tunjang kepada pendekatan muzik yang dibawakan dalam rakaman semula tersebut.
Adi Priyo Suntik Nafas Baharu Pada Lagu Ratnaku Karya M. Nasir
Antara pembaharuan yang dibawakan TIP Band, projek ini turut mendapat sentuhan Adi Priyo, vokalis kumpulan Sixth Sense yang dikenali menerusi lagu popular Hari Ini Dan Semalam.
Pengalaman Adi Priyo dalam menghasilkan karya yang dekat dengan emosi pendengar menjadi antara elemen penting dalam membentuk arah muzik baharu Ratnaku.
Jelas Adi Priyo, mengolah semula lagu malar segar memerlukan pendekatan yang teliti. Pembaharuan perlu dilakukan dengan identiti tersendiri, namun pada masa sama tidak boleh mengorbankan perasaan dan nilai yang terkandung dalam karya asal.
“Sebagai penerbit muzik, saya ingin membawa Ratnaku ke sebuah perjalanan muzik yang baharu tanpa menghilangkan jiwa dan keindahan asalnya.
“Harapan saya agar sentuhan baharu ini bukan sekadar menghidupkan kembali sebuah lagu, tetapi turut mencipta kenangan, menyentuh perasaan dan menemukan tempatnya di hati pendengar, baik yang telah mengenalinya sejak dahulu mahupun generasi baharu,” katanya.
Beliau turut berharap versi baharu ini mampu menerima sambutan yang baik seperti lagu Hari Ini Dan Semalam, sekali gus membuktikan bahawa sesebuah karya masih boleh menemui pendengar baharu apabila diberikan pendekatan yang sesuai.
“Biar lagu berganti rupa, asalnya tetap bersemayam di jiwa; biar zaman silih berganti, Ratnaku moga kekal abadi,” ujar Adi Priyo, menggambarkan harapannya agar karya tersebut terus hidup merentas generasi.
Ratnaku Jadi Penghubung Generasi Sempena Konsert Magnum Opus M. Nasir
Penerbitan semula Ratnaku turut membawa makna tersendiri buat Luncai Emas, khususnya dalam usaha meraikan legasi muzik Datuk M. Nasir yang telah mewarnai industri seni tanah air selama beberapa dekad.
Malah, inisiatif yang hadir menjelang konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Menerusi penerbitan semula karya tersebut, generasi pendengar yang membesar dengan lagu asal berpeluang mengimbau kenangan, sementara golongan muda pula dapat mengenali karya berkenaan melalui interpretasi yang lebih dekat dengan cita rasa muzik masa kini.
Bagi TIP Band, peluang mengangkat lagu ciptaan tokoh muzik seperti Datuk M. Nasir pastinya hadir bersama tanggungjawab yang besar. Mereka bukan sekadar memperkenalkan sebuah rakaman baharu, tetapi turut membawa harapan agar karya yang pernah mencipta kenangan kepada pendengar terdahulu dapat terus dihargai oleh generasi seterusnya.
Lagu Ratnaku versi baharu nyanyian TIP Band kini boleh didengari Havoxians menerusi semua platform penstriman muzik digital, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Luncai Emas.